Bagaimana hendak gandakan pendapatan sebagai Freelancer dalam masa sebulan? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Idea Digital - 07 Sep 2021 08:15 AM

Bagaimana Hendak Gandakan Pendapatan Sebagai Freelancer Dalam Masa Sebulan?

 

 

HUSSEIN adalah seorang penulis blog yang sangat kreatif. Namun, pendapatan bulanan yang diterimanya selalu tidak setimpal dengan kerja-kerja yang dilakukan untuk para pelanggan yang menggunakan khidmat penulisannya. Pendapatan bulanannya seolah-olah berada di bawah paras kemiskinan. Sering tidak mencukupi.

 

Setelah ditolak bayaran sewa rumah, bil, ansuran kereta, insurans dan bayaran PTPTN, yang tinggal hanyalah beberapa ratus sahaja. Itu belum lagi duit untuk makan minum, duit untuk ibu bapa di kampung dan juga simpanan untuk perkahwinannya nanti. Walaupun hasil kerja yang disediakan berkualiti tinggi tetapi kalau hanya dengan memperolehi pendapatan yang tidak sampai RM3,500 sebulan untuk hidup di ibu kota ini memang sangat mencabar. Sesiapapun pasti akan tertekan. Itu yang dia beritahu saya pada bulan Jun lalu. 

 

Saya mengenali Hussein hampir 2 tahun lalu melalui LinkedIn. Dia mempunyai ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari salah sebuah universiti di utara tanahair. Minatnya hanya satu, menulis. Dia mampu menulis dalam Bahasa Melayu dan Inggeris dengan baik. Dari penulisan blog, copywriting sehinggalah kepada penulisan cerpen.

 

Sebelum menjadi penulis blog sepenuh masa, Hussein pernah bekerja di sebuah agensi pemasaran digital yang agak besar di Kuala Lumpur. Itu karier pertamanya sebaik sahaja dia tamat belajar di universiti. Gaji sulungnya, RM2,300. Kata Hussein lagi, sekali pandang memang nampak besar sebab kebanyakan graduan lepasan ijazah yang baharu tamat pengajian jarang dapat gaji bulanan mencecah RM2,000 tetapi kerjanya macam orang gila. Sarapan jarang-jarang, makan tengah hari pun bila hari sudah petang, balik rumah pun selalu lewat malam dan kerjanya memang sibuk setiap hari. Beliau berhenti kerja setelah hampir dua tahun di situ. Saya tanya dia; sekarang kan susah dapat kerja, mengapa berhenti?

 

Dia kata ada dua sebab. Pertama, dia dijanjikan kenaikan pangkat dan gaji yang agak ketara kerana hasil penulisannya telah membantu agensi tempat dia bekerja memperoleh kontrak jutaan ringgit dari satu pelanggan korporat bagi mengendalikan aktiviti-aktiviti pemasarannya. Bukan satu dua juta, tetapi lebih dari 5 juta ringgit. Setelah menunggu hampir setahun, nampaknya janji hanya tinggal janji. Tiada khabar berita daripada pihak pengurusan.

 

Sebab yang kedua adalah apa yang dia tahu, ada beberapa orang eksekutif baharu yang diterima masuk bekerja di situ yang mempunyai gaji yang jauh lebih tinggi daripadanya tetapi lebih muda, tiada pengalaman dan tiada kepakaran tertentu. Mereka ditawarkan pekerjaan semata-mata kerana penampilan mereka cantik dan seksi tetapi pihak pengurusan mengatakan yang mereka diambil bagi menjayakan projek yang baharu sahaja diperoleh itu. Selang dua bulan selepas itu Hussein terus menghantar notis berhenti kerja.

 

Dia nekad untuk menjadi penulis blog freelancer sepenuh masa. Ketika saya berbual dengannya melalui Google Meet pada Jun lalu, Hussein berkata bulan itu genap 3 tahun dia menjadi freelancer. Tujuannya dia menghubungi saya adalah kerana dia ingin mendapatkan bantuan. Dia memerlukan nasihat daripada seorang yang lebih berpengalaman kerana dia merasakan peluangnya untuk menjana pendapatan lebih dari apa yang diperolehinya hari ini amat sukar.

 

Apatah lagi untuk mendapatkan pendapatan lumayan melebihi RM10,000 sebulan. Rasanya terlalu jauh dan terlalu sukar. Tidak kiralah apa sahaja yang dia lakukan, berapa banyak buku-buku yang dia baca, kelas-kelas yang dia masuk dan coaching yang dia terima, pendapatannya masih lagi sama. Tidak pernah mencecah RM4,000 sebulan. Kata Hussein, RM3,500 itu seolah-olah gaji matinya, dengan nada yang agak sedih.

 

 

idea

 

 

Dia percaya, peluang yang datang itu lebih baik daripada tiada langsung. Sejak dari hari pertama sehinggalah pada waktu dia menghubungi saya Jun lalu, dia memang menerima apa sahaja peluang yang datang kepadanya. Kerja-kerja penulisan yang bayarannya hanya 20 sen untuk satu perkataan, dia terima. Pengendalian bengkel dengan bayaran RM100 sehari, dia terima. Berucap di majlis-majlis rasmi tanpa sebarang bayaran, dia terima.

 

Orang buat podcast, dia pun buat podcast. Orang buat ebook, dia pun buat ebook. Orang jual kursus-kursus dalam talian, dia pun jual kursus-kursus dalam talian. Orang bayar untuk coaching, dia pun bayar untuk coaching. Setiap hari dia memang sibuk, ke sana ke sini bekerja dan terus bekerja. Dalam istiqamah dia bekerja dan sentiasa gigih berusaha siang dan malam, namun hasil yang diperolehinya masih tidak seberapa. Ada bulan tertentu, dia mampu meraih RM3,000 sebulan. Ada bulan tertentu, tidak sampai RM2,000. Ada juga bulan tertentu, dia pernah menerima RM3,500. Tetapi Hussein tidak pernah mencecah pendapatan RM4,000 sebulan.

 

Saya mengenali Hussein sudah lama. Kami sering berbual di LinkedIn tetapi kali ini baharu pertama kali bersembang secara bersemuka melalui Google Meet. Berbual dengannya seolah-olah kami adalah kenalan yang sudah lama tidak berjumpa. Setelah mendengar ceritanya sehingga habis, saya berkata kepadanya, ‘Hussein, lupakan RM4,000 sebulan. Berapa nilai masa awak sebenarnya?”

 

“Nilai, maksudnya?” dia bertanya.

 

''Maksud saya, nilai masa awak untuk sejam.” Saya menjawab. Lama juga dia berfikir. Mungkin dia tidak pernah terfikir tentang soalan sedemikian rupa sebelum ini. Mungkin juga dia terlalu sibuk menerima apa sahaja peluang yang datang menjelma sehingga soalan ini tidak pernah terlintas di fikirannya. Mungkin juga dia terfikir, ada nilai rupanya setiap masa yang dia ada tidak kiralah sama ada masa tersebut dia gunakan untuk bekerja ataupun untuk berehat. 

 

Terkejut saya apabila Hussein menjawab masanya tidak bernilai. Dipendekkan cerita, saya pun mula berkongsi dengannya tentang beberapa kisah lampau saya, bagaimana saya juga mengalami situasi yang hampir sama dengan apa yang dialaminya dahulu dan bagaimana saya mengubah keadaan tersebut kepada yang lebih baik hanya dengan meletakkan nilai yang sesuai pada masa kita.

 

Saya juga menceritakan kepada Hussein bagaimana konsep ini bukan sahaja mengubah cara bagaimana saya menggunakan masa yang ada dengan lebih baik lagi tetapi juga mengubah hidup saya menjadi lebih berkualiti dan lebih tenang, tetapi pada masa yang sama mampu menjana pendapatan yang lebih stabil dan berkekalan. Bukan saya seorang sahaja tetapi beribu-ribu usahawan lain juga.

 

 

idea

 

 

Sebelum mengakhiri perbualan, ini pesanan saya kepadanya sebagai seorang kawan. “Hussein, cukup-cukuplah awak pandang rendah pada kemampuan diri sendiri. Lihat sendiri bagaimana tingginya kualiti kerja awak. Ini semua tidak datang dengan mudah. Ia adalah hasil dari kerja keras selama ini, pengalaman, kepandaian dan kepakaran awak sendiri. Ini semua awak lakukan dengan masa awak.

 

Jadi awak perlu berani meletakkan nilai yang sesuai untuk masa awak sendiri. Jangan risau, pelanggan awak pasti akan terima. Kalau mereka tidak dapat menerimanya, mungkin itu tanda-tanda mereka ingin mengambil kesempatan ke atas awak. Cari pelanggan lain.”

 

Pada hari ini, Hussein tidak lagi sama seperti dahulu. Pada hari ini dia tidak lagi menerima peluang yang bukan-bukan. Dia tidak lagi percaya, peluang yang datang itu lebih baik daripada tiada langsung, tetapi perlu memilih peluang yang datang itu yang mana satu yang berbaloi untuk dia terima. Julai lalu, dia memberitahu saya yang dia mula memberikan sebut harga yang jauh lebih mahal yang sesuai dengan kualiti kerjanya.

 

Dia sendiri terkejut rupa-rupanya kebanyakan pelanggannya menerima harga baharu yang diberikan dengan hati yang terbuka kerana mereka percaya dengan hasil kerja yang disediakan oleh Hussein. Penghujung bulan Ogos lalu, Hussein mula merasai nikmat menerima pendapatan lebih RM7,000 buat kali pertama dalam hidupnya.

 

Sedikit demi sedikit dia mengubah pendekatan perniagaannya dengan berhenti menerima peluang-peluang yang tidak berbaloi tetapi sebaliknya lebih berani berunding untuk harga yang lebih sesuai.

 

Azleen Abdul Rahim adalah seorang pakar strategi pemasaran, juga penulis di blog Tanarata dan kini kolumnis DagangNews.com menerusi kolum IDEA DIGITAL setiap Selasa.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI IDEA DIGITAL