Kekeliruan status mata wang digital dan token digital, urus niaga sah atau tidak?  | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 07 Dec 2021 07:18 AM

Kekeliruan status mata wang digital dan token digital, urus niaga sah atau tidak? 

 

 

SELARI dengan perkembangan teknologi kewangan (Fintech) dewasa ini, penulis menerima banyak persoalan tentang status urus niaga digital dalam industri kewangan. Antara persoalan yang dibangkitkan termasuklah berkaitan mata wang digital dan token digital. Penulis juga berpendapat masih ramai belum memahami perbezaan antara mata wang digital dan token digital ini

 


Secara dasarnya, mata wang digital digambarkan sebagai nilai digital yang dicatatkan pada lejar digital,  kemudiannya diedarkan dan ia dijamin secara kriptografi atau sebaliknya.

 

Ia berfungsi sebagai medium pertukaran dan boleh ditukar dengan mata wang sesebuah negara melalui pengkreditan atau pendebitan akaun.

 

Berdasarkan pembacaan penulis apabila meneliti pandangan yang diwarta oleh Majlis Penasihat Syariah di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), dari sudut syariah, mata wang digital dalam bentuk representasi nilai digital ini boleh dikategorikan sebagai barang atau aset yang boleh dijual beli atau didagangkan dengan wang (ʻurudh).

 

Ia bukannya tergolong dalam kategori mata wang yang disah perlakukan oleh sesebuah negara, justeru, mata wang digital sebegini tidak dikategori sebagai barangan ribawi.

 

Namun begitu, sekiranya mata wang digital ini disokong oleh barangan ribawi yang terdiri daripada emas, perak dan mata wang sesebuah negara, maka ia akan dikategorikan sebagai mata wang yang sah diperlakukan (iaitu, ia jatuh dalam kategori barangan ribawi), dari perspektif syariah.

 

Sementara itu, token digital pula membawa bermaksud satu gambaran digital yang direkodkan pada lejar digital yang kemudiannya diedarkan dan diawasi secara kriptografi atau sebaliknya.

 

Untuk makluman, token digital ini pula telah diiktiraf sebagai harta atau aset (mal). Seperti mata wang digital, dari sudut syariah, ia juga tergolong dalam kategori barang yang boleh dijual atau didagangkan dengan wang. 

 

Sekiranya token digital ini disokong oleh barangan ribawi, maka dagangan token digital tersebut akan tertakluk kepada syarat-syarat syariah dalam transaksi barangan ribawi dan perlu mengikuti syarat kontrak Bay’ Al Sarf.

 

Antara syarat paling ketara dalam kontrak jual beli mata wang (Bay’ Al Sarf) adalah transaksi pertukaran token digital ini hendaklah dilaksana secara ‘on spot’ tanpa ada penangguhan penghantaran token digital tersebut.

 

Penulis memperolehi definisi 'mata wang digital' dan 'token digital' ini daripada Capital Markets and Services (Prescription of Securities) (Digital Currency and Digital Token) Order 2019", yang berkuat kuasa pada 15 Januari 2019.

 

Oleh itu, penulis mencadangkan agar maklumat terperinci tentang status ini dapat ditelaah dengan lebih lanjut menerusi laman web SC. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm