KUALA LUMPUR 15 Jan - Pusat Penyelidikan Sosioekonomi Malaysia (SERC) menggesa kerjaan untuk menyemak semula caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke atas pekerja asing, bagi meringankan beban kewangan perniagaan.
Pengarah Eksekutif SERC, Lee Heng Guie berkata, dasar tersebut termasuk kenaikan gaji minimum dan pembayaran yuran mengupah pekerja asing akan meningkatkan kos operasi perniagaan secara ketara.
“Berdasarkan pengiraan kami, dengan mengandaikan ketiga-tiga langkah itu dilaksanakan serentak, kos majikan ditambah sebanyak RM454 sebulan bagi pekerja asing baharu dan RM267 sebulan untuk pekerja asing sedia ada” katanya.
Lee berkata, peniaga kecil, mikro dan sederhana (PMKS) sedang bergelut dengan kos operasi tinggi selepas pandemik Covid-19, khususnya kenaikan harga bahan mentah.
Caruman mandatori KWSP, yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025, akan dilaksanakan secara berperingkat, walaupun garis masa yang tepat masih belum didedahkan.
Lee juga mempersoalkan keperluan langkah itu, dengan menekankan pekerja asing sudah dilindungi oleh skim insurans dan bon keselamatan.
Kerajaan berkata, dasar tersebut menyasar untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing, tetapi banyak industri menghadapi kekurangan tenaga kerja kerana penduduk tempatan tidak mahu mengambil pekerjaan ini.
“Kerajaan perlu menangani isu ini dengan berkesan,” katanya.
Menjelang 2025, SERC mengunjurkan kadar inflasi 2.5% hingga 3%, berbanding unjuran kerajaan 2% hingga 3.5%.
Lee mengaitkan peningkatan inflasi dengan peningkatan kos perniagaan, kenaikan gaji kakitangan awam, gaji minimum yang lebih tinggi dan rancangan rasionalisasi subsidi petrol.
Bagaimanapun, SERC menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasarnya pada 3% sepanjang tahun, sambil memantau dengan teliti risiko inflasi yang berpunca daripada pemotongan subsidi bahan api dan kenaikan gaji.
SERC juga meramalkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 5% menjelang 2025, dalam julat ramalan rasmi kerajaan 4.5% hingga 5.5%.
"Kami menjangkakan pengembangan ekonomi Malaysia kekal pada landasan disokong oleh pengembangan fiskal yang menyokong," katanya.
Mengenai mata wang tempatan, SERC meramalkan ringgit akan melemah kepada RM4.50-RM4.60 berbanding dolar AS pada separuh pertama 2025, sebelum mengukuh secara beransur-ansur kepada RM4.30-RM4.40 menjelang akhir tahun.- DagangNews.com