Indeks Pengeluaran Perindustrian Oktober susut 0.5% | DagangNews Skip to main content

Indeks Pengeluaran Perindustrian Oktober susut 0.5%

Indeks Pengeluaran Perindustrian

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) menyusut 0.5% pada bulan Oktober 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya. 

 

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Uzir Mahidin berkata, kemerosotan IPP pada bulan Oktober 2020 disebabkan oleh penurunan signifikan 10.6% dalam indeks perlombongan.

 

Uzir Mahidin
Uzir Mahidin

 

"Indeks pembuatan dan indeks elektrik masing-masing mencatatkan perkembangan 2.4% dan 1.0%.

 

"Output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 2.4% pada Oktober 2020 selepas mencatatkan pertumbuhan 4.3% pada bulan September 2020.

 

"Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada bulan Oktober 2020 adalah produk peralatan elektrik & elektronik (8.1%), kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain (3.5%) dan produk petroleum, kimia, getah & plastik (1.7%)," katanya dalam laporan Indeks IPP Oktober 2020 yang dikeluarkan hari ini.

 

Penerbitan statistik IPP terdiri daripada tiga sektor utama iaitu perlombongan, pembuatan dan elektrik.

 

IPP

 

Tambah beliau, output sektor perlombongan menguncup 10.6% pada bulan Oktober 2020 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. 

 

Kemerosotan tersebut disebabkan oleh penurunan dalam indeks minyak mentah & kondensat (-12.6%) serta indeks gas asli (-9.0%).

 

"Output sektor Elektrik meningkat 1.0 peratus pada bulan Oktober 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya," tambah beliau lagi. - DagangNews.com