Analisis dividen syariah 5.4%, dividen patuh syariah konvensional 1.87% KWSP | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 12 Mar 2024 07:00 AM

ANALISIS DIVIDEN SYARIAH 5.4%, DIVIDEN PATUH SYARIAH KONVENSIONAL 1.87% KWSP

 

 

 

Alhamdulillah, dividen KWSP telah diumumkan. Secara dasar, kadar dividen KWSP 2023 telah meningkat walaupun keadaan ekonomi negara masih dalam proses pemulihan.

 

Dividen simpanan KWSP Syariah sebanyak 5.40%, kenaikan sebanyak 0.65% dari kadar dividen 2022 manakala dividen simpanan KWSP Konvensional adalah sebanyak 5.50%, kenaikan sebanyak 0.15% dari kadar dividen 2022.

 

Kepada para Muslim, dividen patuh syariah akaun simpanan KWSP syariah 5.4% p.a. manakala dividen patuh syariah akaun simpanan KWSP konvensional yang boleh diterima (patuh syariah) adalah sebanyak 1.87% p.a. sahaja.

 

Ini adalah kerana sebahagian besar dari pelaburan yang dibuat menggunakan dana dari akaun simpanan KWSP Konvensional adalah pelaburan yang tidak mematuhi syariah.

 

Pada tahun 2023, 66% daripada pelaburan tersebut adalah pelaburan tidak patuh syariah.

 

 

iktisad

 

 

Jika dibanding dividen akaun simpanan KWSP Syariah dan akaun simpanan KWSP Konvensional, kadar dividen akaun konvensional  lebih 0.10% daripada kadar dividen akaun syariah.

 

Namun jika diteliti, peningkatan tahun 2022 ke 2023, terdapat bezantara peningkatan antara kedua-dua dividen akaun simpanan 2022 dan 2023.

 

Peningkatan kadar dividen  akaun syariah adalah 0.50% (0.65% minus 0.15%). Ini bermaksud, peningkatan pendapatan hasil pelaburan akaun simpanan KWSP Syariah telah meningkat dari segi keuntungan di tahun 2023 berbanding dengan hasil pelaburan akaun simpanan KWSP Konvensional.

 

Apa-apa pun penulis mengucapkan tahniah kepada Jabatan Pelaburan KWSP kerana berjaya merapatkan jurang dividen akaun simpanan KWSP Syariah dengan dividen akaun simpanan KWSP Konvensional.

 

Penulis berdoa 2024 diberkati Allah dan kita akan lihat kadar dividen akaun simpanan KWSP Syariah 2024 melintasi kadar dividen yang satu lagi.

 

Sementara itu juga penulis mengharapkan kepada Muslim yang masih lagi memegang akaun simpanan KWSP Konvensional agar mereka menyucikan dividen mereka dengan mengambil kira peratusan pelaburan tidak patuh syariah yang dibuat oleh KWSP.

 

Bahagian yang kena suci itu perlu disalur ke Baitulmal atau mana-mana badan kebajikan. Makna kata, daripada 5.5% dividen yang diterima, mereka hanya boleh simpan 1.87% sahaja kerana 66% daripada pelaburan yang dilaksana menggunakan dana akaun simpanan konvensional adalah pelaburan tidak patuh syariah.

 

Manakala untuk para pelanggan Muslim yang sudah mempunyai akaun simpanan KWSP Syariah, penulis ucapkan tahniah, kerana keseluruhan 5.4% dividen yang diterima boleh disimpan dan dinikmati dengan aman dan sejahtera.

 

Sementara itu timbul persoalan tentang bagaimana hendak mengira dividen yang tidak patuh syariah untuk disalurkan kepada Baitulmal atau mana-mana badan kebajikan.

 

 

iktisad

 

 

Berikut adalah satu daripada pendapat para cendikiawan Islam untuk mengira jumlah dividen tidak patuh syariah daripada akaun simpanan KWSP Konvensional yang perlu disalurkan kepada Baitulmal atau mana-mana badan kebajikan yang diiktiraf untuk dijadikan pedoman.

 

Contoh, jumlah dividen akaun simpanan KWSP Konvensional dari tahun 2017 hingga tahun 2023 adalah sebanyak RM10,000 setiap tahun. Dana yang dilabur oleh KWSP kepada asset yang tidak patuh syariah adalah seperti berikut:

 

Tahun 2023 sebanyak 66%

Tahun 2022 - 73%

Tahun 2021 - 69%

Tahun 2020 - 69%

Tahun 2019 - 71%

Tahun 2018 - 68%

Tahun 2017 - 64%

 

 

iktisad

 

 

Oleh yang demikian jumlah dividen diterima melalui akaun simpanan konvensional yang perlu disalur ke Baitulmal atau mana-mana badan kebajikan yang diiktiraf adalah:

 

Tahun 2023 - RM6,600

Tahun 2022 - RM7,300

Tahun 2021 - RM6,900

Tahun 2020 - RM6,900

Tahun 2019 - RM7,100

Tahun 2018 - RM6,800

Tahun 2017 - RM6,400

 

Manakala jumlah dividen yang boleh disimpan dari dividen yang diterima dari akaun simpanan konvensional sebagai dividen patuh syariah adalah:

 

Tahun 2023 - RM3,400

Tahun 2022 - RM2,700

Tahun 2021 - RM3,100

Tahun 2020 - RM3,100

Tahun 2019 - RM2,900

Tahun 2018 - RM3,200

Tahun 2017 - RM3,600

 

Sementara itu penulis telah mendapatkan beberapa fakta berkaitan dengan agihan dividen KWSP untuk maklumat bersama:

 

  1. Aset pelaburan KWSP berjumlah RM1,135 billion di mana 62% dilaburkan dalam pasaran domestik dan 38% dilaburkan di pasaran luar. Namun, hasil pelaburan luar telah menjana keuntungan sebanyak RM35.28 billion, 53% pendapatan pelaburan secara keseluruhan, manakala selebihnya (47%) adalah hasil pelaburan domestik.
     
  2. Agihan dividen KWSP sebanyak RM57.81 billion kepada ahli akaun simpanan konvensional adalah sebanyak RM50.33 billion (87.70%) manakala kepada ahli akaun simpanan syariah adalah sebanyak RM7.48 billion (12.30%).
     
  3. Malangnya 70% pencarum Muslim masih lagi belum lembut hati untuk menukar akaun simpanan KWSP mereka kepada akaun simpanan syariah. Fakta ini amat merunsingkan penulis kerana walaupun segala usaha telah dilaksana oleh para dae dan juga Jabatan Pelaburan KWSP, namun ia masih belum berjaya membuka hati mereka untuk menerima hidayah.
     
  4. Pada tahun 2023, pendaftaran ahli baharu KWSP bertambah sebanyak 460,447 orang. Setakat 2023 jumpah ahli KWSP adalah 16.07 juta orang.
     
  5. Jumlah caruman telah meningkat pada tahun 2023 kepada RR99.56 billion, peningkatan sebanyak 15% dari tahun 2022.
     
  6. Jumlah majikan baharu yang berdaftar dengan KWSP pada tahun 2023 adalah berjumlah 82,005 majikan. Di tahun 2023 terdapat 606,187 majikan yang berdaftar.
     
  7. Sukacita dimaklumkan bahawa ahli pencarun sukarela telah meningkat sebanyak 17% dari tahun 2022 kepada 905,923 pencarum sukarela pada tahun 2023.

 

 

Dengan prestasi pelaburan syariah yang baik pada tahun 2023, pada tahun 2024 KWSP telah merangka strategi untuk mengasingkan portfolio konvensional dan Islamik berhubung dengan pelaburan patuh syariah.
 

 

Jika sebelum ini pendapatan simpanan konvensional dijana oleh potfolio konvensional dan potfolio syariah, manakala pendapatan simpanan syariah hanya dijana oleh potfolio syariah sahaja, namun pada tahun 2024, potfolio Islamik dan potfolio konvensional akan masing-masing diberikan alokasi asset strategik masing-masing.

 

 

iktisad

 

 

Oleh yang demikian, penulis merayu kepada semua umat Islam untuk segera beralih kepada akaun simpanan KWSP Syariah.

 

Sudah tidak ada sebab orang Muslim yang mengaku beriman kepada Allah merasa ragu-ragu dan menunggu untuk bertukar dari akaun simpanan konvensional. Jom, tukar sekarang. Secara dalam talian pun boleh. - DagangNews.com

 

Dr Razli Ramli adalah Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM

utm

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD

 

dagangnews