TUNAIKAN TANGGUNGJAWAB BAYAR CUKAI, SUCIKAN HARTA DENGAN ZAKAT
RASULULLAH s.a.w telah bersabda, "Lindungilah harta kamu dengan zakat, rawatilah mereka yang sakit dengan sedekah dan hadapilah segala musibah dengan berserah diri dan taqwa kepada Allah" (riwayat Abu Dawud)”.
Dalam konteks ini, terlintas di fikiran penulis apakah yang dimaksudkan dengan 'Lindungilah harta kamu dengan berzakat'. Oleh itu, penulis senaraikan syarat-syarat dalam menunaikan zakat.
Umat Islam diperintahkan untuk mencari harta dan pendapatan yang halal. Harta yang diperoleh secara haram bukan sahaja menjauhkan seseorang daripada rahmat Allah, malah akan menjadi sebab untuk seseorang itu menerima azab seksa dari Allah.
Pada masa sama, Allah juga mengarahkan amalan berzakat untuk menyucikan segala pendapatan.
Berusaha mencari harta dan pendapatan halal adalah asas penting kerohanian seorang muslim dalam perjalanan hidup sebagai pekerja.
Mereka wajib memberi sebahagian kecil daripada pendapatan sebagai zakat kerana dalam pendapatan yang diperoleh ada hak asnaf yang perlu ditunaikan.
Allah juga dalam surah At-Taubah ayat 103 berfirman, “Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai zakat, dengan itu akan mensucikan dan membersihkan mereka dengannya”.
Dalam sebuah buku keluaran IBFIM terdapat satu perbandingan yang dibuat tentang zakat - yang diumpamakan sebagai satu suplemen detoksifikasi dalam industri suplemen kesihatan.
Suplemen detoksifikasi ini atau pembersihan sistem dalaman bertujuan untuk membersihkan bahan-bahan toksik dan bermudarat yang terkumpul sejak sekian lama dalam tubuh badan.
Bagi penulis, zakat adalah satu proses pembersihan serta penyucian jiwa dan harta. Secara umum, terdapat dua kategori zakat iaitu zakat fitrah dan zakat harta.
Zakat fitrah diwajibkan ke atas semua individu muslim sama ada kaya atau miskin. Tempoh pembayaran zakat fitrah adalah sepanjang Ramadan atau pada pagi Hari Raya iaitu sebelum mengerjakan solat sunat Aidilfitri. Di Malaysia, kadar zakat fitrah adalah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam negeri masing-masing.
Sementara itu, zakat harta pula terdiri daripada dua jenis harta iaitu berbentuk kewangan dan bukan kewangan. Harta kewangan merangkumi emas, perak, aset kewangan seperti wang simpanan, saham, saham amanah dan modal kerja syarikat manakala harta bukan kewangan adalah seperti hasil-hasil pertanian, penternakan serta perlombongan.
Kadar yang paling penting untuk diingati ialah 2.5%, iaitu satu kadar rata untuk zakat yang diwajibkan atas semua bentuk pelaburan kewangan. Ia dikenakan apabila pemilikan harta tersebut mencukupi tempoh setahun (haul) dan melebihi nilai minimum (nisab) iaitu harga semasa 85 gram emas. Kadar nisab bagi Wilayah Persekutuan terkini adalah RM20,361.
Bagaimanapun, zakat ke atas harta-harta bukan kewangan mempunyai cara pengiraan tersendiri. Kebiasaannya, zakat harta bukan kewangan ini akan ditukar nilai kepada nilai wang semasa dan akan dibayar mengikut pengiraaan yang telah ditetapkan.
Zakat yang dibayar oleh individu muslim kepada Pusat Pungutan Zakat Negeri melayakkan individu tersebut menikmati rebat cukai.
Pembayaran cukai akan berkurangan sebanyak jumlah pembayaran zakat sepanjang tahun taksiran.
Apabila zakat dibayar oleh orang perseorangan dan pemilik perniagaan tunggal, ia dikenali sebagai rebat cukai manakala zakat yang dibayar oleh syarikat-syarikat pula dikira sebagai pengurangan ke atas cukai, tertakluk kepada had maksimum 2.5% daripada Pendapatan Agregat.
Dalam kes individu, jika zakat yang dibayar melebihi cukai kena bayar, bakinya tidak boleh dituntut daripada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Sebaliknya, jika jumlah zakat dibayar kurang daripada cukai kena bayar maka kurangan tersebut perlu dibayar kepada LHDN.
Penulis ingin ingatkan bahawa kedua-dua zakat dan cukai adalah kewajiban seseorang muslim. Zakat adalah kewajipan sebagai muslim manakala cukai pula adalah kewajipan sebagai warganegara Malaysia.
Dalam proses merancang cukai dan zakat, orang Islam perlu memastikan semua tanggungjawab zakat mereka dipatuhi dan harus merancang untuk mengurangkan cukai melalui kaedah-kaedah yang sah.
Kegagalan membayar cukai akan menyebabkan pembayar cukai menghadapi pelbagai masalah, selain perlu membayar lebih kerana dikenakan penalti dan kemungkinan dipenjarakan.
Sebaliknya, kegagalan menunaikan kewajiban zakat pula akan menyebabkan seseorang itu berhutang kepada Allah, dan hutang ini tidak akan lupus selama-lamanya sehinggalah diselesaikan. -DagangNews.com
Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.