Garis panduan syariah dalam merealisasikan agenda kelestarian | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 27 Jun 2023 07:00 AM

Garis panduan syariah dalam merealisasikan agenda kelestarian

 

 

PENULIS memetik ilmu dari kertas kerja yang dihasilkan oleh Dr. Mas Nooraini Mohiddin dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Islam Sultan Sharif Ali Brunei Darussalam yang bertajuk “Garis Panduan Syariah dalam merealisasikan agenda kelestarian” untuk dikongsikan bersama kali ini:

 

Terdapat beberapa konsep dalam Islam yang berkaitan dengan pengurusan dan pemeliharaan alam sekitar ke arah pelestarian alam.

 

Konsep yang pertama ialah usaha untuk menghidup, menghijaukan dan memakmurkan bumi.

 

Dalam al-Quran, Allah berfirman (Surah ar-Ra’ad, 13:4): “Dan di bumi itu terdapat bahagian-bahagian yang berdampingan, dan kebun-kebun anggur, tanam-tanaman dan pohon kurma yang bercabang, disirami dengan air yang sama. Kami melebihkan sebahagian tanam-tanaman itu atas sebahagian yang lain dalam rasanya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir”.

 

Usaha menghijaukan bumi menerusi pertanian misalnya bukan sahaja mendatangkan manfaat yang besar kepada manusia terutamanya sebagai sumber makanan.


 

Dr. Mas Nooraini Mohiddin
                                    Dr. Mas Nooraini Mohiddin

 


Tumbuhan juga berfungsi menstabilkan suhu bumi dan menyamankan cuaca, menyerap bunyi, melindungi bekalan air dan juga sebagai tempat untuk manusia dan haiwan berteduh. Tanpa tumbuh-tumbuhan keseimbangan bumi akan terjejas dan kitaran hidup makhluk yang berada di atas muka bumi juga turut terjejas.

 

Penegasan Islam terhadap kepentingan menghijaukan bumi juga boleh diperoleh daripada hadis Nabi Muhammad SAW iaitu: “Sesiapa yang menanam pokok dan menjaganya dengan baik sehingga ia besar dan mengeluarkan hasil akan mendapat ganjaran di akhirat” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

 

Konsep yang kedua ialah untuk memastikan keseimbangan alam sekitar dikekalkan. Hubungan antara manusia dengan alam sekitarnya dalam mengekalkan keseimbangan yang ada dan menjauhkan sebarang bentuk kerosakan yang boleh mengancam keseimbangan tersebut.

 

Allah juga tidak pernah mencipta sesuatu dalam alam semesta ini dengan sia-sia tanpa tujuan. Segala-galanya dicipta dengan sebaik-baiknya dan diletak sesuai pada tempatnya.

 

Keseimbangan yang wujud pada alam telah dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran dengan firman-Nya: “Kamu sekali-sekala tidak melihat pada ciptaan Tuhan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang” (Surah al-Mulk, 67:3).

 

Konsep inilah yang ingin diterapkan oleh Islam dalam perhubungan antara manusia dengan alam sekitarnya iaitu adil dan sederhana dalam memastikan kelangsungan keseimbangan alam sekitar.

 

Hubungan yang wujud antara manusia dengan alam sekitar ialah hubungan yang tidak melewati batasan yang ditetapkan dan tidak pula bersikap sambil lewa atau meremehkan kepentingan keseimbangan tadi.


 

parafrasa

 


Hal ini kerana tidak mungkin alam semesta yang luas ini dan juga alam sekitar yang menjadi tempat tinggal manusia di bumi dapat menjadi tempat kediaman yang selamat dan sejahtera sekiranya keseimbangan yang telah diciptakan Allah padanya diganggu dan dirosakkan.

 

Konsep al-Mizan adalah sistem alam yang mengambil kira hubungan antara setiap unsur alam dan juga sesama makhluk khususnya peranan yang dimainkan oleh manusia selaku khalifah di alam ini.

 

Sistem yang telah diwujudkan oleh Allah ini tidak akan terjejas sekiranya kerakusan dan sifat manusia dalam mengeksploitasi alam melalui aktiviti pembangunan yang melebihi batasnya dapat dielakkan. Ini kerana sistem inilah yang membentuk keseimbangan menerusi unsur-unsur tertib, harmoni dan saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain.

 

Konsep yang ketiga berkaitan dengan konsep menjaga kebersihan. Seperti yang kita tahu, Islam amat mementingkan kebersihan kerana ianya selari dengan kehendak fitrah manusia selain ianya juga menunjukkan keindahan Islam itu sendiri.

 

“Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. Allah itu dermawan ia menyukai kedermawanan maka bersihkanlah olehmu tempat- tempatmu dan janganlah kamu menyerupai kaum Yahudi.” (HR Imam al-Tirmizi).

 

Bahkan kebersihan juga adalah syarat kepada sahnya ibadah seseorang Muslim. Ia adalah ibadah. Jika ibadat solat mensyaratkan setiap umat Islam mementingkan kebersihan, begitu juga tuntutan Islam supaya kebersihan dipelihara setiap masa dalam kehidupan.

 

Tidak mungkin Islam hanya menitikberatkan soal kebersihan ketika seseorang Muslim hendak menunaikan ibadat sahaja sedangkan kehidupannya diselubungi kekotoran yang tidak mencerminkan imej Islam sebagai agama suci. Kebersihan yang dituntut Islam bukan hanya membabitkan diri sendiri, bahkan persekitaran yang dikelilingi pelbagai makhluk Allah.


 

parafrasa

 


Konsep keempat ialah konsep menjaga kesihatan. Kesihatan merupakan antara nikmat terbesar daripada Allah kepada semua hamba-Nya yang perlu dihargai dan dijaga dengan sebaiknya.

 

Terdapat penegasan-penegasan yang banyak dalam ajaran Islam yang menerangkan tentang kepentingan menjaga kesihatan sama ada kesihatan fizikal atau kesihatan jiwa atau kerohanian.

 

Alam sekitar yang bersih dan sihat merupakan salah satu faktor yang menjamin status kesihatan yang baik.

 

Maka manusia sebagai khalifah seharusnya memastikan alam sekitar sentiasa berada dalam keadaan harmoni dan sejahtera agar alam sekitar terus dapat menyediakan suasana persekitaran yang lebih baik, selamat dan sejahtera.

 

Perkara ini sangat penting diberi perhatian kerana kesihatan yang baik itu adalah daripada alam sekitar yang sihat dan juga terurus dengan sempurna. Ini selaras dengan ajaran Islam yang mendidik setiap Muslim agar berinteraksi dengan baik terhadap alam sekitarnya.

 

Konsep terakhir yang kelima berkaitan dengan konsep adil dan ihsan. Keadilan merupakan konsep yang sangat penting dalam Islam. Banyak ayat al-Quran yang menyeru manusia supaya berlaku adil dan memastikan keadilan itu terlaksana dalam setiap urusan kehidupan manusia.

 

Sebagai contoh: “... dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil...”(Surah al-An’An’am, 6:152).

 

Keadilan amat penting khususnya apabila manusia berinteraksi dengan alam sekitar dan komponennya seperti haiwan dan tumbuhan.


 

parafrasa

 


Konsep keadilan ini membawa kepada mewujudkan keadilan terhadap alam sekitar dengan memungkinkan terbinanya keseimbangan dan keharmonian menerusi pengurusan yang terancang dan bijaksana.

 

Dalam erti kata lain, manusia mengambil manfaat daripada sumber alam yang telah dianugerahkan oleh Allah dan pada masa yang sama diuruskan pengambilan manfaat tadi pada kadar yang membolehkan kelangsungan alam dan pelestariannya.

 

Apabila lahirnya keseimbangan maka ia akan membawa kepada pengekalan keadilan dalam interaksi kehidupan manusia dan alam itu sendiri.

 

Konsep ihsan pula merujuk kepada tingkah laku yang baik, jujur, bersikap simpati, bekerjasama, pendekatan yang berperikemanusiaan dan ikhlas, menjaga dan mementingkan hak orang dan makhluk lain, memberi sesuatu melebihi daripada yang sepatutnya atau berpuas hati dengan sesuatu perkara walaupun nilainya kurang daripada yang sepatutnya.

 

Ihsan sangat diperlukan dalam konteks interaksi manusia dengan alam sekitar. Ini kerana menjadi kewajipan manusia memperlakukan alam sekitar secara adil dan ihsan, melindungi dan memeliharanya, menyayangi dan melestarikannya, serta menyantuninya dengan penuh kasih sayang, bukan mengeksploitasinya dengan kejam dan tidak bertimbang rasa, apatah lagi memusnahkan dan merosakkannya.

 

Penulis bersetuju dengan kesimpulan kertas kerja ini, yang merumuskan bahawa Islam sebagai agama yang lengkap telah menyediakan pandangan semesta yang terbaik serta lengkap berkaitan hubungan dan interaksi antara manusia dengan alam sekitar yang merupakan unsur pencegahan yang paling baik terhadap permasalahan alam sekitar.


 

parafrasa

 


Meskipun isu alam sekitar dilihat sebagai ilmu yang terasing dari Islam, namun hakikatnya syariah telah menyediakan garis panduan dalam merealisasikan agenda kelestarian melalui al-Quran, Hadis dan juga maqasid Syariah yang merupakan matlamat untuk kemaslahatan umat sejagat.

 

Segala usaha untuk memelihara dan melestarikan alam sekitar ini, bertitik tolak daripada sifat mahmudah dalam diri seseorang itu antaranya sifat syukur, tidak sombong dan tidak lupa diri dengan kurniaan Allah SWT.

 

Di samping perlunya penekanan kepada pembaikan sahsiah dan nilai-nilai kerohanian, penekanan kepada aspek fizikal juga perlu diambil kira untuk melahirkan seseorang yang menghargai alam sekelilingnya khususnya menjaga kebersihan alam sekitar yang banyak memberi manfaat. – DagangNews.com

 

 


Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
utm

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD