Jangan memandai-mandai di dalam urusan Harta Pusaka | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 16 Oct 2024 07:00 AM

JANGAN MEMANDAI-MANDAI DI DALAM URUSAN HARTA PUSAKA

 

 

Di saat artikel ini diterbitkan, saya sudahpun berada di Tanah Suci untuk mengerjakan umrah bersama keluarga saya. Kali terakhir saya ke sini ialah pada September 2022.

 

Ketika itu hajat utama saya ialah untuk membawa ibu saya bersama namun takdir telah menentukan bahawa hajat itu tidak kesampaian kerana ibu saya telah didiagnos dengan kanser usus dan perlu menjalani pembedahan.

 

Ibu menjalani pembedahan beberapa  minggu sebelum tarikh penerbangan. Doktor menasihatkan saya untuk tidak mengambil risiko dengan membawanya  ke umrah kerana kesihatannya yang tidak menentu.

 

 

wasiyyah

 

 

Alhamdulillah, genap dua tahun selepas kejadian ini, saya direzekikan sekali lagi untuk membawa ibu saya ke tanah haram. Doakan agar urusan kami sekeluarga di dalam kembara rohani ini dipermudahkan.  

 

Berbalik kepada topik perbincangan kita minggu ini, sebagai orang tua di dalam industri, saya sangat peka dengan perkembangan semasa.

 

Saya ada mendengar satu kenyataan yang dibuat oleh seorang kenalan tentang KWSP yang menurutnya juga boleh dihibahkan seperti kebanyakan harta yang lain.

 

Secara prinsipnya memang benar harta yang sah kita miliki (berdaftar di atas nama kita) boleh dihibahkan namun kenyataan ini sebenarnya kurang tepat. Akaun yang sedang di dalam kawalan KWSP (pencarum berusia kurang 55 tahun) tidak boleh dihibahkan!

 

Kenapa? kerana untuk membolehkan sesuatu hibah itu sah dari sudut hukum Syarak, semua rukun dan syaratnya mestilah TERLAKSANA semasa hidupnya pemberi hibah. Rukun-rukun itu merujuk kepada harta, pemberi hibah, penerima hibah dan ijab qabul.

 

Rukun harta merujuk kepada keadaan di mana harta itu mestilah milik sempurna pemberi hibah. Secara umumnya, milik sempurna itu pula bermaksud tiada apa-apa halangan kepada pemilik harta itu untuk bertransaksi dengan hartanya. Dia mestilah mempunyai kuasa untuk  menggunakan atau membelanjakan harta itu.

 

Bagi kes KWSP, keadaan milik sempurna itu tidak berlaku. Ini kerana pencarum KWSP hanya boleh menggunakan wang caruman itu untuk tujuan-tujuan seperti syarat yang ditetapkan oleh KWSP.

 

Pengeluaran wang caruman KWSP juga hanya boleh dibuat pada umur 50 tahun (untuk 1/3 daripada akuan pertama) dan keseluruhan caruman pada usia 55 tahun. Walaupun akaun itu milik pencarum namun pencarum tidak mempunyai kebebasan untuk menggunakan harta itu sesuka hatinya.

 

 

KWSP

 

 

Bagi syarat pula, Mazhab Syafi’e menetapkan bahawa bagi membolehkan sesuatu hibah itu dianggap sah, qabd atau keupayaan menguasai harta itu mestilah terlaksana selepas rukunnya sempurna.

 

Contohnya jika harta yang dihibah itu  ialah rumah, maka selepas semua rukun sempurna, ayah sebagai pemberi hibah mestilah membuat tindakan seperti memberikan kunci rumah kepada anaknya sebagai penerima hibah sebagai tanda bahawa dia telah menyerahkan penguasaan rumah itu kepada anaknya.

 

Menurut pandangan Mazhab Syafi’e jika syarat qabd ini tidak terlaksana, maka hibah itu  tidak berkuatkuasa walaupun semua rukunnya sudahpun lengkap. Pandangan ini menjadi panduan kebanyakan mahkamah Syariah di Malaysia di dalam memutuskan pengesahan sesuatu kes hibah.

 

Ingin saya tegaskan sekali lagi, di dalam konteks undang-undang Syariah di Malaysia dan sebagaimana amalan di Mahkamah syariah, hibah tidak akan berkuatkuasa sekiranya qabd tidak berlaku.

 

Atas sebab itu, tidak semua harta boleh dihibahkan. Wasiyyah Shoppe Berhad melalui proses pembangunan produk yang sangat teliti. Kami sangat terperinci di dalam memastikan harta yang ingin dihibahkan itu mestilah dapat memenuhi rukun dan syarat seperti yang ditetapkan hukum Syarak.

 

Namun saya amat bimbang melihat perkembangan semasa di dalam masyarakat hari ini di mana mereka menyangkakan bahawa buat sahaja dokumen hibah maka hibah itu telah selesai. Masyarakat tidak menyiasat latar belakang pihak di mana mereka membuat hibah.

 

Semenjak Wasiyyah Shoppe Berhad memperkenalkan hibah sebagai instrumen perancangan harta pada tahun 2004 dan ia mula mendapat perhatian ramai, pelbagai pihak mula memperkenalkan perkhidmatan penyediaan hibah kerana mereka melihat permintaan yang meningkat.

 

 

wasiyyah
Institusi kewangan timur tengah antara yang berminat untuk mendengar perkongsian Wasiyyah Shoppe Berhad tentang hibah.

 

wasiyyah
Wasiyyah Shoppe memperkenalkan hibah ke Oman.

 

 

Secara peribadi saya tiada sebarang halangan ke atas usaha itu malah mengalu-alukannya. Lebih ramai yang bercakap tentang hibah lebih bagus kerana kesedaran masyarakat juga akan meningkat.

 

Namun apa yang kurang baiknya ialah pihak-pihak ini tidak melalui kerja-kerja ilmiah yang tepat sebelum memperkenalkan hibah mereka.

 

Kebanyakan daripada mereka hanya menbuat andaian peribadi tentang hibah. Ini menyebabkan mereka tersalah di dalam menyampaikan maklumat dan seterusnya mengelirukan lagi masyarakat.

 

Lebih teruk lagi bila mereka mengambil jalan mudah dengan mengatakan bahawa semua  harta boleh dihibahkan sedangkan hakikatnya tidak begitu.

 

Di Wasiyyah Shoppe Berhad, kami tidak ambil mudah isu pelaksanaan hibah termasuk syarat qabd ini. Selain daripada penyelidikan berterusan semenjak sekian lama, kami juga telah melakukan penyelidikan ilmiah bersama Universiti Kebangsaan Malaysia berkaitan dengan isu qabd ini pada 2022.

 

Di dalam pembangunan produk, kami amat berhati-hati bagi memastikan apa yang ditawarkan kepada masyarakat mestilah bertepatan dengan hukum Syarak dan boleh dikuatkuasakan mengikut undang-undang di Malaysia.

 

Cabarannya, ialah seperti yang saya tulis di dalam artikel yang lepas, undang-undang berkaitan  pewarisan  harta orang Islam ini dinamik dan sentiasa berubah. Walau banyak manapun penyelidikan ilmiah yang dibuat, ia tetap tidak akan mencukupi untuk menangani dinamika ini.

 

 

wasiyyah
Proses perkongsian ilmu perancangan harta dibuat kepada semua lapisan masyarakat termasuk pemimpin tertinggi. Bersama Gabenor Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

 

 

Namun apa pilihan yang kita ada? Kita berdepan dengan isu harta pusaka terbeku yang bernilai puluhan bilion RM dan institusi kekeluargaan yang terancam akibat isu ini.

 

Kita tiada pilihan selain daripada untuk menyediakan dokumen perancangan harta kita mengikut kerangka undang-undang yang sedia ada hari ini.

 

Ya kerangka undang-undang ini mungkin akan berubah pada masa hadapan namun jika dokumen itu dibuat dengan organisasi seperti Wasiyyah Shoppe Berhad yang sangat peka dengan perubahan industri serta melakukan penyelidikan ilmiah berterusan, risiko pelaksanaan ini dapat diminimakan.

 

Walaupun kenalan saya yang mengulas isu KWSP itu mempunyai latar belakang pendidikan Syariah yang baik dan berpengalaman luas di dalam bidang muammalat (perbankan Islam), dia kurang pendedahan kepada isu-isu berkaitan harta pusaka orang Islam.  

 

Sehingga hari ini selepas 26 tahun bergelumang dengan industri perancangan harta secara Syariah di Malaysia secara sepenuh masa, saya sendiri merasakan terlalu banyak ilmu yang masih belum saya ketahui berkenaan industri ini.

 

Saya masih lagi belajar dengan pelbagai guru. Saya juga takut untuk mengeluarkan apa-apa kenyataan yang mana saya tidak mempunyai kepastian tentangnya. Anda sudah mahir dalam ilmu ini?   

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

dagangnews