Mengapa pengunjung beredar terlalu cepat dari sesebuah laman web? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Idea Digital - 3 August 2021

Mengapa pengunjung beredar terlalu cepat dari sesebuah laman web?

 

CUBA perhatikan betul-betul, secara purata berapa lama setiap pengunjung akan datang ke laman web kita kekal di dalamnya sebelum mereka beredar.

 

Sekiranya mereka sekadar ‘hinggap’ seketika sahaja dan kemudiannya keluar, ini bermakna laman web kita sama ada terlalu bosan, tidak relevan, berserabut, tidak menarik ataupun mungkin sebab-sebab lain yang kita sendiri tidak tahu.

 

Nampaknya kita akan rugi besar kerana para pengunjung tadi tidak akan sempat untuk melihat produk atau perkhidmatan yang kita sediakan, apatah lagi untuk membuat pertimbangan untuk membelinya.

 

Bagi saya, memiliki sebuah laman web boleh diibaratkan seolah-olah kita memiliki kedai sendiri. Apabila kita mempunyai kedai, pertama sekali, kita mestilah ingin membuat dekorasi mengikut tema tertentu.

 

Kita juga akan membahagikan bahagian dalaman kedai mengikut ruang-ruang tertentu, mengikut jenis produk agar nampak teratur dan kemas. Bukan itu sahaja, ruang kedai kita juga perlu sesuai dengan saiz pengunjung yang kita ramalkan akan masuk dalam satu-satu masa.

 

Promosi pula biasanya akan dilakukan di hadapan kedai, sama ada di pintu hadapan ataupun di tingkap bagi menarik perhatian orang ramai yang lalu lalang di luar seolah-olah kita ingin menjemput mereka untuk masuk ke kedai kita dan melihat dengan lebih lanjut semua jenis produk dan perkhidmatan yang kita tawarkan.

 

Sama seperti kedai, laman web kita perlu bersedia untuk menerima seberapa ramai pengunjung yang boleh, mampu menarik mereka untuk masuk, mampu membuatkan mereka berada di dalamnya selama mungkin, mampu membuatkan mereka membeli atau melanggan sesuatu dari kita, memudahkan proses pembelian mereka dan mampu membuatkan pengunjung tadi untuk datang kembali pada masa yang akan datang. Ini merupakan ciri-ciri asas sebuah laman web yang baik.

 


 

idea

 


 

Yang datang ramai, yang membelinya sedikit

Soalan, pernah atau tidak anda pernah berasa pelik apabila pengunjung yang masuk ke laman web anda begitu ramai sekali tetapi yang membelinya tidak seberapa?

 

Di antara beberapa jenama besar yang pernah saya bantu sebelum ini, saya masih ingat lagi tentang masalah sama yang dihadapi oleh satu jenama pengedar barangan sukan terkenal di Malaysia ini. Mereka sangat terkenal sehinggakan laman web mereka menerima ribuan pengunjung setiap jam. Memang gila, setiap jam! Tetapi, yang membelinya sangat sedikit. Memang tidak masuk akal. Persoalannya mengapa?

 

Jawapannya mudah, ada tiga sebab utama mengapa mereka akan berasa sesak nafas sekiranya berada lebih lama lagi pada laman web tersebut.

  1. Para pengunjung yang datang tidak tahu ke mana mereka hendak pergi kerana struktur laman web yang terlalu berserabut, tidak tersusun dan kompleks.
     
  2. Kelajuan laman web mereka yang terlalu perlahan berbanding kelajuan normal yang biasa mereka rasai.
     
  3. Maklum balas bekas pelanggan yang memberikan ulasan yang negatif tentang jenama ini di media sosial berdasarkan pengalaman mereka sebelum ini.

 

 

Faktor-faktor lain yang membuatkan pengunjung cepat beredar

Ketiga-tiga faktor di atas tadi, walaupun nampak kecil, tetapi sangat penting sehingga mampu memberi kesan ke atas penjualan produk mereka.

 

Bukan itu sahaja, Google juga tidak akan memberikan kedudukan ranking yang baik kepada laman-laman web yang mempunyai bounce rate yang tinggi.

 

Selain daripada faktor-faktor di atas, mungkin senarai di bawah ini juga boleh menjadi penyebab utama mengapa para pengunjung yang datang ke laman web kita akan beredar terlalu cepat.

 

 

 

idea

 

 

 

Reka bentuk laman web yang mengingatkan pengunjung kepada laman web kerajaan

Kalau laman web kita kelihatan hampir seiras dengan laman web kerajaan, ini masalah besar. Kita sama sekali tidak mahu sebaik sahaja para pengunjung sampai di muka hadapan laman web kita, mereka terus berkata “ini laman web kerajaan ke apa?

 

Cuba kita muhasabah diri sedikit, kita bukan lagi berada pada tahun 1996, tetapi 2021, tahun di mana manusia kini telah pun terbang ke angkasa untuk melancong.

 

Cuba lihat laman web yang dimiliki oleh kebanyakan jenama terkenal dunia, lihat bagaimana mereka melakukannya. Kemudian bandingkan dengan laman web mereka dengan apa yang kita ada. Sekiranya ia mempunyai perbezaan yang sangat ketara, nampaknya kita perlu berbuat sesuatu dengan segera.

 

Terlalu banyak tulisan

Kini pengguna tidak lagi gemar membaca. Mereka lebih gemar untuk scan. Melihat dengan sekali lalu akan membuatkan penilaian terhadap sesuatu laman web itu dilakukan dengan jauh lebih pantas berbanding biasa.

 

Kemudian, baharu mereka akan membaca sekiranya mereka berminat untuk mengetahui sesuatu yang kita ada itu dengan lebih mendalam. Untuk memenuhi keperluan ini, kita perlu kurangkan penulisan dan lebihkan kepada visual seperti video, gambar dan juga infografik pada laman-laman utama.

 

Lagipun, tulisan kita yang berjela-jela panjangnya pada setiap muka surat akan membuatkan orang berasa sesak nafas untuk berada lebih lama lagi dalam laman web anda, jadi mereka pun terus beredar. Penulisan yang panjang seharusnya diletakkan pada halaman Blog sahaja.

 


 

idea

 


 

Borang

Sekiranya tiada borang untuk para pengunjung bertanya atau boleh menggalakkan mereka berinteraksi secara langsung, mereka akan tidak teragak-agak untuk tidak bertanya.

 

Dan apabila mereka tidak bertanya, kita sendiri yang akan rugi kerana mungkin pada masa itu mereka berminat dan bersedia untuk membeli. Jadi pastikan kita mempunyai satu atau dua borang bagi membolehkan mereka bertanya dan interaksi secara langsung dengan kita.

 

Letakkan borang-borang itu pada tempat-tempat yang sesuai. Kita boleh lihat nanti bagaimana strategi mudah ini sebenarnya mampu membuatkan mereka kekal lebih lama.

 

 

Gambar percuma yang diambil dari internet dan Google

Lagi satu kesalahan besar laman web ialah menggunakan gambar-gambar percuma yang diambil dari internet dan Google. Para pengunjung sebenarnya sudah masak benar dan sering kali melihat gambar-gambar yang sama di tempat lain.

 

Malah, ada di antara mereka yang menggunakan gambar-gambar yang sama juga pada laman web atau kandungan mereka. Sekiranya saya sendiri melihat balik-balik gambar yang sama sahaja yang digunakan pada laman web yang saya lawati, saya akan terus keluar meninggalkannya.

 

Memang membosankan. Selain dari itu, kebanyakan gambar-gambar percuma ini berlatarbelakangkan individu dan suasana dari Barat sedangkan kita pula ini berada di Malaysia, jadi memang tidak sesuai digunakan.

 

 

idea

 

 

Ejaan dan tata bahasa yang salah

Ini juga satu perkara yang amat sensitif. Apabila mereka melihat terlalu banyak kesalahan pada ejaan dan tata bahasa yang digunakan dalam penulisan kita di laman web, kita secara tidak langsung akan membuatkan mereka tahu yang sebenarnya kita adalah sebuah jenama yang amatur, kecil dan tidak boleh dipercayai.

 

Sudah tentu kita tidak mahu keadaan sebegini terjadi. Jadi, semak dengan teliti terlebih dahulu sebelum memuat naik apa jua penulisan ataupun kandungan ke dalam laman web.

 

 

idea

Bahasa yang digunakan

Ini juga penting. Bahasa yang sepatutnya digunakan untuk laman web kita, perlu selari dengan majoriti pengunjung yang datang atau dengan komuniti yang kita sasarkan. Sekiranya mereka terdiri daripada komuniti yang sering menggunakan bahasa tertentu dalam interaksi harian mereka, maka kita perlu selarikan penulisan kita mengikut bahasa mereka.

 

Sekiranya majoriti yang datang ke laman web kita lebih banyak yang datang dari luar negara contohnya, laman web kita perlu disediakan dalam bahasa Inggeris.

 

Ada juga beberapa jenama yang mempunyai komuniti majmuk, yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, jadi mereka tidak dapat lari dari menyediakan kandungan laman web mereka dalam beberapa bahasa yang sesuai.   - DagangNews.com

 

 

Azleen Abdul Rahim adalah seorang pakar strategi pemasaran, juga penulis di blog Tanarata dan kini kolumnis DagangNews.com menerusi kolum IDEA DIGITAL setiap Selasa.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI IDEA DIGITAL

 

 

Portfolio Tags