Sesuaikah bitcoin sebagai mata wang? Satu kajian perlu dilakukan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 27 Jul 2021 07:27 AM

Sesuaikah bitcoin sebagai mata wang? Satu kajian perlu dilakukan

 

 

STATUS bitcoin masih menimbulkan tanda tanya dari sudut muamalat dalam sistem kewangan negara. Malah, ramai yang berkata ia adalah tidak patuh syariah dan tidak kurang pula yang berpendapat sebaliknya.

 

Penulis ingin menghuraikan perkara ini dengan merujuk kepada e-fatwa oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan menggesa mana-mana agensi berkepentingan untuk membuat kajian terperinci tentang penggunaan bitcoin ini, selari dengan wawasan penggunaan fintech dalam industri kewangan.

 

Sejarah latar belakang bitcoin bermula pada Januari 2009. Bitcoin merupakan satu bentuk mata wang digital yang mula diperkenalkan sekitar 2008 oleh penciptanya, Satoshi Nakamoto di mana satu artikel ditulis dan disebarkan di internet pada November 2008 dengan tajuk 'Bitcoin: A Peer-to-Peer Electronic Cash System'.

 

Berbeza dengan mata wang kertas, bitcoin adalah mata wang elektronik sepenuhnya yang tidak datang dalam bentuk fizikal. 

 

Tambahan, ia dianggap sebagai ‘medium of exchange’ namun tidak pula diiktiraf sebagai ‘legal tender’ oleh negara. 

 

Oleh itu, bitcoin pada masa ini, tidak dikawal selia oleh mana-mana badan atau institusi sebagaimana kebiasaan mata wang lain. 

 

 

Tidak terkawal

 


Tanpa sebarang kawalan daripada mana-mana badan autoriti, banyak transaksi bitcoin yang dijalankan oleh pengguna dilihat sebagai gagal memberikan manfaat kepada masyarakat umum, malah kemungkinan besar ia akan meimbulkan kemudaratan yang tidak terkawal dalam sistem kewangan. 

 

Kebarangkalaian ia akan menyebabkan kerugian terhadap pengguna juga adalah tinggi. 

 

Terdapat kajian yang membuktikan bahawa 40% daripada transaksi pertukaran bitcoin tidak berjaya dan hasilnya, ia mendatangkan kemudaratan dan kerugian melampau kepada penggunanya.

 

Dari perspektif syariah pula, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian berkenaan penggunaan bitcoin sebagai mata wang digital ini. 

 

Jadi, seeloknya kita boleh merujuk penggunaan bitcoin ini dari sudut hukum fiqah dan juga dari sudut ekonomi Islam.

 

Menurut cendekiawan Islam dari sudut hukum fiqah, bitcoin adalah mata wang yang tidak datang dalam bentuk fizikal, justeru pemilikan atau qabd kepada mata wang ini hanya berlaku secara hukmi, iaitu, pemilik bitcoin tidak memiliki hak milik sebenar tetapi mempunyai hak undang-undang untuk mengawal bitcoin tersebut kerana ia tidak akan berlaku secara fizikal. 

 

Oleh demikian, hukum secara hukmi ini hendaklah dipatuhi agar ia tidak melencong dari landasan syariah. 

 

Sebagai contoh, selepas pelanggan memiliki bitcoin, maka hak milik serta tanggungan ke atas bitcoin akan bertukar tangan dari penjual kepada pelanggan dan pelanggan sudah mempunyai hak sepenuhnya untuk menggunakan bitcoin tersebut mengikut kehendaknya.

 

 

Bitcoin

 

 

Terdedah kepada spekulasi

 


Satu aspek yang perlu dipatuhi dari sudut syariah ialah, apabila bitcoin diguna untuk ditukar kepada mata wang atau emas (yang dikategori sebagai barangan ribawi). Apabila ia berlaku, maka ia terikat dengan syarat-syarat ketat kontrak Bay’ al-Sarf (jual beli mata wang secara Islam). 

 

Sekiranya pembelian dengan bitcoin melibatkan barangan ribawi seperti emas maka pembayaran hendaklah dilakukan 'on the spot' ketika transaksi jual beli. 

 

Begitu juga jika transaksi melibatkan pertukaran antara bitcoin dengan mata wang lain maka ia hendaklah dilakukan tanpa ada sebarang penangguhan.

 

Pemerhatian penulis dari sudut ekonomi Islam pula mendapati, walaupun bitcoin dikatakan sebagai satu mata wang tetapi ia sebenarnya tidak berasaskan kepada apa-apa aset sebagai dasar. Ia adalah komoditi. 

 

Sehubungan itu, ia terdedah kepada spekulasi. Dan spekulasi yang berlaku dewasa ini adalah sukar dikawal. 

 

Harga satu unit bitcoin boleh mendadak naik dari tahun ke tahun. Malah, kebarangkalaian harganya menurun secara drastik juga mungkin berlaku dalam masa yang singkat.

 

Kawal selia transaksi bitcoin

 

Kajian mendapati pada 2010, satu unit bitcoin adalah bernilai AS$0.01 dan pada 2014, satu unit bitcoin telah naik berganda dan bernilai melebihi AS$550. 

 

Begitu juga pada awal 2011, kenaikan nilai bitcoin dalam sehari direkodkan antara 5 hingga 10%. Sebaliknya, nilai bitcoin juga mampu merudum mendadak secara tiba-tiba dalam masa yang singkat. 

 

Industri kewangan mencari ciri-ciri mata wang yang nilainya stabil dan boleh dijadikan ukuran untuk aset-aset lain.

 

Oleh demikian, untuk masa ini, penulis menyimpulkan:

 

  • Bitcoin masih lagi tidak sesuai dijadikan mata wang kerana ia boleh dicemari unsur spekulasi yang melampau
  • Nilainya juga tidak stabil dan boleh naik atau turun secara mendadak
  • Ia juga tidak dikawal oleh mana-mana badan berautoriti

 

Namun begitu, pada penulis, bitcoin mampu menjadi satu instrumen yang efektif dan perlu dipelajari dengan lebih mendalam untuk dilaksanakan. 

 

Dalam ekonomi Islam, antara perkara yang perlu diberi perhatian untuk dikaji ialah untuk menghapuskan unsur ketidakpastian (gharar fahish) yang telah, sedang dan akan timbul dalam transaksi bitcoin. 

 

Sebenarnya kita sedang mencari pemangkin untuk menstabilkan nilai bitcoin dalam jangka masa panjang agar ia tidak menimbulkan spekulasi melampau. 

 

Akhirnya, adalah perlu diwujudkan satu badan berautoriti yang mampu mengawal selia transaksi bitcoin dalam industri.

 

 

Dr Razli Ramli merupakan seorang Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. - DagangNews.com