KUALA LUMPUR 15 Jan - Media tradisional diramal terus berdepan tekanan untuk meneruskan persaingan kerana pengiklan dan kebanyakan jenama lebih berpihak kepada platform digital dan media sosial, kata Kenanga Research.
Katanya, ia disebabkan ciri-ciri menarik yang ditawarkan medium digital termasuk kemas kini masa nyata dan segalanya maklumat terkini boleh didapati menerusi telefon pintar, penglibatan masyarakat yang dipertingkat menerusi interaksi dua hala dan kandungan dipilih disesuaikan dengan minat khusus.
Firma penyelidikan itu berkata, orang ramai tertarik kepada format seperti video pendek, jualan barangan menerusi penstriman langsung, sokongan produk KOL (Key Opion Leader) dan beli-belah dalam talian.
"Pengiklan juga lebih memihak kepada media digital disebabkan kelebihan seperti cekap kos, penyasaran pengguna berkesan melalui iklan kecerdasan buatan dan pada masa sama memanfaatkan analitik digital dan penglibatan secara terus dengan pengguna.
"Kebanyakan syarikat kini meningkatkan perbelanjaan pemasaran digital selain bekerjasama dengan KOL melalui tajaan langsung bagi meningkatkan keterlihatan di dalam pasaran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Kenanga Research berkata, walaupun Nielsen melaporkan peningkatan 10.3% dalam perbelanjaan iklan (adex) siaran tv percuma, ini berbeza dengan penurunan adex Sembilan bulan 2024 media yang dilaporkan sebanyak 4%.
Katanya, percanggahan itu dikaitkan dengan rumusan kempen bersepadu media, yang menggabungkan perkhidmatan pengiklanan untuk pelanggan.
"Selain itu, angka Nielsen mungkin mencerminkan kadar semasa tanpa mengambil kira kemungkinan diskaun. Memandangkan persaingan masih sengit, adalah munasabah media berada di bawah tekanan untuk menawarkan diskaun untuk mendapatkan jualan iklan," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "underweight" terhadap sektor media kerana yang berterusan di tengah-tengah persaingan yang sengit.
"Pemain media tradisional dibebani oleh perbelanjaan warisan untuk kertas surat khabar, dakwat dan logistik untuk penghantaran akhbar.
"Selain itu, infrastruktur penyiaran seperti menara dan pautan naik satelit serta tenaga kerja dengan kemahiran yang berakar pada era pra-digital, yang membawa kepada ketidakcekapan.
"Beban struktur ini, terutamanya jika dibandingkan dengan media baharu, menjadikannya mencabar bagi syarikat media tradisional yang lebih kecil untuk mencapai keuntungan," katanya. - DagangNews.com