Yenher bersedia manfaatkan potensi kilang baharu bagi pengeluaran makanan ternakan | DagangNews Skip to main content

Yenher bersedia manfaatkan potensi kilang baharu bagi pengeluaran makanan ternakan

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 15 Jan - Yenher Holdings Bhd (Yenher) yang mencatatkan prestasi terbaik sejak disenaraikan pada 2021, kini bersedia untuk memanfaatkan pertumbuhan strategik dan peluang, terutamanya daripada kilang baharu mereka.

 

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata, pendapatan teras suku ketiga (3Q) Yenher melonjak kepada RM6.6 juta, didorong terutamanya oleh jualan makanan pracampuran ayam dan itik.

 

"Prestasi operasi Yenher adalah kukuh dan momentum tersebut memperkuatkan segmen pengedaran syarikat kerana ia terus memanfaatkan pangkalan pelanggan yang lebih luas untuk menjual produk-produk lain yang diedarkan," menurut satu laporan firma penyelidikan tersebut.

 

Menurut HLIB, kumpulan itu bangkit daripada tempoh sukar pada 2022 dan 2023 apabila jualan makanan haiwannya merosot akibat wabak demam babi Afrika (ASF).

 

Keadaan tersebut mendorong kumpulan beralih kepada jualan makanan pracampuran ayam dan itik, yang kini menunjukkan hasil positif dalam keputusan suku ketiganya.

 

"Selain itu, segmen akuakultur menawarkan potensi besar di mana Yenher bercadang menghasilkan makanan lengkap yang berpotensi mengubah industri," kata HLIB.

 

Mengenai kilang baharu, HLIB berkata, pembinaannya telah mencapai 75% pada Disember 2024 dan operasi dijangka bermula bulan ini memandangkan peralatan yang diperlukan telah tiba.

 

Pada masa ini, segmen pracampuran makanan ayam dan itik Yenher berada pada kapasiti antara 110% hingga 120% dengan pekerja memenuhi pesanan lebihan melalui kerja lebih masa.

 

Bagi memenuhi kapasiti tambahan dari kilang baharu, Yenher secara aktif mensasarkan pasaran eksport, terutamanya bagi segmen makanan lengkap untuk ayam, itik dan babi.

 

Permintaan yang kuat dapat dilihat apabila ramai penternak ayam memilih makanan lengkap dengan formulasi mereka sendiri, mendorong penggunaan kapasiti penuh dalam kalangan pengilang makanan ternakan.

 

"Berdasarkan permintaan yang kukuh, Yenher yakin dapat meningkatkan penggunaan untuk bahagian ini kepada lebih 50% dalam tempoh masa yang singkat," menurut laporan itu. - DagangNews.com