MENGURUSKAN KESIHATAN IALAH UNTUK MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH SWT
Saya baharu pulang daripada menunaikan umrah minggu ini. Kali terakhir saya menunaikan ibadah ini ialah pada September 2022 iaitu kira-kira 2 tahun lepas. Kerana itulah saya tidak menulis artikel saya seperti biasa bagi minggu lepas.
Minggu ini saya tidak akan menyentuh isu harta pusaka. Saya sekadar ingin berkongsi pengalaman umrah saya yang sangat ‘fulfilling’ dan memuaskan. Mungkin para pembaca dapat mengambil sedikit manfaat dari pengalaman saya.
Pada saya umrah kali ini memang umrah yang terbaik bagi diri saya berbanding umrah malah haji yang pernah saya lalui. Banyak ibadat yang dapat saya kerjakan dengan lancar malah dapat ditunaikan berulang-ulang kali tanpa rasa penat atau sakit badan. Saya rasa sungguh bersemangat dan bertenaga walaupun ada ketikanya cuaca sangat panas dan situasi agak mencabar.
Kali terakhir saya mengerjakan umrah, untuk ibadat tawaf dan saie, jika kita tidak larat untuk berjalan, maka kita boleh menyewa dan membawa sendiri skuter. Namun kali ini perkhidmatan sewaan skuter ini telah digantung. Yang ada hanyalah perkhidmatan buggy dan itupun hanya untuk ibadat saie sahaja.
Jika kita mahu tawaf dalam jarak yang lebih dekat maka kita perlu turun ke dataran Kaabah, namun ia hanya dibenarkan jika kita berpakaian ihram (untuk lelaki). Jika kita mengenakan pakaian biasa, maka kita perlu tawaf sunat di aras 1 atau 2 yang jarak tawafnya sekitar 1 km bagi satu pusingan. Bayangkan jika 7 pusingan, maknanya kita perlu berjalan 7km! Jemaah yang bertawaf sunat di aras 1 dan 2 ini juga jauh lebih ramai berbanding di dataran kaabah.
Saya mencuba nasib melakukan tawaf sunat di aras 2 pada waktu kemuncak iaitu di antara waktu maghrib dan isyak dalam keadaan penuh sesak sehingga hampir tidak bergerak. Alhamdulillah, di dalam tempoh hampir 2 jam 30 minit , saya berjaya menamatkan tawaf sunat itu.
Namun apa yang lebih menarik ialah kerana walaupun baju basah disimbahi peluh, saya rasa sangat bertenaga dan bersemangat! Kenapa saya rasa lebih bertenaga sekarang berbanding ibadah umrah dan haji yang lepas?
Kerana ketika saya mengerjakan umrah pada 2022, berat badan saya mencecah sehingga 140 kg. Saya juga seorang diabetik dengan kadar gula di dalam darah mencecah 22 mol. Pada masa itu, hanya selepas sekali mengerjakan umrah, saya sudah merasa letih dan tidak bermaya. Jika solat di dataran Kaabah dalam keadaan panas, saya rasa seperti mahu pitam. Serba serbi tidak kena dan sentiasa mengeluh kerana seluruh badan merasa sakit.
Alhamdulillah, keadaan serba tidak kena ini tidak berlaku sekarang. Punca utamanya ialah kerana kesihatan saya jauh lebih baik sekarang. Saya tidak lagi berdepan masalah diabetik dengan kadar gula purata saya hari ini di antara 4.5 sehingga 5.5 mol setiap hari. Berat badan saya juga hanya sekitar 90 kg sekarang berbanding 140 kg pada tahun 2022.
Ketika saya memulakan perjalanan menguruskan kesihatan 26 bulan yang lepas, di dalam fikiran saya, objektif utama saya ialah untuk lebih sihat supaya dapat menggalas pelbagai tanggungjawab yang semakin berat di Wasiyyah Shoppe Berhad. Dengan jumlah pelanggan yang mencecah 90,000 orang dan pelbagai cabaran terkini, saya tahu saya perlu sihat fizikal, spiritual dan mental untuk kekal fokus.
Ia bukanlah satu perjalanan yang mudah. Saya melalui perjalanan ini dengan bantuan dan nasihat daripada doktor dan pakar pemakanan. Pemeriksaan kesihatan berkala, apa yang perlu dimakan, apa yang tidak boleh dimakan, berapa banyak kadar yang boleh dimakan, bila perlu makan dan bila tidak boleh makan, berapa jam perlu tidur, bagaimana dan berapa lama perlu bersenam, semuanya melibatkan disiplin yang sangat ketat.
Bayangkan inilah rejim yang saya lalui sepanjang 26 bulan yang lepas. Sebenarnya, sangat mudah sahaja untuk saya berputus-asa dan beranggapan bahawa apapun yang dilakukan tidak akan membantu kita memperbaiki kesihatan. Ramai yang berada dalam keadaan saya ketika itu akan faham perasaan ini. Tambahan pula hasil dari amalan rejim yang ketat ini tidak akan dapat dilihat sekelip mata malah memerlukan usaha yang berpanjangan tanpa mengenal erti putus asa.
Alhamdulillah, keadaan fizikal saya kini lebih baik. Saya boleh berlari di dalam jarak 10-15 km walaupun tidak di dalam ‘pace’ yang laju ( kerana masalah lutut ). Stamina saya juga lebih baik dan boleh bekerja dengan lebih fokus dalam tempoh yang lama. Saya nampak secara jelas prestasi kerja saya menjadi lebih baik.
Namun apabila mengerjakan umrah, barulah saya sedar sebenarnya kesihatan yang lebih baik ini memberi kesan paling signifikan bukanlah kepada prestasi kerja semata-mata malah lebih penting lagi, dengan kesihatan yang baik ini, saya dapat beribadah dengan lebih sempurna.
Saya dapat tawaf sunat (ibadah yang paling dituntut untuk dilakukan di Masjidil haram) berkali-kali dalam sehari sehingga pernah berjaya mengerjakan tiga ibada tawaf sunat berturut-turut (21 pusingan).
Oleh kerana ibadat umrah kali ini saya membawa ibu saya bersama, kesihatan yang lebih baik ini juga membolehkan saya menolak kerusi rodanya pada jarak yang jauh tanpa merasai penat. Syukur Alhamdulillah.
Pengalaman umrah kali ini benar-benar memberikan perspektif baru kepada saya. Saya kini dapat melihat betapa dengan nikmat kesihatan yang baik kita dapat mendekatkan diri dengan lebih baik kepada Allah SWT. Ibadah menjadi mudah dan lebih khusyuk. Inilah saya rasa manfaat paling berharga apabila kita berjaya menguruskan kesihatan dengan baik.
Jadi jika anda ingin menguruskan kesihatan, mulakanlah dengan nawaitu yang jelas iaitu. “Sahaja aku ingin menguruskan kesihatan untuk menjadi lebih sihat supaya aku boleh beribadah kepada Allah SWT”.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH