JANGAN LEWAT BUAT BAYARAN BULANAN KENDERAAN WALAU SEHARI
SEWA-BELI kenderaan, juga dikenali sebagai pembiayaan sewa-beli atau "hire purchase" dalam bahasa Inggeris, adalah satu bentuk pembiayaan di mana seseorang atau syarikat menyewa kenderaan untuk tempoh tertentu dengan opsyen untuk membeli kenderaan tersebut pada akhir tempoh sewaan.
Ini adalah kaedah pembiayaan yang biasa digunakan oleh individu atau perniagaan yang ingin memiliki kenderaan tanpa membayar jumlah penuh secara tunai pada awalnya.
Pembiayaan sewabeli kenderaan ini tertakluk kepada Akta Sewabeli 1967. Akta Sewa Beli 1967 adalah satu undang-undang di Malaysia yang mengawal urus niaga sewa beli.
Tujuan utama Akta ini adalah untuk menyediakan rangka kerja undang-undang untuk urus niaga di mana barangan yang disewakan diberi pilihan untuk dipindah milik kepada pelanggan di akhir tempoh sewaan.
Akta ini bertujuan untuk melindungi hak dan kepentingan kedua-dua penyewa-pembeli (orang yang menyewa barangan - pelanggan) dan pemilik (orang yang menyewakan barangan yang disewa – institusi kewangan).
Jika seseorang tidak membayar bayaran bulanan pembiayaan sewa-beli kenderaan, ia boleh mengakibatkan beberapa konsekuensi yang serius.
Biasanya, pelanggan akan dikenakan denda atau caj lewat bayar jika mereka gagal membayar bayaran bulanan pada tarikh yang ditetapkan. Denda ini boleh meningkatkan jumlah yang sepatutnya dibayar dan boleh mencabar kestabilan kewangan pelanggan.
Kegagalan membayar secara konsisten boleh merosotkan rekod kredit pelanggan. Ini boleh memberi kesan negatif pada kemampuan mereka untuk mendapatkan pembiayaan atau pinjaman di masa depan, serta menjejaskan skor kredit mereka.
Bergantung kepada terma dan syarat perjanjian, institusi kewangan atau syarikat pembiayaan boleh mengambil langkah-langkah undang-undang untuk mendapatkan semula kenderaan sepertimana yang digariskan dalam Akta Sewabeli. Ini mungkin boleh menjejaskan reputasi kredit pelanggan.
Pihak institusi kewangan boleh mengambil tindakan undang-undang untuk menuntut jumlah bayaran tertunggak yang mungkin telah diakibatkan oleh kegagalan membayar. Ini boleh menyebabkan masalah undang-undang dan kos tambahan.
Malah, jika situasinya terus memburuk, pihak institusi kewangan boleh mengambil kenderaan secara sah dan hak milik ke atas kenderaan tersebut tidak akan dipindahmilik kepada pelanggan.
Untuk mengelakkan sebarang kesulitan, pelanggan perlu memahami kepentingan untuk berkomunikasi dengan pihak institusi kewangan jika seseorang menghadapi masalah kewangan yang menyebabkan kesukaran untuk membayar bayaran bulanan.
Kebanyakan institusi kewangan bersedia untuk berbincang dan mencari penyelesaian, seperti pelan pembayaran yang disusun semula. Ini membantu mencegah masalah yang lebih serius dan mengekalkan hubungan yang baik dengan pihak institusi kewangan.
Jika sekiranya pelanggan terlewat bayar bayar bayaran bulanan, apa yang akan berlaku? Ini soalan yang sering ditanya namun ramai yang tidak faham tentang undang-undang tersedia jika pelanggan lambat bayar. Undang-undang ini jelas dalam Akta Sewabeli 1967.
Berikut adalah situasi yang penulis rasa perlu difahami oleh setiap pelanggan yang melanggan pembiayaan sewabeli kenderaan dengan institusi kewangan:
Due date bayaran bayaran bulanan bulanan kenderaan pelanggan kepada pihak institusi kewangan adalah 1.3.23. Apabila masuk sahaja ke tarikh 2.3. 23, jika pelanggan masih belum bayar bayaran bulanan kenderaan, pelanggan sebenarnya telah 'default payment' selama SEBULAN, walaupun hanya baru sehari 'past the due date'. Kebiasaannya, pelanggan akan terima panggilan atau mesej untuk membuat bayaran bulanan bulanan.
Selepas selang beberapa hari, pelanggan akan dapat surat 'peringatan' untuk pelanggan bayar bayaran bulanan kenderaan pelanggan. Jika bayaran bulanan bulanan tidak dibuat selepas 1.4. 23, pelanggan sebenarnya telah 'default 2 months'.
Maka, pihak institusi kewangan akan menghantar 'surat cinta', apa yang dipanggil sebagai '4th Schedule Notice'. Maksud surat cinta ini adalah pemberitahuan kepada pelanggan yang institusi kewangan berhasrat untuk 'ambil hak (possession) balik' kenderaan yang pelanggan guna tersebut, selepas 21 hari dari tarikh surat cinta (4th schedule notice) tersebut.
Pelanggan harus faham yang kenderaan yang pelanggan guna waktu itu adalah kenderaan milik institusi kewangan. Jika bayaran bulanan masih tidak dibuat selepas 21 hari selepas notis di atas diserahkan, maka, institusi kewangan akan keluarkan 'RO - Repossession Order'. RO adalah arahan institusi kewangan kepada 'repossessor' untuk pergi tarik kenderaan pelanggan.
Bila kenderaan ditarik, institusi kewangan akan menulis surat kepada pelanggan dengan surat yang dinamakan, '5th Schedule Notice'. Surat ini akan beritahu pelanggan bahawa kenderaan pelanggan sudah ditarik dan pelanggan diberi sebanyak 21 hari lagi (dari tarikh 5th schedule notice) untuk membayar keseluruhan bayaran bulanan tertunggak bersama dengan setiap kos yang terbabit.
Jika bayaran tidak diterima oleh institusi kewangan selepas 21 hari tersebut, maka pelanggan akan kehilangan hak untuk menggunakan kenderaan kerana pihak institusi kewangan akan memulakan proses lelongan.
Oleh yang demikian, penulis menyarankan seluruh pelanggan yang menggunakan pembiayaan sewabeli kenderaan agar bayarlah bayaran bulanan kenderaan mengikut jadual. Jangan main-main dan suka lewatkan pembayaran bayaran bulanan tersebut.
Semoga coretan penulis kali ini dapat difahami dan para pelanggan tidak lagi keliru dengan cara klasifikasi bayaran tertunggak.
Walaupun lewat satu hari membuat bayaran bulanan, dalam perkiraan institusi kewangan, pelanggan telah dikira sebagai tertunggak satu bulan. Ingat mesej ini.- DagangNews.com
Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD