George Kent rancang teroka peluang pertumbuhan baharu dalam projek kereta api, digital | DagangNews Skip to main content

George Kent rancang teroka peluang pertumbuhan baharu dalam projek kereta api, digital

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 20 Okt. - George Kent (Malaysia) Bhd. akan memberi fokus untuk meneroka peluang pertumbuhan baharu setelah melengkapkan langkah pelupusan keseluruhan 50% ekuiti dalam MRCB George Kent Sdn. Bhd. (MRCBGK) kepada Malaysian Resources Corporation Bhd. pada 13 Oktober lalu.

 

Dengan pelupusan itu melibatkan pertimbangan tunai berjumlah RM53 juta, dapat membuka peluang kepada kumpulan untuk menjana pelaburannya dalam MRCBGK, yang tidak mempunyai kos pelaburan.

 

Ini membolehkan kumpulan berkembang luas dalam pembangunan kereta api di peringkat domestik dan serantau sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) untuk meningkatkan keterhubungan dan infrastruktur pengangkutan. 

 

Malah, George Kent boleh menggunakan kepakarannya sebagai pakar sistem rel untuk membangunkan projek kereta api. 

 

Kumpulan mempunyai rekod yang baik dan berjaya menyempurnakan projek penyambungan Transit Aliran Ringan laluan Ampang (LRT2) dan pengalaman yang diperoleh menerusi projek LRT3 menjadikan George Kent meraih pengalaman berharga dan memainkan peranan penting dalam rangkaian infrastruktur kereta api.

 

Pengerusinya, Tan Sri Tan Kay Hock berkata, selain projek kereta api, kumpulan juga berada dalam kedudukan yang baik untuk mengukuhkan kedudukan dalam perniagaan meter air dengan meneroka peluang dalam projek infrastruktur air seperti digariskan kerajaan di bawah RMKe-12 untuk mempercepatkan pelaksanaan Pengurusan Sumber Air Bersepadu. 

 

"Memandangkan teknologi digital semakin berkembang, kumpulan turut meneroka peluang untuk mewujudkan platform pelaburan strategik dalam syarikat teknologi digital seperti internet segala-gelanya (IoT) dan kecerdasan pintar (AI), yang akan berfungsi sebagai pengembangan berterusan kami dalam pemeteran pintar, bidang penyelesaian bandar dan kelestarian serta teknologi baharu muncul. 

 

"Platform ini akan menyediakan kumpulan dengan akses kepada peluang pertumbuhan baharu dan kami yakin, ini adalah masa yang menarik buat George Kent pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Secara dasarnya, MRCBGK adalah syarikat usaha sama antara MRCB dan George Kent, yang berperanan sebagai syarikat tujuan khas yang diperbadankan pada 17 September 2015 bagi menjalankan projek LRT3 yang dijangka siap menjelang akhir 2024. Buat masa ini, kerja-kerja yang dijalankan bagi projek tersebut hampir 60% siap. 

 

Kumpulan telah memperoleh semula kos pelaburan asalnya pada Disember 2017 setelah menerima dividen tunai sebanyak RM5 juta yang diisytiharkan oleh MRCBGK.

 

George Kent turut mendapat manfaat daripada keuntungan ekuiti sebanyak RM57.2 juta setakat 30 Jun 2021, yang dikreditkan ke dalam pendapatan kekal kumpulan. - DagangNews.com