Oleh DR. AZRI BHARI
FITNAH adalah suatu perbuatan tuduhan, khabar, kisah dan seumpamanya yang direka-reka atau diada-adakan untuk menjejaskan imej, maruah dan kredibiliti individu dan pihak tertentu.
Islam menegaskan bahawa perbuatan menabur fitnah itu adalah perbuatan keji, tercela dan terkutuk.
Perbuatan fitnah termasuk dalam kategori dosa besar yang tidak mendapat pengampunan Allah SWT selagi tidak diselesaikan sesama manusia. Oleh itu, Islam melarang dan mengharamkan perbuatan melakukan fitnah atau menyebarkan berita-berita fitnah.
Masyarakat Islam perlu menjauhi daripada terlibat dengan perbuatan fitnah dengan cara meneliti atau menyiasat setiap berita yang diterima terlebih dahulu (tabayyun) dan tidak menjadi wakil menyebarkan berita-berita palsu atau fitnah.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu” (Surah al-Hujurat: 6).
Imam al-Ghazali Rahimahullah menyatakan dalam kitab Ihya’ ‘Ulumuddin bahawa penyebaran fitnah boleh berlaku dengan pelbagai cara atau kaedah yang boleh difahami sama ada melalui percakapan, isyarat (perbuatan) atau tulisan yang membawa hukum haram.
Mutakhir, muncul pelbagai penulisan, imej dan video yang tular melalui media sosial bahawa terdapat segelintir masyarakat yang menyalahgunakan kemudahan ini untuk menyebarkan sesuatu perkara, maklumat dan berita tanpa penjelasan atau tanpa menyelidiki terlebih dahulu kebenaran dan kesahihan.
BACA: MCMC - Tindakan tegas ke atas penyebaran kandungan berbaur provokasi berita palsu dalam talian
Namun yang lebih merisaukan lagi ialah maklumat atau berita yang disebarkan itu bermotif dan bertujuan melakukan pembohongan semata-mata, lebih dahsyat lagi menjadi fitnah dan seterusnya mengaibkan individu atau pihak tertentu. Terdapat beberapa kesan negatif akibat daripada perbuatan fitnah yang dilakukan.
Pertama, menjejaskan imej dan maruah. Perbuatan fitnah sangat memberi kesan dan impak negatif terutama kepada individu yang difitnah. Kesan fitnah akan mengakibatkan imej dan maruah individu tercemar di sisi pandang masyarakat dan menjadi bahan kritikan, cemuhan serta sindiran tanpa penghujung. Fitnah bukan sahaja terkesan kepada individu terlibat, malah turut melibatkan ahli keluarga.
Kedua, mencetuskan perpecahan dan perbalahan. Sewajarnya diingatkan bahawa fitnah yang disebarkan boleh sahaja merosakkan sesuatu masyarakat dan bangsa kerana akan tercetus pergaduhan, pertengkaran, perbalahan, perasaan tidak puas hati dan perpecahan dalam sesuatu masyarakat dan bangsa akan terjadi. Lantaran itu, perasaan saling menghormati dan nilai persaudaraan akan terhakis disebabkan kesan fitnah.
Ketiga, merugikan masyarakat dan negara. Fitnah dilihat boleh mempengaruhi dan memberi kesan negatif daripada pelbagai sudut sama ada fizikal, psikologi, harta benda dan keluarga. Masyarakat disibukkan dengan melayan berita-berita fitnah yang tidak berasas sehingga urusan membangunkan negara dan agama akan tergendala dan terabai.
Demikianlah kesan negatif perbuatan fitnah yang boleh merosakkan individu, masyarakat dan negara. Sewajarnya, masyarakat Islam perlu ingat dan berhati-hati setiap perkara yang dituturkan atau ditulis yang disangka seolah-olah perkara remeh, namun di sisi Allah SWT dinilai sangat besar sama ada diredai atau dimurkai.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang yang menuturkan satu perkataan yang diredai oleh Allah SWT dengan menyangka ia remeh, namun di sisi Allah SWT ia suatu yang amat diredai-Nya, nescaya Allah SWT akan mengangkat darjatnya dalam syurga; manakala seorang lain menuturkan perkara yang disangkanya remeh, namun menimbulkan kemurkaan Allah SWT nescaya Allah SWT akan mencampakkan ke dalam neraka" (Riwayat al-Bukhari).
Seterusnya, Nabi SAW menggambarkan kemurkaan Allah SWT terhadap pembawa fitnah seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Dan orang yang paling dimurkai Allah SWT ialah orang yang pergi membawa fitnah, memecah belahkan antara persaudaraan dan mencaci orang yang tidak bersalah terhadap kesalahan yang tidak dilakukannya” (Riwayat al-Tabarani).
Selanjutnya, Nabi SAW juga memberi amaran yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang hamba apabila menuturkan satu perkataan yang tidak dipastikan kebenarannya terlebih dahulu, akan membawanya ke neraka yang jaraknya lebih jauh dari jarak antara timur dan barat” (Riwayat al-Bukhari).
Kesimpulannya, umat Islam adalah bertanggungjawab untuk membasmi dan membanteras segala bentuk fitnah yang membawa perpecahan dan kerosakan, sekaligus membawa kepada kelemahan dan kehancuran masyarakat Islam. - DagangNews.com
DR. AZRI BHARI adalalh Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor.