Dakwah perbankan Islam di bank konvensional | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 23 January 2024

DAKWAH PERBANKAN ISLAM DI BANK KONVENSIONAL

 

 

 

DAKWAH adalah subset kepada jihad. Dakwah adalah tugas asasi bagi setiap umat Islam untuk menyeru, mengajak, menyampaikan dan memperkenalkan kepada manusia mengenai ajaran agama Islam.

 

Dakwah juga boleh didefinisikan sebagai gerakan berterusan mengajak manusia ke jalan Allah SWT supaya mereka mendapat kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan di akhirat.

 

Firman Allah SWT: Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar merekalah orang-orang yang beruntung”. (Surah Al-Imran: 104)

 

Allah SWT berfirman: Maksudnya: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. (Surah Al-Nahl: 125)

 

Ayat-ayat ini menerangkan kepada kita bahawa dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat itu perlulah dilakukan secara berhikmah. Dakwah yang ingin disampaikan penulis di sini adalah berkaitan dakwah kewangan Islam.

 

 

iktisad
Dakwah kewangan Islam penulis di Moscow-State University Russia pada tahun 2015

 

 

Malaysia mengamalkan model sistem dwi perbankan, yang bermaksud terdapat sistem perbankan Islam dan konvensional wujud bersama yang beroperasi sebelah menyebelah.

 

Sistem ini diwujudkan dalam usaha memenuhi keperluan kewangan penduduk Malaysia yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama.

 

Bank konvensional beroperasi berdasarkan prinsip kewangan tradisional dan tidak terikat dengan prinsip Syariah.

 

Mereka menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan, termasuk pinjaman, akaun simpanan dan produk pelaburan yang bersandarkan kepada interes atau riba. Bank ini juga dibenar untuk menawarkan produk dan perkhidmatan Islam kepada para pelanggan.

 

Perbankan Islam pula beroperasi mengikut prinsip Syariah, yang melarang pembayaran atau penerimaan faedah (riba) dan memerlukan aktiviti perniagaan mematuhi piawaian etika dan moral.

 

Bank Islam menggunakan prinsip jual beli, perkongsian keuntungan, perjanjian pajakan dan mekanisme patuh Syariah yang lain. Bank ini tidak dibenarkan sama sekali menawarkan produk perbankan konvensional yang berteraskan riba kepada pelanggan mereka.

 

 

iktisad

 

 

Bank Negara Malaysia, yang mengawal selia kedua-dua institusi kewangan konvensional dan Islam di negara ini memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan dan sistem kewangan berfungsi dengan baik.

 

Perbankan Islam di Malaysia telah mengalami pertumbuhan yang ketara, dan negara telah menjadi perintis dalam membangunkan dan mempromosikan kewangan Islam di peringkat global. Malaysia juga telah mewujudkan reputasi antarabangsa sebagai pusat perbankan dan kewangan Islam.

 

Pada penulis strategi penyampaian dakwah kepada pelanggan muslim untuk memilih produk kewangan Islam juga perlulah berhikmah dengan memastikan setiap muslim yang berkunjung ke bank konvensional, memilih produk kewangan Islam juga.

 

Tanpa ada warga kerja bank yang membantu pelanggan memilih produk perbankan Islam, kebarangkaliannya besar untuk pelanggan muslim terjebak dengan produk perbankan yang berteraskan riba.
 

 

iktisad
Penulis dan rakan berkongsi pengalaman di Nigeria pada tahun 2014


 

Oleh yang demikian, penulis merasakan ada keperluan warga muslim yang bekerja di konvensional bank untuk memastikan setiap muslim yang hendak berurusan perbankan memilih produk dan perkhidmatan perbankan Islam yang ditawarkan di bank konvensional.

 

Mungkin disebabkan hikmah ini, sebahagian daripada muslim telah dipilih Allah untuk bekerja di sana walaupun penulis pasti, mereka menyimpan hasrat murni untuk berpindah ke institusi perbankan Islam sepenuhnya bila diperkenan yang Esa.

 

Sebagai seorang muslim yang bersaudara, ia menjadi tanggungjawab muslim tersebut untuk memperingatkan muslim yang lain (yang datang untuk membuka akaun perbankan) untuk menunaikan suruhan Allah SWT dengan membuka akaun perbankan Islam.

 

Nabi SAW bersabda:Maksudnya: “Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemahnya iman”. (Hadis riwayat Muslim)

 

Penulis juga meyokong pendapat sebilangan besar sahabat practitioner yang pakar dalam Muamalat dan syariah.

 

Mereka yang berilmu dalam kewangan Islam ini meyatakan yang mereka belajar segala ilmu ketika bekerja dalam institusi yang mengamalkan riba sebelum berkecimpung untuk menjayakan hasrat kewangan Islam merakyatkan produk dan perkhidmatan Islam kepada seluruh umat manusia.

 

Pada mereka, jika mereka tidak faham apa itu riba, bagaimana riba diaplikasikan dalam kewangan, di mana kekuatan dan kelemahan sistem riba, mereka akan menghadapi masalah dalam mengenalpasti perkara yang boleh dan tidak boleh dilaksana dalam aplikasi kewangan untuk membuang faktor riba dari Muamalat demi memenuhi kehendak syariah.

 

iktisad
Penulis bersama dae-dae kewangan Islam dari Malaysia Shanghai China pada 2016


 

Maka, penulis menyimpulkan jika ada sebilangan muslim yang masih bekerja di bank konvensional, maka belajarlah sebanyak mungkin ilmu tentang aplikasi riba kerana dengan memahami riba sedalamnya, ia akan membantu mereka untuk membasmi riba setelah berjaya mendapatkan tempat atau jawatan di mana-mana institusi kewangan Islam.

 

Dakwah untuk memastikan setiap umat Islam tidak berurusan dengan riba adalah satu fardu kifayah. Jika kemungkaran mengambil riba itu diketahui oleh lebih dari satu orang dari masyarakat muslim, maka hukum memberantas kemungkaran tersebut adalah fardu kifayah.

 

Maksudnya jika sebahagian daripada mereka, walaupun hanya seorang sahaja telah menunaikan kewajiban tersebut, maka kewajiban memastikan setiap umat Islam tidak berurusan dengan riba itu akan gugur terhadap muslim yang lain.

 

Jika tidak ada sesiapa pun yang melaksanakan kewajiban pembetarasan itu, maka semua muslim berdosa.

 

Firman Allah SWT: Maksudnya: Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru pada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar. [ Surah Ali Imran: 104]

 


 

Dato’ Wan Ismail Wan Jusoh
                   Dato’ Wan Ismail Wan Jusoh

 


Penulis teringat semasa proses temuduga penulis dengan Bank Islam ditahun 1996 di mana salah seorang penemuduga penulis, Dato’ Wan Ismail Wan Jusoh berkata kepada penulis – “Razli. Jihad kamu di Hock Hua Bank Berhad (penulis adalah pegawai perintis perbankan Islam di Hock Hua Bank ketika itu) adalah lagi besar pahalanya dari dari dakwah kami yang bekerja di Bank Islam ini”.

 

Tajam dan amat bermakna ujaran beliau. Tersemat dan tertanam jauh dilubuk jiwa hingga kini. -DagangNews.com

 

 
Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
utm

 

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD

 

dagangnews

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags