Ada cara mudah mendapatkan kedudukan tinggi di Google | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Idea Digital - 22 Aug 2020 06:20 AM

Ada Cara Mudah Untuk Dapatkan Kedudukan Tinggi Di Google

 

Betul, terdapat pelbagai jenis perisian yang kita boleh beli di internet semata-mata untuk menaikkan kedudukan kandungan milik kita di enjin pencarian Google. Ada yang berjenama tempatan, tetapi kebanyakannya adalah dari negara-negara Barat khususnya Amerika Syarikat dan Eropah.

Menurut maklum balas yang dilihat di internet dan media sosial mereka, perisian-perisian ini dikatakan mampu membantu kita dalam mencari kata kunci yang kompetitif, membina pautan di laman-laman web luar untuk kembali ke laman web kita, mencari tajuk-tajuk yang sesuai untuk artikel yang bakal ditulis, menambahkan daya tarikan laman web untuk lebih berdaya saing dengan senarai cadangan untuk menukar fungsi yang ada kepada itu dan ini, dan sebagainya.

T
idak dinafikan ada perisian yang betul-betul membantu, tetapi tidak semua. Kebanyakannya tidak. Keadaan ini hampir sama jika kita lihat mereka-mereka yang menjual perisian-perisian yang boleh membantu menguruskan transaksi saham-saham yang dibeli secara dalam talian ataupun yang boleh membantu menguruskan transaksi pertukaran matawang secara talian. 

Saya ada terbaca beberapa artikel di internet tentang senario ini. Menurut apa yang saya baca, yang betul-betul buat duit sebenarnya bukan kita. Bukan kita yang menjadi pengguna perisian itu tetapi orang yang menjual perisian tersebut. Senario yang hampir sama juga saya lihat wujud di media sosial.

Cuba anda tengok di Facebook sendiri kalau tidak percaya. Lihat sendiri berapa banyak status yang terpampang di hadapan mata kepala anda sendiri tentang promosi kelas-kelas pemasaran digital, kelas-kelas bagaimana hendak menjalankan bisnes secara dalam talian, kelas-kelas bisnes e-dagang, bisnes affiliate, belajar tentang pelaburan di bursa saham luar negara dan yang seumpamanya.

N
ampak sangat yang mencetak wang besar-besaran di sini ialah si pengelola dan pengajar kelas tersebut. Bukannya individu yang datang belajar.

Tidak perlukan perisian

Berbalik kepada cara untuk mendapatkan kedudukan yang baik di enjin pencarian Google, kita sebenarnya boleh menaikkan jenama sendiri tanpa perlu menggunakan apa-apa perisian. Kata kunci di sini ialah perlu.

Kalau anda berduit dan sanggup melabur untuk membeli perisian yang sesuai, silakan. Saya tak kisah. Tetapi bagi anda yang kurang mampu, percayalah, dengan statistik yang ada di laman web anda sendiri melalui Google Analytics dan laporan yang disediakan oleh Wordpress atau apa juga platform laman web anda sudah mencukupi.

Contoh yang paling dekat ialah platform saya sendiri, Marketing In Asia. Walaupun ia merupakan satu platform perkongsian kandungan yang mempunyai kedudukan yang tinggi di Google, yang trafik datangnya dari beberapa negara Asia, yang mempunyai pengunjung yang tinggi sebulan, yang mempunyai impresi internet yang hampir satu juta sebulan, saya tidak menggunakan apa jua perisian berbayar untuk sampai ke tahap ini. Malah platform saya itu dengan diam-diam telah berjaya meninggalkan beberapa laman web ternama yang terkenal jauh terkebelakang dan membiarkan mereka sendirian dengan ketaksuban mereka dengan perisian terkini dan mahal.

S
aya juga percaya, pengalaman manis pembaca sangat penting. Saya lebih gemar untuk memberikan fokus yang lebih untuk menyediakan kandungan-kandungan yang mampu menarik dan memberikan pengalaman manis sebegini.

Perkara pertama yang saya lakukan untuk mendapatkan kedudukan yang baik di Google ialah melalui teknik penulisan. Saya menulis untuk manusia. Saya tidak menulis untuk algoritma Google.

Penulisan yang baik untuk manusia ialah apabila artikel itu menyediakan jawapan yang terbaik kepada permasalahan yang dihadapi oleh seseorang. Selain daripada menulis tentang bagaimana hendak menyelesaikan masalah yang mereka hadapi, saya juga menulis tentang bagaimana menggunakan pemasaran untuk mendapatkan pendapatan kewangan yang lebih baik.

Buah fikiran demi buah fikiran dikeluarkan dalam bentuk artikel. Kedua-dua jenis artikel ini, iaitu menyelesaikan masalah dan berkongsi idea, bagi saya wajib ditulis dengan panjang lebar dan sedalam yang boleh agar ia dapat memberikan jawapan yang terbaik kepada persoalan yang bermain dalam fikiran pembaca. Ia tidak boleh terlalu pendek, terlalu umum ataupun terlalu teknikal.

Apabila setiap pendapat dan idea itu ditulis dengan terperinci, kebarangkalian untuk ia dikongsi akan menjadi lebih tinggi. Lebih banyak ia dikongsi dan dibaca, Google akan ‘perasan’ yang banyak trafik datang ke laman web saya dari media-media sosial dan populariti sebegini sangat membantu menaikkan kedudukan laman web saya di Google.


Itu taktik pertama. Selain daripada itu, perkongsian yang lebih banyak juga boleh diperoleh dengan mengemaskini artikel-artikel saya terdahulu yang pernah tular sebelum ini. Terdapat dua atau tiga artikel yang betul-betul popular yang pernah saya tulis pada tahun 2018 lalu. Saya pun tidak menyangka yang artikel-artikel ini masih lagi mendapat perhatian pembaca hingga hari ini.

Dengan mengemaskini dan memperbaharui kandungan dalam artikel sebegini, yang sesuai dengan perubahan keadaan dan masa, saya boleh kuatkan lagi tawaran nilai yang pernah diberikan sebelum ini. Saya yakin sebaik sahaja saya kongsikannya apabila telah siap nanti, ia akan tular buat kali kedua dan kali ini ia lebih dahsyat dari versi yang sebelumnya.


Menulis dari perspektif sendiri

Perspektif penulisan juga penting bagi saya. Kini saya tidak lagi menulis untuk mengajar. Kali ini saya menulis dari perspektif saya sendiri. Saya menulis berdasarkan pengalaman, dari pengalaman orang lain yang saya baca sendiri, dari apa yang saya lihat dan dari apa yang saya perhatikan.

Dari sini ia kemudiannya diolah kembali mengikut perspektif diri saya sendiri dan ditulis dalam bentuk cerita. Lebih kerapa saya tulis, lebih banyak kelemahan yang saya jumpa dalam penulisan dan setiap perubahan yang dilakukan akan membantu menaikkan tahap engagement yang akan diterima. Kali ini saya lebih banyak menggunakan perkataan ‘saya’ dan ‘kita’ daripada perkataan ‘anda’ seperti sebelum ini.

M
enulis artikel hampir setiap hari terus-terang saya cakap, amat meletihkan. Mengambil contoh Marketing In Asia tadi, platform ini sering menjemput seberapa ramai penulis berbakat dari seluruh Asia untuk menghantar penulisan mereka. Ia kemudiannya akan memuat naik setiap kandungan yang dihantar dalam masa kurang 48 jam.

Mereka menerbitkannya setelah ejaan dan tatabahasa setiap artikel yang dihantar itu diperiksa terlebih dahulu. Lebih ramai penulis jemputan yang diperoleh, setiap hari platform ini memuat naik tidak kurang dari enam hingga lima belas kandungan. Bayangkan dalam sebulan berapa artikel yang telah dimuat naik. Hampir tiga ratus.

Strategi ini dikenali sebagai user-generated content atau UGC. Kemajuan yang dicapai sangat menakjubkan. Apabila saya memeriksa kedudukan ranking Marketing In Asia di Alexa setiap minggu untuk mengetahui kedudukan mingguan yang dicapai, ini hasilnya.

Bermula dari kedudukan yang ke 900,000 pada Januari 2020 lalu, hari ini ia telah menghampiri angka 200,000 dalam senarai laman web yang wujud di seluruh dunia. Hari ini saya sedar yang strategi user-generated content ini memang dahsyat dan mampu menaikkan kedudukan apa jua jenama dengan cepat.


Formula ini sangat mudah untuk dilakukan dan saya sendiri menggunakannya. Dan yang paling penting sekali, ia percuma.

 

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah seorang strategis pemasaran digital yang aktif menulis di pelbagai platform media sosial dan kini turut menjadi kolumnis DagangNews menerusi IDEA DIGITAL setiap Sabtu.