SHAH ALAM 30 Nov - Penganjuran acara sukan merupakan satu kaedah berkesan dalam memupuk silaturahim dan ukhuwah jemaah sesebuah surau atau masjid, kata Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof.
"Pengukuhan silaturahim antara umat Islam adalah amat penting dan sangat digalakkan oleh Islam.
"Acara sukan anjuran surau adalah bertepatan dalam usaha menjalinkan ukhuwah dan sekaligus memakmurkan surau dan masjid," kata beliau.
Azli berkata demikian semasa merasmikan kejohanan bowling dan panjat tembok tahunan anjuran Surau Platinum al-Mawadah di sebuah pusat beli-belah pada 29 November 2024.
Sementara itu, Pengerusi Surau Platinum al-Mawaddah di Seksyen 7 Shah Alam, Ustaz Muhammad bin Yusoff berkata, acara tahunan sukan tersebut bukan sahaja memenuhi matlamat solat berjemaah di surau atau masjid tetapi ia juga perlu diterjemahkan dan diamalkan dalam pergaulan harian di luar surau dan masjid.
Satu daripada acara yang boleh diadakan kata beliau, adalah acara sukan yang sesuai dengan tema kekeluargaan atau persetujuan jemaah yang mahu turut serta.
"Acara sukan ini boleh berlangsung dalam suasana semangat kesukanan dan paling penting, memupuk persahabatan dan silaturahim yang kukuh sesama jemaah," katanya.
Ustaz Muhammad berkata, sebelum ini surau pernah menganjurkan acara mini-marathon pada 2019 dan futsal yang mendapat sambutan daripada bukan sahaja kariah tetapi juga orang ramai.
"Kali ini, acara bowling dan panjat tembok untuk anak-anak ini adalah acara sukan tahunan surau yang sentiasa dinanti-nantikan.
"Saya lihat semua peserta yang terdiri daripada kariah surau, beraksi dan bertarung dengan tekun dan penuh kemesraan sesama peserta. Ini yang kita mahukan," kata beliau.
Acara ini ditaja oleh banyak pihak, termasuk portal berita ekonomi berbahasa Melayu, DagangNews.com yang juga merupakan ahli kariah Surau Platinum Al-Mawaddah. - DagangNews.com