Benarkah kewangan Islam 'dikawal' perbankan konvensional? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 03 Aug 2021 07:04 AM

Benarkah kewangan Islam 'dikawal' perbankan konvensional?

 

 

PENUBUHAN Bank Islam (Malaysia) Berhad pada 1983 adalah atas desakan penduduk beragama Islam yang sudah lama mahukan satu sistem kewangan tanpa riba dilaksanakan di negara ini. 

 

Sebelum itu, mereka enggan menggunakan kemudahan perbankan dan insurans atas sebab ingin menjadi muslim yang bertakwa, dengan mengerjakan apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang dilarang agama.

 

Ini kerana riba adalah haram, dan mereka mahu meninggalkannya.

 

Oleh demikian, ramai dalam kalangan mereka telah menyimpan wang secara membeli aset-aset tetap seperti tanah dan binatang ternakan. 

 

Sejarah membuktikan ramai yang beragama Islam adalah kaya raya tetapi bukan dalam bentuk wang tunai, tetapi kaya dengan aset sebegini. 

 

Mengetahui tentang perkara ini, kerajaan telah menubuhkan Bank Islam pada 1983 untuk membolehkan rakyat muslim bertransaksi dalam aktiviti perbankan tanpa riba.

 

Namun, masih kedengaran suara-suara sumbang yang masih lagi mengatakan sistem perbankan Islam ini masih mengikut telunjuk perbankan konvensional serta bergelumang dengan riba. 

 

Pada penulis, perbankan Islam kini telahpun menurut kehendak syariah apabila ia diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) di Bank Negara Malaysia (BNM).

 

MPS ini terdiri daripada mujtahid-mujtahid yang berilmu usul fiqh, fiqh muamalat, qawaid fikiyyah serta memahami erti ekonomi Islam yang berasas kepada ‘divine-based economy’ dalam membuat sebarang keputusan (ijtihad). 

 

Mereka juga sebenarnya mahir dalam sudut praktikal urusan kewangan Islam moden sekarang.

 

 

Bank Islam
Penubuhan Bank Islam menjadi titik tolak penting dalam perkembangan sistem kewangan Islam di negara ini.

 

 

Cabaran kepada kewangan Islam

 

Penulis ingin merujuk kepada satu ‘kaedah pertimbangan’ yang diguna oleh para mujtahid untuk membuat keputusan syariah, apabila berdepan dengan sesuatu isu dalam muamalat. Kaedah tersebut ialah fiqh muwazanat (kaedah pertimbangan). 

 

Fiqh muwazanat ialah kaedah yang digunakan oleh para mujtahid (ahli MPS) untuk mengimbangi ijtihad mereka, di antara keburukan dan kemudaratan iaitu mengambil yang lebih kecil keburukan/mudarat daripada yang lebih besar manakala di antara mengimbangi kebaikan/manfaat (maslahah) mestilah mengambil yang besar maslahahnya daripada yang kecil.

 

Penulis juga meminjam kata-kata Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dalam satu ucapan beliau apabila diminta untuk memberikan komen tentang cabaran perlaksanaan kewangan Islam di Malaysia berbanding kewangan konvensional sekarang:

 

“Langkah-langkah yang kecil dan mantap untuk tujuan kejayaaan yang lebih besar adalah lebih baik dengan tidak terburu-buru melaksanakan dengan cepat tetapi akhirnya yang dikejar tidak dapat dan yang dikendong keciciran. Pendekatan ini (kewangan Islam) secara beransur-ansur adalah lebih mantap, saya percaya, adalah manfaat yang lebih besar kepada ummah dan masyarakat pada umumnya."

 

Beliau juga percaya yang sistem kewangan Islam tidak wujud dalam vakum, malah sistem kehidupan sekarang ini adalah sebuah sistem kehidupan dalam dunia yang saling berkaitan dan berarena global, termasuk sistem kewangan. 

 

Malangnya, sistem ini kini ditadbir oleh kuasa-kuasa besar bukan Islam, yang mana umat Islam tidak sepenuhnya bebas untuk mengamalkan cita-cita mereka, termasuklah sistem kewangan.

 

Sehubungan itu, kita mesti cergas dan pragmatik untuk menyedari bahawa, dalam keadaan sebegini adalah menjadi satu cabaran untuk tidak melaksanakan keseluruhan sistem kewangan Islam dengan tergesa-gesa untuk mencapai semua aspek yang dikehendaki oleh syariah. 

 

Sebaliknya, kita harus bersedia untuk mempertimbangkan strategi pelaksanaan secara beransur-ansur, selagi mana strategi tersebut dalam kerangka yang dibenarkan oleh syariah. 

 

Malah, strategi tambahan juga harus diterokai agar kewangan Islam tidak masuk ke dalam perangkap fanatik dan ekstremisme yang bakal membawa kehancuran kepada ekonomi Islam secara keseluruhan.

 

Dr Razli Ramli merupakan seorang Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. - DagangNews.com