Guna model pembinaan Sistem Kewangan Islam untuk bina ekosistem Fintech Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 25 June 2024

GUNA MODEL PEMBINAAN SISTEM KEWANGAN ISLAM UNTUK BINA EKOSISTEM FINTECH ISLAM

 

 

 

Sidang Kemuncak DisruptInvest tahunan telah berlangsung pada 23 Mei 2024 di Kuala Lumpur.

 

Perhimpunan ini adalah bertujuan untuk mencergaskan ekosistem permulaan (startup), memupuk hubungan dan kerjasama dalam kalangan pelabur angel, modal teroka, dana, family office, korporat besar, dan usahawan permulaan.

 

Penulis memetik beberapa pendekatan berbeza dalam menangani isu fintech Islam yang sering dilihat bertumpu hanya kepada syariat Islam.

 

Dalam perbincangan tersebut rumusan yang dibuat adalah berkaitan dengan pendekatan pembinaan infrastruktur ekosistem haruslah dibina bermodelkan strategi seperti mana yang telah dilaksana semasa penubuhan sistem kewangan Islam pada awal tahun 1980an dahulu.

 

Dalam erti kata lain, fintech Islam seharusnya dibina daripada fintech tradisi (konvensional) yang lengkap dan canggih.

 

Tidak perlu lagi membina satu lagi sistem fintech secara Islam yang baharu, sedangkan fintech tradisi itu sendiri sudah pun mampu mengendali input dan output yang patuh kepada syariah apabila sedikit proses ubahsuai dibuat.

 

 

iktisad

 

 

Sebenarnya, fintech Islam mempunyai kedudukan yang unik dalam industri kewangan, di mana mereka mensasarkan untuk menyelaraskan teknologi kewangan moden dengan prinsip kewangan Islam.

 

Penulis melihat terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh Fintech Islam.

  1. Fintech Islam dikawal selia dengan kompleks untuk memastikan pematuhan Syariah dan ia adalah bersumber kepada intensif-buruh.
     
  2. Adalah menjadi isu besar untuk membina kepercayaan dan kesedaran dalam kalangan umat Islam tentang kesahihan dan faedah penyelesaian fintech Islam.
     
  3. Manusia di dalam dunia ini mempunyai pelbagai keperluan kewangan di kawasan yang berbeza dan ini menjadikan pendekatan ‘satu saiz untuk semua’ tidak berkesan.
     
  4. Menggabungkan penyelesaian fintech sambil mengekalkan pematuhan Syariah amat mencabar segi teknikal dan menelan kos yang tinggi.

 

Penulis menyelami sejarah kewangan Islam apabila ia bermula di tahun 1983 dengan penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad.

 

Oleh kerana matlamat utama penubuhan Bank Islam pada waktu itu adalah untuk menyediakan produk dan perkhidmatan perbankan yang menepati budaya orang Islam di Malaysia, maka infrastruktur kewangan sedia ada (konvensional) di waktu itu telah diubahsuai untuk memenuhi pematuhan Syariah dan ia telah terbukti berkesan hingga kini.

 

Setiap produk deposit dan pembiayaan yang ada ditawarkan oleh bank konvensional, juga telah diubah suai kepada produk dan perkhidmatan yang patuh Syariah dengan menggunakan kontrak-kontrak Islam yang bersesuaian dengan aplikasi produk dan perkhidmatan perbankan.

 

Semua infrastruktur sedia ada di bawah seliaan sistem kewangan ketika itu diguna sepenuhnya untuk menjayakan sistem kewangan Islam.

 

 

iktisad

 

 

Dalam perkataan lain, memudahkan usaha untuk mencapai objektif yang lebih besar, perlu difokus.

 

Dengan memudahkan usaha sebegini, ia mampu menolak persepsi yang sering membelenggu pemain-pemain industri kewangan dengan penyataan, ‘aplikasi Syariah dalam sistem kewangan sangat susah dan memeritkan’.

 

Oleh yang demikian, penulis percaya kesimpulan perbincangan dalam persidangan tersebut amat tepat di mana cadangan untuk institusi-institusi dapat memanfaatkan infrastruktur fintech yang sedia ada.

 

Fintech Islam boleh sahaja bekerjasama dengan institusi kewangan konvensional untuk menawarkan produk hibrid yang menggabungkan kecekapan teknologi fintech dengan kepercayaan dan capaian bank konvensional.

 

Ini adalah kerana teknikaliti sistem fintech adalah tidak menyalahi Syariah melainkan jika ia diguna untuk tujuan yang diharamkan.

 

Malah, penipuan tidak mungkin akan berlaku sekiranya penggunaan blockchain dan kontrak pintar diaplikasikan.

 

Teknologi sebegini boleh meningkatkan ketelusan dan pematuhan, malah lebih baik dari pengawalan tangan manusia, dan ia menjadikannya lebih mudah untuk menstruktur dan mengesahkan transaksi patuh Syariah.

 

Dalam sebuah laman web yang dilancarkan oleh 1337 Ventures, dilaporkan pada April 2023, terdapat 139 syarikat fintech dan insurtech berdasarkan Senarai Permulaan Malaysia telah didaftarkan.

 

Walau bagaimanapun, hanya 36 daripada 139 syarikat dikenal pasti memberikan perkhidmatan kepada industri kewangan Islam.

 

Peratusan kecil sebegini mendambakan pihak berkepentingan termasuk pihak berkuasa mewujudkan pemecut khusus (dedicated accelerator) untuk menangani permasalahan berkaitan yang mempengaruhi kewangan Islam.

 

Berdasarkan maklum balas industri, kekurangan kefahaman oleh syarikat fintech tentang aplikasi fintech dalam pematuhan Syariah telah mewujudkan halangan dalaman yang tegar untuk dipertimbangkan apabila dikait dengan transaksi Syariah.

 

Pendek kata, kebanyakan syarikat fintech tidak hirau dan merasakan seolah-olah tiada nilai jika cadangan untuk menjadi patuh Syariah dicadang, walaupun Malaysia kini menerajui kewangan Islam diperingkat antarabangsa.

 

Pelantikan Penasihat Syariah oleh syarikat fintech telah disebut akan menambah kos untuk membina syarikat fintech Islam.

 

Penulis merasakan pasaran patut menerima dan mengiktiraf status ‘neutral Syariah’ kepada mana-mana syarikat fintech yang menawarkan penyelesaian untuk komuniti Islamic Digital Economy (IDE).

 

Ini bertujuan untuk meningkatkan inovasi produk yang mesti dipertahankan untuk menyokong fasa pertumbuhan landskap kewangan Islam Malaysia.

 

 

iktisad

 

 

Sebagai kesimpulan, fintech Islam sepatutnya mengambil pengajaran daripada peringkat awal kewangan Islam, yang dibina secara berkesan berdasarkan struktur kewangan sedia ada.

 

Dengan menyepadukan dengan sistem kewangan konvensional, mengguna pakai teknologi canggih, dan mengekalkan tadbir urus Syariah yang teguh, fintech Islam boleh mengembangkan jangkauan dan impak mereka.

 

Mengimbangi prinsip Islam dengan penyelesaian kewangan yang praktikal dan berskala akan menjadi kunci kejayaan mereka dalam landskap kewangan global. - DagangNews.com

 

Dr Razli Ramli adalah Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM


utm

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD

 

dagangnews

 

 

Portfolio Tags