Pelaksanaan pajak gadai secara Islam Ar-Rahnu oleh Persatuan Koperasi Thailand | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 20 Feb 2024 07:00 AM

PELAKSANAAN PAJAK GADAI SECARA ISLAM OLEH PERSATUAN KOPERASI THAILAND

 

 

 

PENULIS dijemput untuk berkongsi ilmu berkaitan dengan pajak gadai secara Islam di Hatyai, Thailand pada 9 dan 10 Februari 2024.

 

Pajak gadai Islam, juga dikenali sebagai Ar-Rahnu, adalah perkhidmatan kewangan yang disediakan oleh koperasi Islam di Thailand.

 

Ar-Rahnu beroperasi berdasarkan prinsip kewangan Islam, berpegang kepada undang-undang Syariah yang melarang mengenakan atau membayar faedah (riba).

 

Dalam sistem ini, individu boleh mendapatkan pinjaman dengan mencagarkan emas mereka sebagai cagaran. Koperasi Islam menilai nilai emas dan memberi pinjaman kepada individu berdasarkan peratusan nilai tersebut.

 

Individu itu kemudiannya membayar balik jumlah pinjaman dalam tempoh tertentu, bersama dengan bayaran perkhidmatan penjagaan emas yang dicagarkan dalam simpanan koperasi.

 

 

iktisad

 

iktisad

 

 

Dalam ertikata lain struktur pajak gadai emas mereka dalam produk ar-rahnu yang ditawarkan adalah berasaskan kepada gabungan kontrak qard (pinjaman), rahn (cagaran), wadi`ah (simpanan) dan ujrah (upah simpan).

 

Sebenarnya sistem pajak gadai Islam menyediakan kemudahan tunai untuk individu atau peniaga kecil yang mungkin tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan perbankan tradisional atau yang memilih produk kewangan patuh Syariah.

 

Ia membolehkan mereka mendapatkan tunai dengan menggadai aset (emas) mereka tanpa menggunakan pinjaman konvensional yang melibatkan pembayaran faedah (riba).

 

Selain itu, pajak gadai Islam menggalakkan rangkuman kewangan (financial inclusion) dengan memenuhi keperluan masyarakat yang pelbagai, termasuk mereka yang mencari penyelesaian kewangan yang beretika dan mematuhi prinsip Syariah.

 

 

iktisad

 

 

Pun begitu, di Malaysia, Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank Negara Malaysia pada mesyuarat ke-194 bertarikh 25 Jun 2019 dan mesyuarat ke-195 bertarikh 31 Julai 2019 telah memutuskan bahawa struktur semasa produk ar-rahnu yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam (IKI) berasaskan gabungan kontrak qard (pinjaman), rahn (cagaran), wadi`ah (simpanan) dan ujrah (upah simpan) tidak memenuhi keperluan Syariah yang ditetapkan dalam Dokumen Polisi (PD) Rahn.

 

 

iktisad

 

 

Antara hujah yang mengharamkan struktur sedemikian adalah keberkaitan dan kebergantungan kontrak, rahn, wadi`ah dan ujrah dengan kontrak qard dalam struktur produk ini.

 

Ia menimbulkan isu qard jarra naf`an (pinjaman yang menjana manfaat kepada pemberi pinjam) dan bai` wa salaf (gabungan kontrak jual beli dan pinjaman) yang tidak dibenarkan Syarak.

 

 

iktisad

 

 

Dalam struktur produk ini, salah satu kontrak tidak akan efektif tanpa kewujudan kontrak lain. Sebagai contoh, qard hanya diberikan dengan syarat pelanggan menyimpan emas dan membayar upah simpanan emas tersebut.

 

Hal ini secara tidak langsung mewujudkan keberkaitan antara qard dan caj upah simpan yang membawa kepada isu qard jarra naf’an.

 

Satu lagi hujah yang mengharamkan gabungan kontrak qard (pinjaman), rahn (cagaran), wadi`ah (simpanan) dan ujrah (upah simpan) dalam produk ar rahnu adalah kombinasi rahn dan qard dalam produk ar-rahnu bagi menjana keuntungan tidak menepati objektif kontrak (muqtada `aqd) rahn dan qard memandangkan objektif asal kedua-dua kontrak adalah untuk cagaran dan kebajikan (charity).

 

Penulis diminta memberikan cadangan untuk menyelesaikan masalah ini. Untuk makluman, di Thailand, koperasi dan Bank Islam of Thailand (i-Bank) masih menawarkan pelbagai produk kewangan patuh Syariah, termasuk pembiayaan peribadi berdasarkan struktur bai' inah.

 

Bai' inah ialah kontrak kewangan Islam biasa yang melibatkan dua transaksi berasingan: jualan dan belian balik. Ringkas kata, bai’ inah adalah kontrak jualbeli untuk mendapatkan tunai. Ia diluluskan oleh ulama di Thailand.

 

Dalam transaksi bai’ inah, koperasi atau i-Bank membeli aset daripada pelanggan pada harga yang dipersetujui.

 

Aset ini boleh menjadi apa sahaja yang dibenarkan dalam Islam, seperti barangan, komoditi, atau hartanah dan kemudiannya menjualkan kembali asset kepada pelanggan.

 

Pelanggan bersetuju untuk membeli semula aset yang sama daripada bank pada harga yang lebih tinggi. Perbezaan antara harga jualan dan harga beli balik merupakan keuntungan bagi bank.

 

Pada asasnya, bank menyediakan pembiayaan kepada pelanggan, dan pelanggan membayar balik jumlah pembiayaan ditambah margin keuntungan yang dipersetujui dalam tempoh tertentu.

 

Menurut para ulama di Thailand, pembiayaan peribadi berdasarkan bai' inah distrukturkan untuk mematuhi prinsip Syariah, khususnya yang melarang mengenakan atau membayar faedah (riba) dan terlibat dalam transaksi yang melibatkan ketidakpastian (gharar) atau perjudian (maysir).

 

Sebaliknya, ia beroperasi berdasarkan prinsip perkongsian untung dan transaksi yang disokong aset.

 

Oleh yang demikian, koperasi Islam dan i-Bank di Thailand menawarkan pilihan pembiayaan sedemikian untuk memenuhi keperluan pelanggan Islam yang mencari alternatif patuh Syariah kepada produk perbankan konvensional.

 

 

iktisad

 

 

Dalam perbincangan dengan mereka, penulis menceritakan tentang penggunaan tawarruq lebih meluas di Malaysia jika dibanding dengan penggunaan bai’ inah.

 

Menurut seksyen 52 Akta Bank Negara Malaysia 2009, MPS telah memutuskan bahawa penstrukturan produk ar-rahnu berasaskan tawarruq dan rahn.

 

Syarat yang ditetapkan MPS termasuk, bagi struktur yang melibatkan pembelian komoditi secara pukal pada awal hari perniagaan, penyesuaian fiqah (takyif fiqhi) berkenaan pembatalan pembelian komoditi daripada penyedia platform perdagangan komoditi pada akhir hari perniagaan hendaklah jelas.

 

Kedua, dalam situasi kemungkiran oleh pelanggan, kebenaran daripada pelanggan perlu diperoleh sebelum proses penjualan (pencairan) aset cagaran dilaksanakan.

 

Ketiga, terma dan syarat produk ar-rahnu hendaklah menyatakan dengan jelas tindakan-tindakan dalam situasi kemungkiran oleh pelanggan yang membawa kepada pencairan aset.

 

Cagaran, iaitu emas, jika hasil daripada pencairan aset cagaran melebihi liabiliti pelanggan, lebihan tersebut hendaklah dikembalikan kepada pelanggan.

 

Jika hasil daripada pencairan aset cagaran adalah kurang daripada liabiliti atau obligasi pelanggan, pihak institusi kewangan Islam (IKI) berhak untuk mendapatkan amaun tersebut daripada pelanggan.

 

 

iktisad

 

 

Keempat, pelanggan hendaklah dimaklumkan berhubung spesifikasi dan ciri-ciri komoditi yang dijual beli termasuklah lokasi, jenis, kualiti, dan kuantiti serta kaedah pengiraannya bagi mengelakkan elemen ketidakpastian (gharar) dan pertikaian oleh pihak-pihak yang berkontrak.

 

Yang terakhir, semua keperluan yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia dalam dokumen polisi tawarruq dan rahn hendaklah dipatuhi.

 

Kesimpulannya, penulis telah membuat cadangan berikut kepada Persatuan Koperasi Thailand:

 

  1. Teruskan penggunaan struktur pajak gadai emas mereka dalam produk ar-rahnu yang ditawarkan yang bersandar kepada gabungan kontrak qard (pinjaman), rahn (cagaran), wadi`ah (simpanan) dan ujrah (upah simpan) selagimana para ulama di Thailand masih belum mengharamkannya.

     
  2. Untuk jangka masa pendek, ubah struktur di atas kepada penstrukturan produk ar-rahnu berasaskan pembiayaan tunai berkontrakan bai’ inah dan rahn. Ini adalah kerana para ulama di Thailand masih menerima kontrak bai’ inah dalam pembiayaan tunai.

     
  3. Untuk jangka masa panjang, koperasi dan i-Bank bolehlah mengikut tatacara struktur produk ar rahnu sepertimana yang dilaksana di Malaysia, iaitu penstrukturan produk ar-rahnu berasaskan tawarruq dan rahn.-DagangNews.com

 

 
Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
utm

 

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD

 

dagangnews