Apakah kaitan OPR kepada kemudahan pembiayaan Islam?
APABILA soal ekonomi yang berkait dengan institusi kewangan dibincang, antara persoalan yang sering dibangkitkan adalah kesan kadar dasar semalaman atau dikenali sebagai overnight policy rate (OPR) terhadap bayaran ansuran pembiayaan para pelanggan institusi kewangan.
Terdapat beberapa persoalan yang harus dijawab penulis. Apakah OPR? Adakah Kadar Asas (Base Rate - BR), Kadar Pembiayaan Asas (Base Financing Rate – BFR) dan Kadar Pinjaman Asas (Base Lending Rate – BLR) dikawal oleh Bank Negara Malaysia (BNM)? Bagaimana impak turun naik OPR memberi kesan kepada pihak institusi kewangan sehinggakan ia membawa perubahan kepada bayaran ansuran pelangggan?
Maksud OPR
Untuk makluman, OPR ini ialah kadar faedah atau keuntungan semalaman yang dikenakan ke atas pinjaman /pembiayaan wang antara institusi kewangan. Ia adalah satu mekanisme dasar monetari negara.
Dasar monetari adalah dasar ekonomi yang menguruskan kadar pertumbuhan penawaran tunai dalam ekonomi.
BR, BFR dan BLR sebenarnya tidak dikawal oleh BNM. Pihak institusi itu sendiri yang yang mengawalnya.
Kebiasaannya, untuk sesebuah institusi kewangan menentukan BLR atau BFR atau BR, ia akan berdasarkan kepada kos dana dalaman (internal cost of fund).
Kos dana dalaman adalah kos yang ditanggung oleh pihak institusi kewangan untuk meminjam/menjana dana/wang yang akan mereka diguna untuk membiaya para pelanggan mereka yang mengambil kemudahan kredit seperti pembiayaan dan pinjaman. Inilah OPR.
Kenaikan dan penurunan OPR
OPR ditentukan oleh BNM. Sekarang ini OPR adalah 1.75% setahun. Tujuan OPR ini adalah untuk BNM mengawalselia pergerakkan tunai di dalam ekonomi negara.
Kalau OPR tinggi, ia akan menarik orang ramai menyimpan wang di institusi kewangan kerana pulangan kepada simpanan mereka akan tinggi.
Walaupun begitu, aktiviti pembiayaan dan pinjaman pula menjadi kurang kerana kadar keuntungan atau kadar faedah akan menjadi tinggi.
Sekiranya OPR rendah, pertumbuhan aktiviti pembiayaan dan pinjaman akan menjadi aktif. Ramai pelanggan akan mendapatkan kemudahan pembiayaan atau pinjaman kerana kadar keuntungan atau kadar faedah juga akan berkurang.
Para pelanggan juga akan mula mengeluarkan wang simpanan mereka kerana pulangan kepada simpanan mereka juga akan menurun.
BLR dan BFR dan BR sememangnya sangat-sangat bergantung kepada OPR. Ini kerana OPR adalah kadar bunga atau kadar keuntungan antara institusi kewangan dalam money market atau Islamic money market yang menentukan kos dana dalaman institusi kewangan.
Secara santai, apabila OPR dinaikkan, maka kebiasaannya BLR dan BFR dan BR juga akan menokok naik. Ketika OPR diturunkan oleh BNM, maka BLR, BFR, BR pun akan turut sama menurun.
Kesan kenaikan dan penurunan OPR
Penulis merumuskan bahawa kesan kepada kemudahan pinjaman institusi konvensional adalah secara langsung kerana kemudahan pinjaman mereka bergantung penuh kepada BLR dan BR.
Bagi perbankan Islam pula ia bergantung kepada jenis kadar keuntungan yang diaplikasi oleh institusi kewangan tersebut.
Kepada pembiayaan yang menggunakan kadar keuntungan jenis fixed rate, maka kenaikan atau penurunan OPR tidak memberikan kesan. Ini kerana kadar keuntungan adalah tetap dan tidak akan berubah.
Untuk pembiayaan yang mengunakan kadar keuntungan jenis floating rate, kenaikan dan penurunan OPR akan memberikan kesan yang minimum.
Tetapi kesannya tidaklah sangat dirasai kerana kenaikan dan penurunan BR tidak akan melebihi kadar ceiling rate yang telah dimeterai dalam perjanjian.
Jadi jika BR sudah melebihi ceiling rate, kenaikan OPR yang membuatkan kadar BR juga naik, tidak lagi berkesan.
Kepada institusi kewangan yang menggunakan kadar keuntungan jenis sewaan pula, seperti penggunaan konsep Musyarakah Mutanaqissah atau Ijarah Muntahiya Bit Tamleek, kesan kenaikan dan penurunan OPR ini adalah secara langsung sepertimana kemudahan pinjaman di institusi kewangan konvensional.
Maknanya apabila OPR naik, maka kadar keuntungan bank pun akan turut menokok naik. Penurunan OPR akan menurunkan kadar keuntungan institusi kewangan itu juga.
Dr Razli Ramli merupakan seorang Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. - DagangNews.com