Usaha sama perniagaan Islam ada rukun dan syarat | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 11 April 2023

USAHA SAMA PERNIAGAAN ISLAM ADA RUKUN DAN SYARAT

 

 

DALAM perbankan Islam terdapat kontrak usaha sama yang unik antara bank dan pelanggan bank di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk mengambil risiko dalam sesuatu transaksi yang memberikan peluang keuntungan dan kemudiannya berkongsi hasil pulangan dari transaksi tersebut. Kontrak usaha sama ini adalah musyarakah dan mudarabah.

 

Perkongsian untuk musyarakah adalah mengikut perkadaran modal yang diberikan rakan kongsi atau mengikut perjanjian dalam pecahan, nisbah atau peratusan. Kadar perkongsian ini tidak boleh diletak dalam jumlah mutlak.

 

Kontrak mudarabah pula ialah kontrak di mana pemilik modal melaburkan dananya kepada usahawan yang menyumbang kemahiran dalam perniagaan dan keuntungan yang dijana akan dikongsi antara mereka.

 

Dalam perbankan Islam, pelanggan dan pihak bank boleh beraksi sebagai rakan kongsi, pemilik modal ataupun usahawan.

 

Rukun kontrak musyarakah adalah:

  1. Rakan kongsi

  2. Modal

  3. Perniagaan

  4. Perkongsian keuntungan

  5. Akad Kontrak

 

Rukun kontrak mudarabah pula adalah:

  1. Pemilik modal

  2. Usahawan

  3. Modal

  4. Perniagaan

  5. Perkongsian keuntungan

  6. Akad Kontrak

 

Dalam kontrak musyarakah dan mudarabah ini, terdapat syarat-syarat sah urus niaga yang perlu diberikan perhatian khusus. Syarat-syarat ini hendaklah dijaga dengan teliti kerana transaksi usaha sama akan tidak sah sekiranya syarat-syarat ini diingkari.

 

Yang pertama ialah berkaitan dengan akad kontrak untuk berniaga antara pihak-pihak usaha sama. Akad hendaklah dibuat dengan baik menggunakan bahasa yang difahami dan pasti serta dilaksana dengan tegas.

 

Akad kontrak hendaklah dilaksana dalam waktu ketika akad hendak dijalankan (sekarang) dan bukannya berakad sekarang untuk masa hadapan.


 

parafrasa

 


Pihak-pihak yang terlibat mesti bersetuju dengan tawaran yang dibuat tanpa ragu dan dengan rela hati. Yang penting penerimaan mesti bersetuju dengan tawaran di mana tawaran dan penerimaan tersebut dibuat pada mesyuarat yang sama.

 

Untuk kontrak musyarakah, rakan kongsi mesti memenuhi empat syarat berikut, iaitu, mereka mampu memikul tanggungjawab yang bermaksud mereka itu berfikiran yang waras, telah mencapai usia baligh dan telah mencapai umur majoriti (18 tahun).

 

Mereka juga bebas untuk memasuki kontrak, tidak dilarang daripada berurusan dengan harta mereka, tidak diisytiharkan sebagai bankrap.

 

Usaha sama yang hendak dimeterai mestilah juga tiada unsur paksaan ke atas mana-mana rakan kongsi yang hendak berniaga.

 

Tambahan, rakan-rakan kongsi ini juga kenalah berkebolehan untuk melantik ejen dan atau dilantik sebagai ejen.

 

Perihal modal pula terdapat lima syarat yang perlu dipatuhi Sebarang aset yang hendak dijadikan modal hendaklah dinilai dengan wang.

 

Modal tidak boleh berbentuk hutang kerana hutang tidak menjamin ia boleh diguna sebagai modal dalam akad kontrak usaha sama ini. Modal juga perlu mempunyai jumlah tertentu yang dinyatakan dengan jelas lagi terang termasuklah jenis matawang.


 

parafrasa

 


Dalam musyarakah, modal wajib disumbang oleh kesemua rakan kongsi dan ia kena bayar ke dalam dana modal.

 

Perniagaan yang hendak dilaksana dalam kontrak usaha sama ini mestilah berkiblatkan kepada maqasid (objektif) syariah.

 

Ia bermaksud, usaha sama ini mendatangkan manfaat kepada seluruh manusia dan tidak mendatangkan kemudaratan. Perniagaan yang diterokai mesti halal dan ianya diurus oleh kesemua rakan kongsi dalam kontrak musyarakah.

 

Apabila berniaga, maka pulangan akan terhasil. Malah, kadang-kadang perniagaan juga mendatangkan kerugian. Dalam kontrak usaha sama musyarakah, perkongsian untung dan rugi terdapat dua syarat penting.

 

Perkongsian untuk adalah mengikut perkadaran modal yang diberikan rakan kongsi atau mengikut perjanjian dalam pecahan, nisbah atau peratusan. Kadar perkongsian ini tidak boleh diletak dalam jumlah mutlak.

 

Jika berlaku sebarang kerugian, maka kadar kerugian yang ditanggung oleh semua pekongsi adalah mengikut nisbah modal yang dilaburkan dalam kontrak usaha sama ini.

 

Bagi kontrak usaha sama mudarabah pula ada banyak syarat sah yang perlu diteliti apabila para pemilik modal dan usahawan memeterai kerjasama dalam perniagaan.


 

parafrasa

 


Kesemua syarat sah dalam kontrak usaha sama musyarakah juga merupakan syarat sah kontrak usaha sama mudarabah ini kecuali ada beberapa penambahan yang perlu diketahui oleh pemilik modal dan usahawan.

 

Antaranya ialah, dalam menjalankan perniagaan, pemilik modal hanya menyediakan modal tanpa mengurus perniagaan tersebut. Urusan perniagaan 100% dilaksanakan oleh usahawan.

 

Apabila perniagaan berjaya mendapat keuntungan, ianya akan dikongsi dalam pecahan, nisbah atau peratusan mengikut perjanjian, bukan dalam jumlah mutlak.

 

Namun, berbeza dengan kontrak usaha sama musyarakah, apabila berlaku kerugian dalam perniagaan, maka, kerugian tersebut hanya akan ditanggung oleh pemilik modal sahaja.

 

Kontrak usaha sama musyarakah dan mudarabah ini bukan sahaja digunakan oleh pihak bank namun, ia boleh juga digunakan oleh korporat dan individu.


 

parafrasa

 


Ia boleh digunakan dalam semua sektor industri iaitu pertanian, pembuatan, perdagangan, perbankan, pengangkutan dan perkhidmatan lain.

 

Penulis ingin menyarankan agar kontrak usaha sama seperti ini dapat dibudayakan dalam sektor korporat terutama dalam inovasi usaha sama yang bersifat saham ekuiti.  – DagangNews.com

 

 


Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
utm

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD

Portfolio Tags