JANGAN AMBIL RINGAN ISU 'HALALKAN' RIBA DALAM PERBANKAN ISLAM
PENULIS membaca satu bab dalam buku tulisan Prof. Datuk Dr. Sudin Haron yang bertajuk 'Konsep Faedah, Usury dan Riba'.
Dalam bab tersebut beliau menceritakan tentang sejarah riba yang penulis rasa penting untuk dikongsi bersama.
Islam melarang pengikutnya memberi dan mengambil riba. Larangan ini dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran dan hadis-hadis.
Bagaimanapun penglibatan manusia dengan faedah telah bermula sejak zaman Sumeria (Mesopotamia – selatan Iraq) lagi.
Amalan penggunaan faedah dalam sistem pemberian pinjaman ini kemudiannya diteruskan oleh tamadun-tamadun lain seperti Babylonia, Assyrian, Neo-Babylonia, Parsi, Yunani dan Romawi.
Pelbagai pandangan
Sungguhpun begitu, agama-agama yang ada pada ketika itu mempunyai pandangan berbeza-beza terhadap amalan pemberian dan pengambilan faedah ini.
Selain itu, terdapat pelbagai pandangan dan tanggapan yang dibuat oleh sarjana-sarjana agama dan ahli-ahli falsafah tamadun terdahulu.
Ada ketikanya pandangan dan tanggapan sarjana-sarjana dan ahli falsafah tamadun atau zaman tertentu akan berbeza dengan pandangan sarjana di tamadun yang lain.
Sebagai contoh, maksud konsep faedah pada asalnya adalah sebagai pampasan terhadap kehilangan atau kerugian kepada si pemiutang akibat kegagalan si berhutang menjelaskan hutangnya apabila cukup tempoh.
Tetapi, konsep faedah pada masa kini adalah bayaran tambahan yang perlu dibayar oleh peminjam apabila membayar balik pinjamannya.
Begitu juga dengan konsep usury, yang pada asalnya merujuk kepada perkataan faedah. Namun, apabila Kristian mula menghalalkan faedah pada 1836, usury dianggap sebagai faedah haram atau sesuatu kadar yang melebihi kadar faedah yang dibenarkan oleh pihak berkuasa.
Apakah riba?
Menurut pandangan Islam, riba merujuk kepada jumlah bayaran lebihan yang dibuat terhadap pinjaman pokok tanpa mengira sedikit atau banyak jumlahnya.
Orang Yahudi tidak dilarang berurusan dalam urus niaga faedah dengan kaum-kaum lain. Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan mengambil faedah daripada kaumnya sendiri.
Berbeza dengan kaum Yahudi, orang Kristian pada asalnya tidak dibenarkan terlibat dengan urusan faedah. Pada zaman awal Kristian sehinggalah kurun ke-12, pelbagai kecaman dibuat oleh paderi mereka terhadap golongan yang berurusan dengan faedah.
Malah, ada di antara paderi yang mengeluarkan pendapat bahawa mereka yang terlibat dengan faedah dianggap terkeluar daripada agamanya.
Apabila perniagaan mula berkembang pesat pada kurun ke-12, maka berlaku perubahan kepada tanggapan mengenai faedah ini dan telah ada sarjana yang menganggap ia tidak haram dan boleh diambil.
Akhirnya, apabila ramai kalangan sarjana Kristian membincangkan konsep faedah berlandaskan pelbagai sudut termasuklah soal undang-undang, ekonomi, sosial dan agama maka faedah akhirnya dibolehkan kepada orang Kristian.
Larangan dalam Islam
Berbeza dengan agama-agama lain, terdapat pedoman nyata yang melarang umat Islam melibatkan diri dengan riba.
Terdapat empat kumpulan ayat di dalam al-Quran yang menjadi petunjuk jelas melarang orang Islam memberi dan mengambil riba.
Begitu juga dengan hadis-hadis yang boleh dikelompokkan sebagai Hadis Arahan, Hadis Huraian dan Hadis Peringatan.
Oleh sebab adanya pedoman ini, maka tidak terdapat konflik yang mengakibatkan percanggahan besar pendapat antara sarjana-sarjana Islam.
Keseluruhan sarjana berpandangan besar atau kecilnya jumlah riba tetap haram dan jenis-jenis riba sama ada wujud akibat pinjaman produktif atau pinjaman penggunaan tetap tidak boleh diambil atau diberi.
Bagaimanapun terdapat sekelompok sarjana dan ulama pada masa kini terutamanya di Indonesia menyatakan faedah yang diamalkan oleh bank konvensional tidak haram.
Paling ketara, kelompok yang mengatakan faedah di bank konvensional itu tidak haram adalah kumpulan ulama dan tokoh-tokoh agama terkemuka di Indonesia.
Kumpulan ini menggunakan alasan bahawa faedah hanya dianggap haram sekiranya dikenakan berlebihan dan menzalimi peminjam.
Guna alasan inflasi
Selain itu, faktor inflasi dan pinjaman yang diberikan adalah digunakan untuk manfaat ekonomi merupakan alasan yang menghalalkan riba.
Alasan inilah yang amat ditakuti kerana ia menyamai alasan yang digunakan oleh sarjana Kristian lebih 500 tahun lalu ketika riba dihalalkan oleh mereka.
Yang ditakuti penulis ialah, kini alasan yang serupa juga digunakan oleh segolongan sarjana Islam.
Jika alasan ini terus diperkukuhkan, maka tidak hairan pada suatu ketika nanti kesemua ulama Islam mungkin akan mengatakan riba itu halal.
Dengan itu, tidak akan ada lagi perbezaan antara bank Islam dan bank konvensional. - DagangNews.com
Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.