Kenaikan OPR : Benarkah perbankan Islam menindas pelanggan?  | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 7 February 2023

KENAIKAN OPR : BENARKAH PERBANKAN ISLAM MENINDAS PELANGGAN?

 

 

ISU perbankan Islam menindas pelangan bank sebenarnya hanya bermusim. Kadang-kadang ia timbul dan selepas beberapa waktu tenggelam balik, sebelum kembali muncul semula.

 

Ketidakpuasan ini timbul sebab adanya isu sampingan, iaitu, kenaikan bayaran bulanan pembiayaan daripada kadar dasar semalaman (OPR) yang rendah pada 1.75% kepada 2.75% ketika ini (kadar ini dinaikkan empat kali sepanjang 2022). 

 

Dijangkakan OPR akan naik lagi sehingga mencecah 3.75% tahun ini. Maka, panas lagilah isu penindasan ini akan dimain-mainkan. 

 

Persoalan penulis, kenapa isu penurunan OPR pada 2020 tidak dibangkitkan sesiapapun? Kenapa tidak pula puji bank-bank apabila bayaran bulanan menurun apabila OPR hanya pada tahap 1.75%?

 

Seperti yang kita sedia maklum, bank-bank Islam mengadakan kemudahan kredit secara Islamik ini untuk membantu umat Islam mencari fasiliti menurut kehendak syariah. 

 

 

gambar hiasan

 

 

Bank mesti mengikut segala keputusan yang difatwakan oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) BNM. MPS BNM ini telah dimandatkan dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009. 

 

Mereka telah berijtihad, menghalalkan kontrak-kontrak lain selain daripada kontrak pinjaman (dengan faedah) dan dilaksanakan sepertimana yang telah ditetapkan menurut 14 Policy Documents (Syariah Standards).

 

Secara peribadi, penulis sendiri telah menggunakan produk yang patuh syariah ini sejak 1993 lagi dan tidak pernah rasa tertindas kerana untung kepada bank, sama ada konvensional atau Islamik, lebih kurang sama sahaja. 

 

Cumanya, untung untuk bank konvensional adalah faedah atau interest (kontrak pinjaman) yang diharamkan, dan untung untuk bank Islamik adalah keuntungan atau profit (daripada kontrak lain selain pinjaman) yang dihalalkan. Jadi, tidak ada penindasan di sini.

 

Kepada yang tidak pernah mengambil pembiayaan Islamik, penulis merasakan adalah tidak adil untuk menuduh bank-bank Islam menindas, kerana mereka tidak pernah mengambil pembiayaan ini. 

 

Tetapi, kepada yang telah ambil pembiayaan Islamik pula, jika mereka merasakan berlaku penindasan, sila berikan maklumat di manakah berlaku penindasan. Perbandingan mana yang dibuat untuk membuktikan berlaku penindasan? 

 

 

gambar hiasan

 

 

Penulis mengakui terdapat kekeliruan tentang struktur pembiayaan (seperti pembiayaan kadar terapung). Itu perkara biasa yang berlaku.

 

Namun, sebagai pelanggan yang bijak, mereka perlu juga faham bagaimana kemudahan pembiayaan yang mahu diambil, sebelum menandatangani perjanjian dengan bank. Kalau tidak faham, sila tanya pegawai bank sebelum turunkan tanda tangan.

 

Kemudahan pembiayaan Islam TIDAK akan menindas para pelanggan. Jika ia produk yang menindas, penulis pasti, BNM tidak akan berdiam diri selain mengambil tindakan kepada bank tersebut sepertimana yang termaktub dalam Islamic Financial Services Act 2013.

 

Penulis ingin juga berkongsi jawapan yang dihuraikan oleh individu yang bernama Mtghufran Bakri dari Facebook. Beliau menjawab soalan yang berkaitan dengan keuntungan pembiayaan Islam yang didakwa begitu tinggi di mana pembiayaan sebanyak RM100,000, pelanggan kena bayar RM200,000 secara sepanjang tempoh pembiayaan. 

 

Ini muat turun di Facebooknya mengenai isu berkenaan : 

 

Contohnya, kita hendak beli rumah harga RM100,000, kita tidak ada duit, kita jumpa Bank Islam. Bank Islam beli dulu rumah tu harga 100,000 lepas tu Bank Islam jual pada kita RM200,000. Harga RM200,000 tersebut akan dibayar secara ansuran. Ini bukan riba. Kaedah ini namanya pembiayaan (financing). 

 

Kita akan nampak keuntungan bank tersebut agak keterlaluan sebab kita bukan penjual rumah. Kalau ikut hati kita semua hendakkan barang yang percuma, bukan begitu? Bila menjual beli penjual sudah tentu mahukan keuntungan. Kalau kita berniaga adakah lojik beli modal RM100,000 dijual juga dengan harga RM100,000. Itu namanya kerja amal. Bila berniaga penjual ada kos yang perlu ditanggung. Saya kira orang yang berniaga lebih faham. 

 

Kalau orang jual nasi contohnya, katakan modal beras RM3 sekilo, kita tidak kira harga beras sahaja, tapi kena kira juga kos air, elektrik, beli periuk nasi, modal masa, usaha, penat lelah dan lain-lain kos yang kita dah keluarkan. Macam itulah juga dengan bank-bank Islam yang hendak uruskan pembiayaan yang bukan seringgit dua ringgit malah ia mencecah juta-juta dan bilion-bilion, takkanlah bank akan tulis dalam buku 555 sahaja? 

 

Mereka semesti kena ikut undang-undang dengan menggunakan khidmat peguam, buka fail, kos pentadbiran dan pengurusan. Itu semua kos, kena lah diambil kira. Kita jangan jadikan alasan 'Islam' untuk elakkan diri kita daripada bayar hutang atau tidak memberikan peniaga mengambil untung. Itu silap. Banyak keadaan institusi yang berdiri atas landasan Islam atau berjenama Islam sering 'dibuli' oleh orang Islam dengan alasan 'Islam Itu Mudah'. 

 

Fahamkan Islam secara betul dan jangan hanya mahu untung diri sendiri, tapi bila tidak kena dengan kehendak kita, kita mula kata orang lain menyeleweng padahal hakikatnya kita yang tidak jelas dan tidak faham perkara itu mengikut acuan Islam yang sebenar. 

 

Penjelasan ini sekadar untuk kefahaman ringkas sahaja, untuk penjelasan yang lebih khusus kita rujuk kepada pihak yang berautoriti, jangan mudah terpengaruh dengan dakwaan sesetengah pihak yang suka menimbulkan keraguan tanpa asas yang jelas. 

 

Satu lagi, banyak benda pada hari ini tidak ada pada zaman nabi, jadi jangan jadikan alasan dangkal nabi tak buat untuk kita melepaskan diri dari tanggungjawab diri. Ulama sudah berbahas hal ini sudah lama, kita yang lalai. (Mtghufran Bakri FB)

 

 

gambar hiasan

 

 

Penulis ingin menyatakan sebagai manusia, kalau kita mahu pendapat kita diterima masyarakat, kita kena hormat dengan pendapat orang lain. Kita tidak boleh memaksa orang lain menerima pendapat kita. 

 

Namun, kita boleh menyuarakan pendapat dengan positif dan membina tanpa meremehkan pendapat yang satu lagi, lebih-lebih lagi resolusi yang telah difatwakan oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia berkaitan kewangan Islam. - DagangNews.com

 

 

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS)
Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

utm

Portfolio Tags