Harta pusaka sebagai salah satu instrumen kewangan sosial Islam yang efektif | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 02 Oct 2024 07:00 AM

HARTA PUSAKA SEBAGAI SALAH SATU INSTRUMEN KEWANGAN SOSIAL ISLAM YANG EFEKTIF

 

 

 

Pada 25 September 2024, saya dijemput untuk berforum di IFN Asia Forum bersama-sama beberapa pakar di dalam bidang muamalat. Kami berforum mengenai peranan sistem kewangan sosial Islam dan bagaimana ia boleh digunakan untuk memacu pembangunan ekonomi umah terutamanya bagi industri halal.

 

Di dalam forum itu dibincangkan pelbagai usaha yang sedang dijalankan oleh pelbagai pihak untuk menggembleng ekonomi masyarakat namun penekanannya lebih banyak dari sudut wakaf dan zakat sahaja. Memang jika diperhatikan, sudah ada banyak perkembangan positif di dalam dua bidang ini di Malaysia.

 

Selain daripada kesedaran masyarakat yang semakin tinggi untuk membayar zakat dan berwakaf, peranan dan aktiviti yang dimainkan secara aktif oleh pihak berkuasa berkenaan juga sudah semakin baik, kreatif  dan efektif.  

 

 

mawarith

 

 

Kepada para pembaca yang mungkin asing dengan istilah kewangan sosial Islam, ia adalah satu sistem kewangan di dalam ruang lingkup kewangan Islam di mana aktiviti yang terkait dengan pengurusan dan pelaburan dana atau harta digembleng dengan objektif utama untuk memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya.

 

Sumber dana ini bukan sahaja datang dari sumber tradisional seperti wakaf, sedekah, zakat, qard dan kafalah namun ia juga timbul dari perkhidmatan kewangan lain seperti pembiayaan mikro Islam, sukuk dan takaful. Kesemua instrumen ini memang telah lama wujud di dalam Islam.

 

Saya memang bukan pakar di dalam bidang zakat atau wakaf namun saya suka berkongsi dengan para pembaca mengenai kejayaan Majlis Ugama Islam Singapura di dalam mengembangkan harta zakat yang diamanahkan kepada mereka.

 

Kita tahu Singapura memang terhad dari segi keluasan tanah namun masih ada masyarakatnya yang membuat wakaf ke atas tanah-tanah mereka. Maka Majlis Ugama Islam Singapura telah mengeluarkan fatwa berkaitan konsep al-tawriq iaitu pencairan (penjualan) aset wakaf dan wang itu digunakan untuk membeli aset lain yang lebih berdaya maju dari segi ekonomik.

 

Melalui anak syarikatnya Warees Investment, satu tanah di Orchard Road (lokasi paling strategik dari segi ekonomi) di Singapura telah dikenal pasti dan dibeli untuk dibangunkan sebagai hartanah moden yang mempunyai apartmen servis, kompleks beli-belah dan masjid. Bagi menampung kos keseluruhan projek, sukuk musyarakah dikeluarkan untuk pelabur.

 

Keseluruhan dana hasil jualan tanah wakaf dan sukuk ini kemudiannya digunakan untuk membiayai pembangunan hartanah ini. Bagi memastikan sukuk ini boleh dibayar, kontrak ijarah (sewaan) pula dikeluarkan kepada pihak yang berminat untuk menyewa hartanah yang strategik ini. Hasil ijarah ini kemudiannya digunakan untuk membayar sepenuhnya komitmen kepada ‘pelanggan’ sukuk.

 

Hasil akhirnya, sukuk ini telah berjaya ditebus sepenuhnya, hartanah itu telah beroperasi mengikut kadar komersial yang sepatutnya dan keuntungan daripada projek ini disalurkan semula kepada Majlis Ugama Islam Singapura untuk digunakan bagi kemaslahatan umat Islam secara keseluruhannya.

 

Kita berbangga kerana konsep sukuk berdasarkan aset wakaf pertama di dunia ini digerakkan antaranya ialah oleh anak tempatan kita sendiri, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar. Kita dapat melihat betapa daripada sumber wakaf, ia dapat dikembangkan melalui kaedah kreatif sehingga hasilnya dapat dinikmati oleh keseluruhan umat Islam.

 

 

Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar
           Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar

 

 

Saya tahu kisah ini secara terperinci kerana CEO Warees Investment ketika proses ini berjalan ialah sahabat saya. Dia sangat ‘passionate’ bila bercerita tentang kejayaan ini, sama ‘passionate’ seperti saya bercerita tentang aplikasi mudah alih Hibah Digital Document (HDD) kami atas sebab yang sama iaitu kami ialah orang yang telah bertungkus-lumus melalui pelbagai ujian bagi memastikan idea ini menjadi realiti.

 

Saya percaya walaupun Malaysia berdepan dengan banyak cabaran perundangan dan birokrasinya di dalam urusan wakaf dan juga zakat, berkemungkinan juga satu hari nanti boleh mencapai ke taraf seperti Majlis Ugama Islam Singapura ini dengan usaha keras pelbagai pihak.

 

Namun di dalam forum IFN Asia ini, perspektif yang saya ambil berbeza daripada panel yang lain. Saya melihat betapa kewangan sosial Islam ini juga boleh digerakkan melalui sumber harta pusaka. Saya berani mengatakan tidak ramai orang nampak harta pusaka sebagai alternatif kepada sumber kewangan sosial Islam.

 

Sebagai orang yang telah berjuang selama 26 tahun di dalam bidang ini, saya telah dapat melihat potensi ini dan yakin jika harta pusaka itu dapat dirancang dan diurus dengan berkesan melalui kaedah yang kreatif tetapi masih di dalam ruang lingkup Syarak yang dibenarkan, ia juga mampu menjadi penjana ekonomi ummah sama seperti wakaf atau zakat.

 

Dari segi hukum Syarak, harta pusaka yang tidak patuh Syariah sebenarnya ‘tidak boleh’ (bahasa diplomasi yang saya gunakan) diwariskan sebagai harta pusaka. Hanya harta yang patuh Syariah sahaja boleh diwarisi (harta di sini merujuk kepada ‘ain’ atau sifat fizikal harta itu dan tidak merujuk kepada sumber dana bagaimana harta itu diperoleh).  

 

Di dalam pengalaman Wasiyyah Shoppe Berhad, apabila menguruskan harta pusaka milik orang Islam, memang ada kebarangkalian harta pusaka itu tidak patuh Syariah contohnya akaun simpanan konvensional yang berasaskan riba. Begitu juga dengan pembelian saham tidak patuh Syariah di dalam akaun CDS milik simati.

 

Harta seperti ini sepatutnya diasingkan dan ‘dibersihkan’ (cleanse) mengikut kaedah yang ditetapkan Syarak iaitu disalurkan bagi aktiviti seperti pembinaan infrastruktur untuk manfaat masyarakat. Namun situasi ini tidak berlaku di Malaysia kerana tiada undang-undang yang boleh dikuatkuasakan ke atas waris bagi tujuan pembersihan ini.

 

 

parafrasa

 

parafrasa

 

 

Di Wasiyyah Shoppe Berhad, kami memang sentiasa akan menasihatkan waris supaya membuat sendiri aktiviti pembersihan harta pusaka ini namun kerana tiada undang-undang yang berkuatkuasa bagi tujuan ini, kami hanya sekadar boleh menasihati. Terserah kepada waris untuk mengikutinya atau tidak. 

 

Begitu juga dengan kewujudan amanah keluarga (family trust) dan pejabat keluarga (family office) yang mana salah satu daripada aktivitinya ialah amal jariah. Tidak asing untuk saya bertemu dengan orang yang diklasifikasikan sebagai bernilai tinggi (high networth) yang semasa hidupnya aktif beramal jariah seperti menaja pembangunan dan operasi rumah anak yatim, pusat tahfiz dan sebagainya.

 

Mereka mahukan aktiviti amal jariah ini berterusan selepas mereka mati dan mahukan harta pusaka mereka menjadi sumber kepada aktiviti ini. Melalui dua kaedah di atas, mereka boleh memastikan bahawa hasrat itu tercapai. Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai syarikat amanah berdaftar akan memastikan tadbir urus itu berjalan seperti yang dikehendaki.

 

Insya-Allah di dalam artikel hadapan saya akan ulas mengenai kedua-dua instrumen ini.     

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

dagangnews