Fahamilah sejarah Sistem Perbankan Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 30 May 2023 07:00 AM

FAHAMILAH SEJARAH SISTEM PERBANKAN ISLAM

 

 

 

SISTEM perbankan tradisional, yang sekarang disebut perbankan konvensional merupakan satu sistem perbankan di mana berlakunya pertukaran wang.

 

Bank yang bertindak sebagai perantara akan mengumpul dana dari satu pihak yang mempunyai lebihan dana yang berhasrat untuk mendapat keuntungan dan menggunakan dana tersebut dalam kemudahan kredit kepada satu lagi pihak yang kekurangan dana dan memerlukan dana untuk pelbagai tujuan. Ini adalah dasar utama perbankan konvensional cara tradisional.

 

Dalam perbankan yang berlandaskan Syariah, konsep perantara adalah sama, namun terdapat beberapa perkara dalam urusniaga perbankan konvensional yang bertentangan dengan ajaran Islam.

 

Ini adalah kerana Islam telah mengharamkan unsur faedah (interest) yang diberi atau diterima oleh pihak bank seperti firman Allah di surah al-Baqarah ayat 275 di mana Allah telah mengharamkan riba dan membenarkan jual beli.

 

Dalam melaksanakan perbankan Islam, sesebuah institusi termasuk para warga kerja bank perlu mempunyai asas yang kukuh sebelum dapat melaksanakan perbankan Islam.

 

 

parafrasa

 

 

Asas sesebuah bangunan perlu kukuh dan kuat sebelum ia dapat dibina bertingkat-tingkat. Jika asas tidak kukuh, kebarangkalian bangunan tersebut runtuh amat tinggi.

 

Walaupun perkembangan perbankan Islam kini dilihat sebagai satu konsep baru namun sebenarnya perbankan Islam telah lama bertapak di muka bumi ini sejak 1,400 tahun dahulu lagi.

 

Segala konsep, hukum dan ilmu perbankan Islam adalah berpandukan kepada al-Quran dan Hadis. Al-Quran ialah kitab suci penganut agama Islam dan Hadis pula ialah segala perlakuan, kata-kata dan peradaban Nabi Muhammad s.a.w yang dikumpul oleh mereka-mereka yang diiktiraf.

 

Pada akhir-akhir abad ke-19 dan di awal abad ke-20 menyaksikan peningkatan perkembangan perbankan kewangan Islam menonjol secara mendadak.

 

Kalau kita membaca berita, sudah banyak negara luar kini sibuk berbelanja besar untuk sama-sama meneroka dan menyertai sistem perbankan Islam ini kerana mereka tidak mahu ketinggalan.

 

Hinggakan ada dalam kalangan negara luar telah menukar atau mengubah suai akta-akta perbankan mereka untuk membolehkan sistem perbankan Islam dipraktikkan dalam sistem perbankan yang mereka ada.

 

Sayugia, Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang telah melaksanakan perbankan Islam di zaman moden ini.

 

Ini terbukti dengan tertubuhnya Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) pada tahun 1963, hasil daripada ilham Perdana Menteri pertama Malaysia, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra. LUTH kini telah pun ditukar nama kepada Tabung Haji.

 

 

parafrasa

 

 

Malah penubuhan Islamic Development Bank (IDB) di Jeddah juga adalah hasil ilham Tunku Abdul Rahman. Oleh yang demikian, sistem kewangan Islam sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru dan Malaysia telah membuktikan yang mereka boleh melaksanakan sistem ini dari dulu lagi.

 

Justeru, pada tahun 1981, sebuah jawatankuasa pemandu telah ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia untuk mengkaji dan belajar bagaimana hendak melaksanakan perbankan Islam.

 

Beberapa orang delegasi yang merangkumi pakar kewangan dan pakar syariah telah dihantar ke Timur Tengah termasuk Dubai, untuk membuat penilaian dan mengadaptasikan cara-cara yang bersesuaian untuk perlaksanaan perbankan Islam di Malaysia.

 

Sekembalinya mereka, ahli jawatankuasa pemandu ini telah membuat kesimpulan yang sistem yang dilaksanakan di sana tidak sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia.

 

Model mereka ialah model bank pelaburan dan model tersebut tidak sesuai di Malaysia. Di Malaysia model runcit adalah lebih sesuai dan diguna pakai.

 

Shahadan, para cendekiawan dan pakar-pakar Syariah di Malaysia telah berbincang dan berhempas pulas membuat kajian.

 

Kajian yang mendalam dilakukan dengan bantuan para pakar-pakar akademik dan pakar pengamal perbankan. Akhirnya mereka berjaya menghasilkan satu model perbankan yang patuh Syariah dan mudah dilaksanakan di Malaysia.

 

 

parafrasa

 

 

Maka pada tahun 1983 tertubuhlah bank komersial Islam yang pertama di Malaysia iaitu Bank Islam Malaysia Berhad.

 

Pada tahun 1984, Syarikat Takaful Malaysia Berhad pula ditubuhkan. Akta Perbankan Islam 1983 (API 1983) dan Akta Takaful 1984 (AT 1984) juga diperkenalkan selari dengan penubuhan kedua-dua institusi ini.

 

Penubuhan institusi-institusi ini telah meledakkan nama Malaysia di papan sasar sistem kewangan antarabangsa. Sekarang API 1983 dan AT 1984 telah dimansuh dan diganti dengan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

 

Selepas tahun 1983, Timur Tengah tidak lagi menjadi tumpuan utama negara-negara yang ingin melaksanakan sistem perbankan Islam di mana berlaku peralihan tumpuan rujukan yang menyebabkan Malaysia telah menjadi pusat kefahaman serta pembelajaran dan pusat sumber untuk mendapatkan teknik-teknik dan patuh Syariah dalam pelaksanaan sistem perbankan Islam.

 

Brunei, Indonesia, Filipina dan Thailand telah datang ke Malaysia untuk mendapatkan ilmu perlaksanaan perbankan Islam.

 

Malah, Financial Services Authority (FSA) of United Kingdom (UK) juga telah melawat Malaysia untuk tujuan yang sama dan mengkaji sama ada API 1983 di Malaysia dapat diguna untuk diubahsuaikan di sana.

 

Terbukti, pada tahun 2004, Akta Perbankan Syariah 2004 diperkenalkan di UK untuk membolehkan institusi kewangan di sana melaksanakan sistem kewangan Islam.

 

 

parafrasa

 

 

Justeru, semua perkembangan mendadak sistem kewangan Islam ini telah membuktikan yang negara-negara luar yang bukan Islam kini telah berfikir semula untuk sama-sama melaksanakan sistem kewangan Islam ini.

 

Dalam erti kata lain, perbankan Islam telah berjaya menukarkan persepsi negara-negara yang bukan Islam untuk tidak ketinggalan melaksanakannya.

 

Kita di Malaysia sepatutnya merasa bangga dengan kemajuan perbankan Islam ini. Penulis mengajak seluruh organ dalam sistem kewangan negara agar sama-sama mengguna pakai dan terus membungakan lebih banyak lagi produk-produk perbankan yang adil, telus dan saksama dalam membantu mengharmonikan masyarakat. – DagangNews.com

 


Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
utm