Glomac catat hasil Q2 lebih rendah, susut 28% kepada RM75.4 juta | DagangNews Skip to main content

Glomac catat hasil Q2 lebih rendah, susut 28% kepada RM75.4 juta

Lakaran artis bagi projek Plaza@Kelana Jaya

 

 

KUALA LUMPUR 29 Nov - Glomac Bhd. merekodkan hasil yang lebih rendah bagi suku kedua berakhir 30 Oktober 2021 sebanyak RM75.4 juta, susut 28% berbanding RM104.6 juta bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai meningkat 47.2% kepada RM19.5 juta, disokong margin keuntungan kasar yang lebih baik, menurutnya dalam kenyataan hari ini.

 

Ia disumbang melalui projek Saujana Perdana, Plaza@ Kelana Jaya, 121 Residences, Lakeside Boulevard dan Sri Saujana, Johor.

 

Prestasi pada suku tersebut menyaksikan peningkat berbanding suku pertama sebelumnya apabila hasil kumpulan meningkat 161% manakala keuntungan sebelum cukai melonjak 418% apabila ekonomi dibuka semula dan aktiviti pembinaan Glomac beroperasi semula di tapak projek yang sedang berjalan. 

 

Pada masa sama, kedudukan kunci kira-kira Glomac juga kekal kukuh, yang mana setakat 31 Oktober 2021 gearan bersih meningkat kepada 0.23x daripda 0.25x pada permulaan awal tahun kewangan manakala kedudukan tunai dan deposit berjumlah RM214.5 juta.

 

Glomac berkata, pendapatan bagi tempoh terdekat kekal disokong jualan belum dibilkan berjumlah RM526 juta dan aktiviti pembinaan yang kembali beroperasi.

 

"Pada masa hadapan, kumpulan akan kekal berhati-hati terhadap ketidaktentuan daripada pandemik yang menjejaskan sentimen meskipun keyakinan meningkat dengan pembukaan semula ekonomi," katanya.

 

Namun, menurut syarikat pemaju hartanah ini, ia memiliki portfolio pembangunan bank tanah dengan nilai pembangunan kasar kira-kira RM8 bilion.

 

Dengan mengambil kira kunci kira-kira yang kukuh, kumpulan berupaya mempercepatkan aktiviti pembangunan dan memacu pertumbuhan dalam tempoh jangka masa panjang, tambahnya. -DagangNews.com