Harga minyak sawit tinggi bantu FGV catat untung RM369.24 juta pada suku pertama | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit tinggi bantu FGV catat untung RM369.24 juta pada suku pertama

KUALA LUMPUR 31 Mei - FGV Holdings Bhd. kembali mencatat keuntungan pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 sebanyak RM369.24 juta, berbanding kerugian bersih RM35.42 juta yang dialaminya bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.

 

Prestasi lebih baik itu dipacu oleh margin produk sawit yang lebih tinggi, operasi hiliran, pembajaan dan dan prestasi perniagaan logistik yang lebih baik.

 

Pada suku semasa, harga purata minyak sawit mentah adalah RM5,058 satu tan metrik, iaitu 59% lebih tinggi daripada harga purata pada suku pertama 2021 sebanyak RM3,172 satu tan metrik.

 

Hasil yang dicatatkan kumpulan pula melonjak 73% kepada RM5.85 bilion daripada RM3.39 bilion setahun sebelumnya disokong oleh harga purata minyak sawit mentah, volum pengeluaran, produk pembajaan dan produk pengguna dengan harga yang lebih tinggi.

 

 

Mohd Nazrul Izam Mansor
Mohd Nazrul Izam Mansor

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd Nazrul Izam Mansor berkata, kumpulan merekodkan suku kewangan yang menguntungkan di tengah-tengah ketidaktentuan dan cabaran yang dihadapi oleh kumpulan. 

 

"Kumpulan akan berusaha mengekalkan momentum positif ini untuk memenuhi jangkaan pemegang taruh dan bagi mencapai sasaran yang ditetapkan untuk 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Bagi tempoh berkenaan, FGV merekodkan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) sebanyak RM509 juta daripada keuntungan operasi berjumlah RM668 juta, tetapi telah diimbangi oleh pelarasan nilai saksama LLA berjumlah RM159 juta.

 

Sektor perladangan mencatatkan peningkatan dalam keuntungan operasi kepada RM664 juta berbanding RM108 juta yang dicatatkan pada suku pertama 2021, didorong oleh harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi dan peningkatan jumlah jualan minyak sawit mentah/diproses.

 

Dalam segmen huluan di bawah sektor perladangan, FGV mencatatkan peningkatan keuntungan operasi sebanyak RM489 juta pada suku pertama 2022 berbanding RM91 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Ini disebabkan oleh hasil tandan buah segar (TBS) yang lebih tinggi, Kadar Perahan Minyak (OER) yang lebih baik dan faktor penggunaan kilang (UF) yang lebih optimum. 

 

Perolehan di bawah segmen itu meningkat kepada RM3.18 bilion berbanding RM1.78 bilion pada suku yang sama 2021.

 

 

fgv
FGV melaksanakan langkah strategik bagi mengukuhkan industri beras wangi negara.

 

 

Mengenai prospek kumpulan, FGV akan memperluaskan aktiviti pengeluaran makanan, terutamanya dalam pengeluaran hasil segar. 

 

Antara inisiatif terbesar ialah menerusi Kemudahan Tenusu Baladna. Kerjasama itu ditandatangani pada 2019 dan ia akan menjadi projek tenusu berskala besar di Lembah Chuping, Perlis.

 

Menerusi langkah strategik untuk mengukuhkan industri beras wangi negara, FGV akan menghasilkan lebih banyak produk bagi memenuhi keperluan pengguna seperti SAJI Basmathi dan SAJI Aroma (beras wangi) yang akan dilancarkan pada pertengahan Jun 2022.

 

Selain itu, FGV melalui anak syarikatnya FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF), telah melancarkan Alma, makanan haiwan berkualiti tinggi yang menggunakan hampas isirung sawit (PKC). 

 

FGV menyasarkan penghasilan sebanyak 75,000 tan makanan haiwan pada tahun ini, peningkatan ketara daripada 40,000 tan yang dikeluarkan tahun lalu, dalam usaha menampung permintaan yang semakin meningkat terhadap industri ternakan daging seperti lembu, kambing, arnab dan ayam. - DagangNews.com