Mampukah qabd mata wang berlaku dalam platform elektronik forex?
INI berdasarkan pembacaan penulis dalam artikel bertajuk 'Operasi Perdagangan Pertukaran Mata Wang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) Melalui Platfom Elektronik: Satu Sorotan dari Sudut Syariah’ yang diterbitkan oleh ISRA.
Penulis menyimpulkan bahawa operasi perdagangan forex adalah sebuah transaksi perdagangan yang dijalankan dengan cara membuka posisi (open position) terhadap item yang dipilih dan diakhiri dengan menutup posisi (close position) terhadap item yang sama.
Sebagai contoh, penulis mahu membuka posisi long terhadap item EUR/USD, dengan maksud untuk membeli mata wang EUR dengan membayar mata wang dolar USD.
Di dalam syariah, tuntutan serah terima (qabd) daripada transaksi ini ialah:
- Penulis hendaklah menyerahkan mata wang USD kepada broker; dan
- Broker hendaklah menyerahkan mata wang EUR kepada penulis
Tetapi dalam perdagangan forex online, difahamkan bahawa, broker tidak akan mengkreditkan serta-merta mata wang EUR yang penulis beli ke dalam akaun penulis.
Jadi, penulis yang telah membuka posisi membeli item EUR/USD tidak dapat membuat qabd terhadap mata wang EUR yang penulis beli, kerana selagi posisi yang penulis buka masih dalam status OPEN.
Penulis juga tidak akan dapat menikmati segala keuntungan daripada kenaikan harga mata wang EUR tersebut kerana penulis hanya akan boleh menjual balik mata wang ini sekiranya penulis membuat CLOSE.
Di dalam Piawaian Shariah Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), antara syarat yang wajib dipenuhi untuk mengesahkan perdagangan mata wang ialah berlakunya serah dan terima dalam satu masa (taqabud) sebelum kedua-dua pihak berpisah daripada majlis akad, sama ada taqabud itu berlaku secara fizikal (hakiki) atau konstruktif (hukmi).
Maka, di sini timbul isu ketiadaan qabd terhadap mata wang yang dibeli oleh penulis ketika membuka posisi long (membeli instrumen EUR/USD).
Ini kerana selagi penulis tidak menutup posisi pertama, penulis tidak mungkin dapat menikmati apa-apa keuntungan sebenar daripada kenaikan harga EUR berbanding USD.
Penulis juga tidak mungkin dapat membuat pengeluaran terhadap keuntungan yang diperoleh daripada perubahan harga selagi mana penulis belum membuat CLOSE terhadap posisi, iaitu menjual balik EUR.
Sehubungan itu, untuk menepati kehendak syariah, persoalan yang ingin penulis utarakan :
- Mampukah broker memastikan mata wang yang dibeli ketika penulis membuka posisi, DAPAT dikreditkan ke dalam akaun penulis, sebelum mata wang tersebut dijual balik kepada broker ketika penutupan posisi?
- Mampukah broker memastikan keuntungan yang diperolehi daripada kenaikan harga mata wang EUR yang dibeli boleh dilakukan pengeluarannya (withdrawal) dalam nilai EUR juga?
Kemampuan menepati persoalan di atas akan memastikan bahawa akan berlakunya qabd, sama ada hakiki mahupun hukmi terhadap mata wang yang diperdagangkan dalam forex online dari segi konteks qabd mata wang yang dibeli oleh pedagang ketika membuat open position.
Penulis merasakan ia mampu dilaksana walaupun perubahan yang bakal dilaksana akan mengambil masa yang agak lama. - DagangNews.com
Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.