SEKALI LAGI SAYA INGATKAN: BUAT DOKUMEN HANYA 30% DARIPADA URUSAN HARTA PUSAKA
SELAMA dua hari pada 2-3 Oktober 2024, saya berkampung bersama peserta-peserta antarabangsa di Langkawi untuk International Conference on Islamic Financial Literacy (ICIFIL) kedua anjuran Institute of Islamic Banking and Finance (IIBF) Universiti Islam Antarabangsa.
Peluang berkumpul dengan cerdik pandai kewangan Islam tempatan dan antarabangsa ini sangat berharga. Saya dapat berkongsi pengalaman dan idea bersama mereka dan mendapat maklumbalas yang sangat positif. Saya juga dapat belajar banyak ilmu baru daripada mereka.
Di dalam persidangan ini, disentuh pelbagai isu menarik tentang perancangan kewangan seperti perbankan Islam, kewangan sosial Islam dan takaful.
Bersama-sama panel berpengalaman, saya dijemput untuk berforum bagi membincangkan tajuk “Navigating Inheritance Issue” atau mendepani isu pewarisan. Tajuk ini sangat menarik kepada saya kerana sememangnya semakin banyak cabaran yang dihadapi oleh industri pewarisan harta orang Islam di Malaysia.
Walaupun ilmu berkaitan dengan pewarisan harta orang Islam memang sudah sedia ada di situ dan hanya menunggu masa untuk kita gali dan hadam, pelaksanaan ilmu-ilmu ini mengikut peruntukan undang-undang akan berubah-ubah dari masa ke semasa.
Pilih institusi yang tepat dalam merancang harta
Ramai masyarakat di luar sana menyangkakan bahawa hanya dengan membuat dokumen wasiat atau hibah sahaja, maka semua cabaran harta pusaka mereka akan selesai.
Saya tuntas semenjak dari dahulu mengatakan bahawa membuat dokumen itu hanyalah 30% sahaja daripada keseluruhan urusan harta pusaka. Bagus untuk kita ada dokumen perancangan harta namun ia tidak mencukupi !
70% daripada urusan harta pusaka itu sebenarnya melibatkan PELAKSANAAN DOKUMEN itu mengikut peruntukan undang-undang. Dokumen yang sudah dibuat itu perlu melalui proses undang-undang untuk menguatkuasakannya. Di sinilah peri pentingnya masyarakat memilih institusi yang benar-benar berpengalaman dan mempunyai elemen kelangsungan kewujudan (perpetuity existence) seperti Wasiyyah Shoppe Berhad untuk urusan ini.
Sekiranya dokumen itu dibuat dengan individu atau syarikat sdn bhd, risiko paling besar yang mesti difahami masyarakat ialah apabila dokumen-dokumen yang dibuat ini ingin dilaksanakan pada masa hadapan selepas kematian anda, individu itu mungkin sudah mati lebih awal daripada anda ataupun syarikat sdn bhd itu sudahpun menutup operasi, siapakah yang akan membantu waris-waris anda melalui proses undang-undang ini?
Dinamik cabaran harta pusaka orang Islam di Malaysia
Dengan pengalaman 26 tahun di dalam industri, ramai orang yang menyangka bahawa pastinya saya sudah melihat segala-galanya dan telah berdepan dengan pelbagai isu namun hakikatnya akan sentiasa ada isu-isu kontemporari terbaru yang muncul dari semasa ke semasa.
Di antara cabaran yang sentiasa akan berlaku ialah pengenalan undang-undang baru dan tafsiran baru undang-undang oleh hakim yang mungkin tidak selari dengan apa yang menjadi amalan semasa di dalam industri harta pusaka orang Islam di Malaysia. Kepada pihak yang berkuasa memperkenalkan undang-undang dan hakim, mereka memang akan bertindak dengan kaedah seperti yang dibenarkan oleh undang-undang dan keperluan semasa.
Kepada pemain industri seperti Wasiyyah Shoppe Berhad pula, kami perlu sentiasa bersedia untuk sentiasa menyemak semula format dokumen dan SOP pelaksanaannya bagi memastikan ia selari dengan kehendak undang-undang baru dan tafsiran baru tersebut.
Pasukan penyelidik, Jabatan Syariah, Jawatankuasa Teknikal Syariah dan Panel Syariah Wasiyyah Shoppe Berhad sentiasa bermesyuarat bagi membincangkan situasi terbaru dan memberikan cadangan penambahbaikan.
Memang saya akui bahawa ia tidak mudah kerana di dalam keadaan pelanggan yang semakin ramai dan bebanan kerja semasa yang semakin berat, kami perlu pula untuk ‘backtrack’ dan menyemak kembali apa yang telah kami sediakan untuk lebih 80,000 pelanggan kami. Proses ini memakan masa yang panjang dan kos yang tinggi.
Namun Wasiyyah Shoppe Berhad perlu sentiasa bersedia mendepani cabaran ini. Ia merupakan tanggungjawab hakiki kami bagi memastikan semua dokumen pelanggan kami mencapai hasrat mereka.
Jika anda menyediakan dokumen anda melalui individu dan syarikat sdn bhd, adakah mereka akan bersusah-payah melalui semua proses ini ?
Barang perlu saya ingatkan, kami bukan sahaja perlu berdepan cabaran isu-isu semasa seperti ini namun perlu juga untuk ‘pre-emptive’ apa sahaja isu yang akan mendatang. Apa sahaja yang kami lakukan hari ini dibuat dalam keadaan kami perlu membaca dengan tepat suasana industri pada masa hadapan.
Atas sebab itu Wasiyyah Shoppe Berhad tidak pernah berhenti daripada melakukan penyelidikan ilmiah bersama universiti. Ia memberi kami panduan jelas apakah halatuju yang mesti diambil pada hari ini bagi mendepani cabaran masa hadapan.
Cabaran harta pusaka sedia ada pun belum selesai lagi
Isu-isu terbaru ini pula muncul dalam keadaan isu-isu sedia ada di dalam industri seperti harta pusaka terbeku tidak terurus, ketidakfahaman masyarakat tentang hukum berkaitan dan kejahilan tentang peri pentingnya kepentingan perancangan harta masih belum selesai sepenuhnya.
Di dalam kami sedang berusaha bertungkus-lumus mendepani cabaran ini, timbul pula cabaran yang baru.
Saya analogikan situasi ini ibarat dipukul gelombang bertalu-talu di lautan luas. Belum sempat menarik nafas, sudah dihentam pula gelombang kedua dan seterusnya.
Jika nawaitu membuat kerja ini semata-mata kerana wang, stamina lemah, kurang ilmu di dada, tidak cukup tenang di hati dan akal hilang fokus, semua cabaran ini bakal menenggelamkan kita.
Saya bersyukur kerana walaupun cabaran silih berganti, Allah SWT telah mengurniakan kekuatan kepada saya dan pasukan saya untuk terus istiqomah di dalam industri ini. Kami dipertemukan dengan orang yang baik-baik sepanjang 20 tahun operasi Wasiyyah Shoppe Berhad.
Ahli Lembaga pengarah dan Panel Syariah kami sangat menyokong segala usaha kami untuk mendaulatkan perancangan harta secara Syariah di Malaysia. Lembaga Pengarah sentiasa memberikan panduan jelas mengenai halatuju korporat dan tadbir urus terbaik manakala Panel Syariah tidak pernah jemu menggali pelbagai ilmu di dalam fiqh mawarith dan memastikan segala apa yang kami buat patuh Syariah sepenuhnya.
Saya juga amat bersyukur kerana diketemukan dengan daie-daie perunding Wasiyyah Shoppe Berhad yang sangat komited menyebarkan ilmu ini kepada masyarakat tanpa mengenal erti penat lelah.
Semoga Allah SWT memberkati segala perjuangan ini dan memelihara ukhwah kita.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH