FAHAMI KEPENTINGAN KONTRAK DALAM TAKAFUL, ELAK BERLAKUNYA 'GHARAR'
KONTRAK itu aqad. Islam memandang berat tentang kontrak kerana ia merupakan bukti kerelaan antara dua pihak yang berurusan.
Jika tiada kontrak atau ikatan yang sah di antara kedua-belah pihak, maka transaksi dianggap tidak berlaku dan tidak sah.
Aqad atau kontrak dari sudut istilah membawa maksud suatu ikatan atau persetujuan yang berlaku di antara pihak yang pertama dengan pihak kedua melalui penawaran (ijab) dan penerimaan (qabul), yang akan melahirkan kesan undang-undang dan hak kepada pihak-pihak berkenaan.
Dalam muamalat, kontrak memainkan peranan yang penting dalam segala urusan transaksi bisnes termasuklah kewangan.
Ini kerana kontrak akan menentukan sama ada urusan atau kegiatan yang dilaksanakan adalah sah atau sebaliknya.
Dengan kata lain, jika kontrak yang kita adakan memenuhi keseluruhan rukun dan syarat maka kontrak tersebut adalah dikategorikan sebagai kontrak yang sah tetapi jika ia tidak memenuhi rukun dan syarat maka kontrak tersebut adalah kontrak yang tidak sah.
Terdapat pelbagai jenis kontrak dalam muamalat Islam, termasuklah takaful. Berikut adalah antara kontrak yang biasa digunakan khususnya dalam takaful :
Tabarru’
- Tabarru’ bermaksud menderma atau memberi hak milik secara percuma. Dalam operasi takaful setiap peserta yang ingin mendapatkan perlindungan takaful mestilah dengan niat yang ikhlas menyumbang sebahagian tertentu daripada sumbangan atau caruman bagi membantu peserta-peserta lain yang mungkin akan menghadapi musibah.
Mudarabah
- Mudarabah merupakan kontrak perkongsian yang mana modal daripada satu pihak dan usaha daripada pihak yang lain. Mudarabah merupakan salah satu kontrak yang diguna pakai dalam operasi takaful. Ia melibatkan pemodal (peserta takaful) dan pengusaha (pengendali takaful). Modal di sini merupakan sebahagian tertentu sumbangan atau caruman daripada peserta takaful. Usaha pula melibatkan pengemblengan sebahagian tertentu sumbangan atau caruman dalam aktiviti-aktiviti pelaburan.
Wakalah
- Wakalah bermaksud penyerahan tanggungjawab yang ada pada seseorang (muwakkil) kepada seseorang yang lain (wakil) dengan lafaz tertentu agar wakilnya itu menguruskan segala tanggungjawab yang diwakilkan. Para ulamak sepakat mengatakan adalah harus memberi wakil kepada orang lain, kerana ia termasuk dalam perkara tolong-menolong selagi perkara tersebut membawa kebaikan dan selari dengan kehendak syarak, seperti jual beli dan nikah.
- Dalam industri takaful, wakalah merupakan salah satu kontrak yang diguna pakai di dalam operasi takaful. Pengendali takaful dilantik sebagai wakil oleh peserta. Pengendali takaful (wakil) akan menjalankan tanggungjawab dengan menyumbang segala kepakarannya untuk memastikan tugasan yang diwakilkan kepadanya itu dilaksanakan dengan sempurna. Kedua-dua pihak yang berkontrak iaitu peserta dan pengendali takaful terikat di antara satu sama lain dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Qardh
- Kontrak Qardh merupakan kontrak pinjaman di mana peminjam hanya perlu membayar semula jumlah wang yang dipinjamkan sahaja tanpa sebarang bayaran tambahan. Peminjam bagaimanapun digalakkan mengikut budi bicaranya untuk membayar lebih daripada apa yang dipinjam. Prinsip ini adalah satu-satunya kontrak pinjaman yang dibenarkan oleh syarak dan tujuannya adalah semata-mata untuk keadilan sosial dan ekonomi. Dalam industri takaful, pinjaman (Qardh) akan diberikan oleh pemegang saham sekiranya berlaku defisit dalam Kumpulan Wang Takaful.
Hibah
- Kontrak Hibah bermaksud memberi milik sesuatu barangan kepada seseorang. Jika konsep Qardh merujuk kepada pinjaman tanpa faedah yang diberi untuk tujuan kebaikan seperti pinjaman yang diberikan oleh pemegang saham kepada pengendali takaful dalam melancarkan operasi takaful. Seharusnya, pengendali takaful akan membayar balik jumlah pinjaman yang diberikan, namun peminjam (pengendali takaful) boleh memberi hadiah (hibah) kepada pemberi pinjaman (pemegang saham) sebagai tanda penghargaan dan terima kasih.
Jual Beli
- Kontrak jual beli merupakan kontrak yang paling lazim dan boleh dikatakan sebagai asas bagi kontrak-kontrak yang lain. Berdasarkan kepada al-Qur’an dan Sunnah, para ulama telah menetapkan bahawa kontrak jual beli adalah dibenarkan.
- Dalam Islam, jika sesuatu itu terlibat dengan muamalat jual beli maka ia mesti memenuhi rukun dan syarat jual beli. Antara rukunnya ialah:
- Penjual dan Pembeli
- Ijab dan Qabul
- Barang
- Harga
- Dalam setiap rukun tersebut terdapat syarat-syarat sah pula. Antara syarat-syarat rukun kepada barang, yang mesti dipenuhi ialah:
- Wujud semasa jual beli
- Harta yang bernilai dan bermanfaat
- Milikan sah penjual
- Mampu untuk diserahkan
- Mengetahui kuantiti, jenis dan sifat
Insurans menggunakan kontrak jual beli. Namun ciri-ciri 'barang’ dalam kontrak insurans tidak menepati ciri-ciri barang yang telah ditetapkan oleh syarak. Oleh demikian, timbul keraguan tentang kontrak jual beli. Keraguan sebegini disebut 'gharar' yang membuat kontrak jual beli itu tidak sah. Oleh kerana satu rukun tidak dipenuhi, maka kontrak jual beli yang dilaksana insurans itu dengan sendirinya terbatal, dari pandangan syariah. - DagangNews.com
Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.