HSBC Amanah, HDC meterai MoU bantu kembangkan pasaran eksport halal | DagangNews Skip to main content

HSBC Amanah, HDC meterai MoU bantu kembangkan pasaran eksport halal

Dari kiri ke kanan: Dafinah Helmi - Ketua Perbankan Komersial, HSBC Amanah; Raja Amir Shah Raja Azwa bersama Hairol Ariffein Sahari dan Mohammad Hafiz Jamaluddin - Ketua Halal Integrated Platform (HIP), Halal Development Corporation pada majlis menandatangani MoU.

KUALA LUMPUR 21 Sept - HSBC Amanah Malaysia Berhad menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Halal Development Corporation (HDC) untuk bekerjasama dan menyokong HDC dalam usaha mereka memulakan inisiatif Greater Islamic Economy baharu mereka yang merangkumi instrumen pembangunan Ekonomi Islam atau Muamalat.

 

Sebagai sebuah institusi kewangan Islam antarabangsa yang terkemuka, HSBC Amanah melalui MoU ini juga akan terus memudahcarakan program dan kemudahan kewangan untuk membantu merangsang pertumbuhan pasaran eksport halal di Rantau Asia Pasifik.

 

Menurut HDC, prestasi eksport halal Malaysia pada 2021 meningkat sebanyak 19% kepada RM36.3 bilion daripada RM30.5 bilion setahun sebelumnya manakala penggunaan barangan dan perkhidmatan halal global dijangka berkembang sebanyak 3.5% setiap tahun untuk mencecah AS$2.4 trilion menjelang 2024, sebahagian besarnya didorong oleh populasi Islam yang berkembang pesat.

 

Inisiatif ini juga bertujuan untuk menyokong Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2022- 2026 negara yang mana Malaysia menyasarkan untuk menjadi pintu masuk di peringkat global bagi pasaran kewangan Islam di Asia dan OIC dengan memberi tumpuan kepada kewangan berasaskan nilai melalui kepimpinan kewangan Islam.

 

Rangka Tindakan itu bermatlamat untuk meneruskan dua bidang pengkhususan yang meliputi kewangan mampan dan industri halal.

 

Sebagai satu daripada pengamal pertama Pengantaraan Berasaskan Nilai, HSBC Amanah komited untuk menyampaikan hasil Syariah yang diinginkan melalui amalan, tingkah laku dan tawaran yang menjana impak positif dan mampan kepada ekonomi, komuniti dan alam sekitar, selaras dengan pulangan dan faedah jangka panjang HSBC Amanah yang mampan.

 

Selari dengan MoU tersebut, kerjasama ini bertujuan memudahcarakan aktiviti kewangan Islam dalam industri halal bagi pasaran tempatan atau pasaran antarabangsa lain untuk perniagaan yang mengutamakan kewangan Islam.

 

Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari berkata, perangkaan ini merupakan bukti kepentingan industri halal kepada ekonomi Malaysia, walaupun menghadapi cabaran yang ditimbulkan oleh pandemik COVID-19.

 

Malah ujar beliau, prestasi eksport halal bagi separuh pertama tahun ini telah meningkat sebanyak 75.2% berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu bersamaan RM30.3 bilion.

 

"Justeru, berdasarkan angka semasa ini, nampaknya industri halal kini pulih dengan lebih cepat daripada jangkaan. Malah, eksport halal untuk tahun 2022 dijangka melepasi RM42 bilion, melebihi paras prapandemik,” ujar beliau.

 

Menurutnya, inisiatif Greater Islamic Economy yang baru dilancarkan dan usaha kolaboratif yang disejajarkan secara sinergi bersama HDC dan HSBC Amanah, merupakan kunci untuk menyediakan ahli-ahli Platform Bersepadu Halal (HIP) dengan kemudahan kewangan dan instrumen pembangunan yang tepat dalam usaha mereka memperluaskan kehadiran mereka dalam pasaran eksport halal di rantau Asia Pasifik.

 

"Selain itu, ketika kami memulakan inisiatif Greater Islamic Economy, kami percaya bahawa perkongsian baharu ini akan membantu meningkatkan impak bilangan perniagaan yang disahkan halal di Malaysia,” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Amanah Raja Amir Shah Raja Azwa berkata, “Menghubungkan pelanggan di peringkat antarabangsa merupakan perkara terbaik yang HSBC lakukan. Kekuatan terbesar kami ialah keupayaan kami sebagai penghubung aliran modal dan perdagangan antara ekonomi utama dunia.

 

"Melalui MoU bersama HDC ini, HSBC Amanah akan dapat menyokong secara strategik perniagaan yang berada di Platform Bersepadu Halal (HIP) HDC yang berhasrat untuk berkembang ke peringkat antarabangsa.”

 

Raja Amir turut berkongsi bahawa MoU ini adalah tepat pada masanya, seiring dengan kadar pemulihan ekonomi global yang berterusan.

 

“Kerjasama ini pastinya akan meningkatkan lagi potensi industri halal yang bernilai berbilion dolar untuk memudahcarakan ekonomi Malaysia serta membantu dalam memberi nafas baharu kepada ekonomi global.

 

"Ketika perniagaan mula meneroka peluang di luar Malaysia, produk dan penyelesaian digital kami termasuk HSBC Global Wallet-i dan Receivable Finance-i kami akan memberikan mereka keupayaan untuk berkembang dengan kecekapan yang lebih tinggi termasuk penjimatan masa dan kos, produktiviti dan keselamatan," ujarnya.

 

Raja Amir berkata, keupayaan inilah yang akan membezakan mereka dalam pasaran eksport halal yang kompetitif pada hari ini. - DagangNews.com