6 persoalan kerap dibangkitkan dalam kewangan Islam
KALI ini sempena pagi raya Aidilfitri kedua, penulis ingin menjawab 6 soalan lazim dalam kewangan Islam yang sering menjadi buah mulut masyarakat.
1. Mengapa kadar pembiayaan yang ditetapkan bank-bank Islam dikatakan lebih tinggi daripada bank konvensional?
Sebenarnya, kadar yang ditetapkan oleh bank-bank konvensional dan Islam adalah bergantung kepada kos dalaman mereka serta strategi pemasaran. Adalah tidak benar dengan mengatakan kadar Islamik lebih tinggi daripada kadar konvensional sedangkan dalam industri terdapat lebih daripada 30 bank yang menawarkan pembiayaan secara Islam dengan kadar yang amat kompetitif. Pelanggan perlu pandai membeli-belah dalam industri kewangan untuk mencari kadar yang bersesuaian dengan mereka.
2. Adakah benar institusi perbankan Islam hanya menggunakan kontrak-kontrak di dalam dunia kewangan dengan hanya meletakkan nama Islam sahaja tanpa menukar apa-apa?
Tuduhan sebegini agak berat kerana dalam perbankan Islam, bank tidak menggunakan akad pinjaman dengan interest (faedah) sebagaimana yang diaplikasi oleh bank-bank konvensional. Perbankan Islam menggunakan akad jualan, usaha sama, sewa beli dan pinjaman tanpa faedah yang disahkan patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM).
3. Mengapa adanya perbezaan pendapat dalam penggunaan Forex? Ada yang kata haram ada yang kata halal?
Forex adalah jual beli mata wang. Akad yang digunakan ialah Bay Al Sarf yang mana syarat penting adalah pertukaran mata wang tersebut wajib dilaksana secara ‘on spot’ tanpa ada penangguhan penghantaran mata wang tersebut. Hukum asal Forex adalah harus. Ia akan menjadi tidak patuh syariah sekiranya syarat di atas tidak dipenuhi.
4. Apa sebenarnya yang terjadi pada Ar-Rahnu sekitar 2018/2019, apabila penggunaan ia secara tiba-tiba digantung kerana dikatakan tidak selari dengan Islam, kemudiannya dibenarkan semula selepas dikaji?
Untuk makluman, sebelum ini produk Ar-Rahnu menggunakan akad Rahn dan akad pinjaman. Ijtihad terbaharu oleh Majlis Penasihat Syariah BNM telah mengisytiharkan bahawa kombinasi Rahnu dan Qard tidak boleh lagi dilaksana kerana terdapat beberapa ketidakpatuhan. Oleh demikian, saranan untuk menggunakan akad komoditi murabahah (tawarruq) dan Rahnu diperkenalkan.
5. Jika benar institusi/bank Islam ini dicipta untuk membantu orang Islam, mengapa sudah tiada kontrak Qardul Hassan?
Akad Qardul Hasan ini disebut sebagai kontrak pinjaman ehsan. Bank adalah sebuah entiti perniagaan dan bukan entiti kebajikan. Mereka berniaga untuk mendapatkan keuntungan kepada para pemegang taruh mereka seperti pendeposit dan juga para pelabur. Oleh demikian, akad-akad berniaga seperti akad jualan, sewaan, usaha sama akan digunakan untuk mendapat keuntungan.
6. Apakah masa hadapan kewangan Islam dengan kehadiran teknologi kewangan (fintech)?
Fintech adalah satu pembaharuan aplikasi dalam sistem kewangan yang mana seluruh aktiviti kewangan menggunakan teknologi. Ia digalakkan oleh syariat kena tujuan dasar ialah untuk memudahkan dan mengurangkan kos yang sebelum ini perlu dibayar. Jadi, ia mendatangkan banyak kebaikan kepada masyarakat. Kewangan Islam juga sedang berusaha untuk manfaatkan aplikasi fintech ini dalam urusan muamalat mereka.
Salam Aidilfitri dan maaf zahir batin dari penulis untuk semua pembaca yang budiman. - DagangNews.com
Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.