DILEMA ETIKA, INTEGRITI DAN KEUNTUNGAN UNTUK SEORANG USAHAWAN
SAYA seorang yang memegang prinsip bahawa bahawa sesuatu entiti perniagaan itu sentiasa boleh mencapai keseimbangan di antara etika, integriti dan keuntungan.
Saya sangat percaya ia boleh dilakukan dan keseimbangan ini boleh dicapai walaupun ia tidak mudah.
Saya faham sebagai sebuah entiti perniagaan, kita mempunyai pemegang saham yang secara asasnya ialah pemilik kepada perniagaan.
Sifat pemegang saham, dia akan hanya fokus kepada berapa keuntungan/dividen yang boleh dia peroleh dari pelaburannya. Apabila keuntungan/dividennya bertambah setiap tahun dia akan gembira. Jika sebaliknya, pemegang saham akan mula mencari di mana silapnya.
Namun di Wasiyyah Shoppe Berhad, kedudukan saya unik kerana saya diberikan amanah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif oleh Lembaga Pengarah, saya juga seorang Pengarah yang terikat dengan liabiliti fidusiari pengarah yang ketat mengikut Akta Syarikat 2016 namun dalam masa yang sama saya juga seorang pemegang saham. Jadi saya memakai ketiga-tiga topi.
Saya faham sebagai seorang Ketua Pegawai Eksekutif yang mengetuai pengurusan syarikat, saya perlu memastikan organisasi berfungsi dengan efektif mengikut galur undang-undang dan had kuasa yang ditetapkan, semua kakitangan bekerja secara produktif di dalam eko sistem kerja yang kondusif, strategi perniagaan yang berkesan dan mapan dilaksanakan dan di dalam masa yang sama Wasiyyah Shoppe Berhad mencapai pelan perniagaannya.
Sebagai seorang daripada Pengarah syarikat pula, saya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan tadbirurus korporat Wasiyyah Shoppe Berhad sentiasa berada di dalam tahap mengikut amalan terbaik (best practice). Saya juga perlu peka dengan perubahan undang-undang berkaitan.
Ariffin sebagai pemegang saham pula akan melihat kepada berapakah keuntungan yang mampu diperolehnya sebagai pemilik syarikat. Saya akan cuba sedaya-upaya saya mencari ruang dan peluang perniagaan baru syarikat untuk meningkatkan peluang keuntungan.
Susah atau senang untuk mencapai keseimbangan dan menguruskan jangkaan (expectation) setiap pihak ini? Jika saya seorang sahaja pengarah dan pemegang saham, maka ia akan jadi sangat senang.
Namun hakikatnya saya ada 7 orang lagi Lembaga pengarah dan beberapa pemegang saham. Semua pihak ini akan ada ‘expectation’ yang berbeza.
Berada pada kedudukan saya ialah satu kedudukan yang ‘unenviable’ (tidak dicemburui). Kenapa? Kerana tanggungjawab saya tidak mudah di dalam cuba mengimbangi kehendak kesemua pihak. Jika saya fokus keterlaluan kepada keuntungan kerana memenuhi harapan pemegang saham, ada kemungkinan saya akan terlepas pandang harapan Lembaga pengarah.
Jika saya terlalu ketat mengikat diri saya dengan harapan Lembaga pengarah, ada kemungkinan saya terpaksa membelakangkan pemegang saham. Mereka pastinya tidak akan gembira.
Di dalam masa yang sama saya ada lebih 100 orang kakitangan yang sentiasa mengharapkan saya memimpin mereka ke arah masa hadapan yang lebih baik di Wasiyyah Shoppe Berhad.
Ini belum lagi menggalas amanah lebih 90,000 pelanggan yang pastinya mengharapkan Wasiyyah Shoppe Berhad memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada waris selepas ketiadaan mereka kelak.
Ada di kalangan rakan-rakan usahawan cuba menerapkan doktrin pemikiran kepada saya bahawa keuntungan adalah segala-galanya bagi orang berniaga. Selepas 20 tahun bertungkus-lumus dan berkorban segala-galanya, mereka kata inilah masa untuk saya ‘reward’ diri sendiri. Maka keuntungan sebagai pemegang saham mestilah dijadikan keutamaan.
Mereka sentiasa berfikir bahawa sebagai pemilik perniagaan/pemegang saham apa sahaja mesti dilakukan supaya kita mencapai keuntungan/dividen yang tinggi walaupun timbal balik kepada keuntungan itu ialah kerugian kepada orang lain atau masyarakat secara keseluruhan, pengabaian etika dan integriti malah kemusnahan kepada alam sekitar dan penganiayaan kepada pihak-pihak lain, itu semua ialah harga yang perlu dibayar demi mendapatkan keuntungan.
Saya kurang berpengalaman menguruskan syarikat konglomerat dengan pendapatan ratusan juta setahun. Jadi perspektif saya mungkin berbeza dengan mereka.
Kepada mereka perniagaan ini ialah satu mesin ATM yang akan mengeluarkan duit untuk mereka. Jadi mereka akan buat apa sahaja untuk memastikan mesin ATM ini akan terus mengeluarkan duit tanpa henti.
Kepada saya pula Wasiyyah Shoppe Berhad ialah satu legasi yang akan saya tinggalkan selepas saya mati kelak. Ia akan terus menjadi pelaburan amal kebaikan saya asbab begitu ramai orang Islam yang telah dibantu dan ilmu fiqh mawarith yang telah kami daulatkan. Saya akan pastikan Wasiyyah Shoppe Berhad diletakkan di atas asas yang kukuh kerana ia perlu kekal wujud selepas kematian saya.
Benar saya seorang pemegang saham (pemilik perniagaan). Benar juga tanpa bantuan modal mana-mana pihak, saya telah berkorban dan memberikan segala yang termampu untuk menjadikan Wasiyyah Shoppe Berhad seperti hari ini namun lebih daripada itu, yang lebih penting ialah kita ialah seorang muslim.
Kita ada Tuhan, kita ada agama, kita akan mati. Selalu terlintas di fikiran saya gambaran tubuh saya diselaputi kain kapan dan terperosok di liang lahat.
Rasa ketakutan menghambat diri kerana memikirkan apakah yang akan saya jawab apabila ditanya malaikat kelak. Adakah bekalan saya mencukupi ? Adakah saya telah menggunakan segala peluang yang Allah berikan hari ini sebaik mungkin.
Kita tidak akan hidup menongkat langit dan apa sahaja yang kita kumpulkan seumur hidup tidak akan membawa sebarang makna kepada kita selepas mati.
Saya yakin dan percaya apa sahaja yang saya buat hari ini selagi dipinjamkan umur oleh Allah SWT, saya akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya di akhirat kelak.
Atas sebab itu saya sangat berhati-hati dalam menjalankan tanggungjawab saya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Pengarah dan Pemegang Saham Wasiyyah Shoppe Berhad. Semuanya adalah amanah dan perlu digalas dengan penuh keikhlasan. Saya tahu Allah SWT sentiasa memerhatikan gerak langkah saya.
‘Conscious’ saya dalam menjalankan amanah ini sangat jelas. Saya buat dengan sehabis baik berasaskan landasan iman, insya-Allah ia menjadi pelaburan yang sangat berharga untuk saya di akhirat. Salah guna kuasa, menipu, menganiaya orang dan menyeleweng, bukan sahaja di dunia saya menerima hukuman, di akhirat juga saya akan menerima balasannya.
Sesungguhnya bagi seorang usahawan dilema dan pertembungan di antara etika, integriti dan keuntungan ini memang berat.
Namun Alhamdulillah setakat tahun kewangan 2023/24, Wasiyyah Shoppe Berhad telah berjaya mencapai keseimbangan tersebut. Semoga Allah memberkati usaha dan melindungi kami.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH