Bagaimana lupuskan saham patuh syariah yang bertukar tidak lagi patuh pada 31 Mei 2024? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 4 June 2024

Bagaimana lupuskan saham patuh syariah yang bertukar tidak lagi patuh pada 31 Mei 2024?

 

 

 

Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah meluluskan senarai kemas kini saham yang diklasifikasikan sebagai saham patuh Syariah.

 

Senarai kemas terkini saham patuh syariah tersebut telah disenaraikan dan berkuat kuasa pada 31 Mei 2024 (tarikh kuat kuasa).

 

Kali ini, sebanyak 27 saham diklasifikasikan sebagai saham patuh syariah.

 

 

iktisad

 

Sebanyak 14 saham telah diklasifikasikan sebagai saham tidak patuh Syariah.

 

iktisad

 

Pecahan senarai saham patuh syariah mengikut sektor adalah seperti di Jadual di bawah. 

iktisad

 

Daripada jadual di atas dirumuskan 81% daripada 1,011 saham yang diapungkan di Bursa Malaysia adalah saham patuh syariah.

 

Berikut adalah beberapa soalan lazim yang sering menjadi bualan masyarakat dan industri.

 

  1. Dari manakah MPS SC mendapatkan maklumat mengenai syarikat untuk ditentukan status kepatuhan syariah?
    Dalam penentuan status kepatuhan syariah saham, MPS menerima input dan sokongan daripada SC yang mendapatkan maklumat mengenai syarikat tersebut melalui, laporan tahunan dan pertanyaan yang dibuat kepada pihak syarikat.

 

  1. Bagaimanakan proses kajian yang dibuat MPS untuk menentukan kepatuhan saham?
    MPS melalui SC, akan mengkaji status Syariah saham-saham yang tersenarai di Bursa Malaysia pada setiap tahun, berdasarkan penyata kewangan tahunan terkini syarikat yang diaudit.

 

  1. Untuk senarai saham patuh syariah kali ini kajian penyata kewangan yang bagaimanakah yang dipilih MPS?
    Untuk senarai kali ini, MPS telah mengkaji penyata kewangan tahunan yang telah diaudit yang dikeluarkan antara 1 Oktober 2023 dan 31 Mac 2024.

 

  1. Pendekatan bagaimana yang dipraktikan oleh MPS untuk membuat saringan dalam penentuan status saham patuh syariah?
    MPS mengguna pakai pendekatan kuantitatif dua peringkat yang mengguna pakai tanda aras aktiviti perniagaan dan tanda aras nisbah kewangan, dalam menentukan dan mengklasifikasikan status Syariah saham-saham yang tersenarai.

    Oleh yang demikian, saham-saham akan diklasifikasikan sebagai patuh Syariah sekiranya nisbah aktiviti perniagaan dan nisbah kewangan mereka berada di bawah tanda aras tersebut.

 

  1. Apakah yang dimaksudkan dengan nisbah aktiviti perniagaan?
    Nisbah aktiviti perniagaan yang dimaksudkan adalah sumbangan daripada aktiviti-aktiviti tidak patuh Syariah kepada perolehan Kumpulan dan keuntungan sebelum cukai Kumpulan sesebuah syarikat akan dikira dan dibandingkan dengan tanda aras aktiviti perniagaan. Sumbangan ini mestilah kurang daripada 5% dan kurang daripada 20%.

 

  1. Apakah tanda aras nisbah aktiviti perniagaan?  Tanda aras nisbahnya adalah seperti berikut:
    1. Tanda aras lima peratus ini diguna pakai bagi perniagaan/aktiviti perbankan dan peminjaman konvensional; insurans konvensional; perjudian; arak dan aktiviti-aktiviti berkaitan dengannya; babi dan aktiviti-aktiviti berkaitan dengannya; makanan dan minuman tidak halal termasuk makanan dan minuman tanpa pensijilan halal; tembakau, rokok, rokok elektronik dan aktiviti-aktiviti serta produk- produk berkaitan dengannya; pendapatan faedah daripada akaun dan instrumen konvensional (termasuk pendapatan faedah yang diterima berikutan daripada keputusan mahkamah atau penimbang tara, caj lewat bayar dan caj penalti); dividen daripada pelaburan tidak patuh Syariah; hiburan tidak patuh Syariah; dan aktiviti-aktiviti lain yang diputuskan sebagai tidak mematuhi prinsip-prinsip Syariah sebagaimana yang ditentukan oleh MPS.
       
    2. Tanda aras 20 peratus ini diguna pakai bagi perniagaan/aktiviti berkaitan dengan jual beli saham; pembrokeran saham; pawagam; sewaan daripada aktiviti-aktiviti tidak patuh Syariah; dan aktiviti-aktiviti lain yang diputuskan sebagai tidak mematuhi prinsip-prinsip Syariah sebagaimana yang ditentukan oleh MPS.

 

  1. Apakah pula tanda aras nisbah kewangan?
    Bagi tanda aras nisbah kewangan, MPS mengambil kira nisbah Tunai ke atas jumlah asset dan nisbah hutang ke atas jumlah asset. Tunai yang diambil kira ialah tunai yang ditempatkan dalam akaun dan instrumen konvensional, manakala tunai yang ditempatkan dalam akaun dan instrumen Islam tidak diambil kira dalam pengiraan ini.

    Hutang yang diambil kira pula ialah hutang yang berteraskan faedah, manakala pembiayaan secara Islam ataupun sukuk tidak diambil kira dalam pengiraan ini.
    Setiap nisbah di atas, yang bertujuan untuk menilai riba dan elemen berteraskan riba dalam penyata kedudukan kewangan sesebuah syarikat, mestilah kurang daripada 33%.

 

 

 

Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

 

 

 

  1. Apakah lagi pendekatan MPS dalam proses saringan untuk menentukan status saham patuh syariah?
    Di samping kriteria kuantitatif dua peringkat di atas, MPS juga mengambil kira aspek kualitatif yang melibatkan persepsi masyarakat umum atau imej aktiviti syarikat dari perspektif pengajaran Islam.

 

  1. Bila senarai saham patuh syariah disenaraikan oleh MPS SC?
    Senarai saham patuh syariah akan disenaraikan MPS SC dua kali setahun, yakni, pada hari Jumaat terakhir bulan Mei dan juga hati Jumaat terakhir bulan November, setiap tahun. Tahun ini, hari Jumaat terakhir bulan Mei jatuh pada 31 Mei 2024.

 

  1. Apakah yang harus dilakukan sekiranya saham yang dipegang telah bertukar status kepada saham tidak patuh syariah?
    Jika saham telah bertukar status, saham tersebut haruslah dilupuskan sesegera mungkin dalam masa sebulan.

 

  1. Apa yang kena buat dengan keuntungan saham tidak patuh syariah yang telah dilupuskan?
    Sebarang dividen yang diterima sehingga tarikh berkuat kuasa (31 Mei 2024) serta keuntungan modal hasil daripada pelupusan saham tidak patuh Syariah tersebut pada tarikh berkuat kuasa tersebut, boleh disimpan oleh para pelabur.

    Walau bagaimanapun, sebarang dividen yang diterima dan lebihan keuntungan modal yang diterima hasil daripada pelupusan saham tidak patuh Syariah selepas tarikh kuat kuasa, hendaklah disalurkan kepada baitulmal dan/atau badan-badan kebajikan.

 

  1. Jika dilupuskan saham tidak patuh syariah, maka kerugian akan berlaku. Apa perlu pelabur buat?
    Pelabur dibenarkan untuk memegang pelaburan dalam saham tidak patuh Syariah sekiranya harga pasaran saham tersebut berada di bawah kos pelaburan.

    Sepanjang tempoh pegangan saham tidak patuh Syariah, para pelabur juga dibenarkan untuk menyimpan dividen yang diterima sehingga jumlah dividen yang diterima dan harga pasaran saham tidak patuh Syariah tersebut bersamaan dengan kos pelaburan.
    Pada ketika ini, para pelabur dinasihatkan untuk melupuskan pegangan mereka.

 

 

iktisad

 

 

Mencari yang halal adalah fardu kepada seluruh umat Islam yang beriman dan bertakwa.
 

Penulis merayu agar kita semua pastikan portfolio pelaburan kita tidak ada saham yang tidak patuh syariah. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli adalah Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM


utm

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD

 

dagangnews

 

Portfolio Tags