Harga sarang burung walet kini RM8,000 sekilogram | DagangNews Skip to main content

Harga sarang burung walet kini RM8,000 sekilogram

Pekerja memungut Sarang Burung Walet di Gua Gomantong, Sabah.
Oleh DOMINIC G. JOSEPH 

KOTA KINABALU 27 Jan -  Harga pasaran untuk satu kilogram Sarang Burung Walet (SBW) kini adalah sekitar RM8,000 berikutan permintaan global yang sangat tinggi terutama dari China.

 

Pengarah Pusat penyelidikan Pelancongan Borneo, Fakulti Perniagaan, Ekonomi Dan Perakaunan, Universiti Malaysia Sabah, Prof Dr. Jennifer Chan Kim Lian berkata, mengikut kepercayaan kaum Cina, manfaat kesihatan SBW adalah panjang sebab proses membuat SBW bergantung kepada alam persekitaran semula jadi.

 

Menurutnya, masyarakat Cina mempercayai SBW membantu meningkatkan sistem imun badan dan meningkatkan daya tahan terhadap faktor-faktor persekitaran.

 

Beliau berkata, mengikut sejarah pada abad ke-15 Laksamana Cheng Ho, dari Dinasti Ming Ho menyedari bahawa SBW adalah makanan yang istimewa dan unggul. Mengikut Laksamana Cheng Ho, SBW memberikan pelbagai manfaat kesihatan sambil memperkenalkannya ke Maharaja Dinasti Ming.

 

Bila pelancong dalam dan luar negara berkunjung ke Sabah atau Sarawak satu daripada permintaan mereka ialah untuk melawat premis burung walet atau gua pengeluar 'Sarang Burung Walet'(SBW).

 

"Permintaan yang sangat tinggi dan khasiat dari Sarang Burung Walet membuatkan nilai pasarannya yang tinggi. Industri Sarang Burung Walet Sabah berpotensi menjadi penyumbang besar negara.

 

''Dianggap makanan SBW adalah antara makanan yang paling mahal di dunia, Harga pasaran untuk satu kilogram SBW adalah sekitar RM8,000," berkata beliau kepada DagangNews.com.


 

Prof Dr. Jennifer Chan Kim Lian
                                                                              Prof Dr. Jennifer Chan Kim Lian 

 

 

Menurut data Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan, sehingga tahun 2021, terdapat 16,731 premis rumah burung walet dan lima gua pengeluar SBW yang telah berdaftar iaitu Gua Gomantong dan Gua Madai di Sabah, Gua Silabur dan Gua Niah di Sarawak serta Gua di Pulau Dangli, Langkawi, Kedah. 

 

Jumlah eksport dan penggunaan domestik SBW pada tahun 2020 adalah sebanyak 5,654 tan metrik bernilai RM1.2 bilion. Negara China yang merupakan Negara pengguna SBW gua terbesar di dunia dengan permintaan sebanyak 80 tan metrik setahun. SBW yang belum diproses juga dieksport ke Hong Kong, Taiwan dan Vietnam. 

 

Prof Dr. Jennifer berkata, kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah telah mewujudkan Lembaga Burung Walit bagi memastikan industri berkaitan berkembang maju di negeri ini. Lembaga ini akan mengurus dan mengawal industri burung walit di Sabah.

 

Pengusaha-pengusaha SBW juga dinasihatkan berdaftar dengan pihak General Administration of Customs of People’s Republic of China (GACC) untuk mendapat kelulusan mengeksport sarang burung walet bersih (EBN-RC) dan sarang burung walet belum diproses (EBN-RUC) ke negara tersebut.


 

burung walet

 


Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan mewujudkan Program Sistem Pendaftaran Premis Walet yang dikenali sebagai METS bagi mengukuhkan sistem piawaian global yang turut menjadi salah satu syarat pengeksportan SBW  ke Negara China.

 

Prof Dr. Jennifer berkata, potensi eksport SBW masih kukuh dan mempunyai potensi yang besar. Tetapi pengusaha-pengusaha SBW mesti mengambil inisiatif untuk mendapat kelulusan, pengiktirafan, akreditasi yang tertentu dan pentauliahan persijilan Veterinary Health Mark (VHM) dan persijilan Good Veterinary Hygiene Practice (GVHP) supaya mereka dapat bersaing di pasaran dunia."  DagangNews.com