Kehebatan kearifan dan keilmuan anak bangsa Kepulauan Melayu | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 30 Sep 2024 07:00 AM

KEHEBATAN KEARIFAN DAN KEILMUAN ANAK BANGSA KEPULAUAN MELAYU

 

 

Semua bangsa di dunia ini mempunyai kearifan tempatan iaitu hikmah dan kebijaksanaan yang terbina dari kehidupan sosial, politik, budaya, ekonomi dan lingkungan dalam masyarakat tempatan.

 

Ini termasuk keilmuan tempatan dan kepandaian yang diwarisi dari generasi ke generasi oleh Orang dan Bangsa Melayu di Nusantara.

 

Sebagai contoh, Bangsa Arab dikenali hebat dalam bidang perdagangan, Bangsa China dalam bidang ilmu reka cipta seperti pembuatan kertas dan bahan api, serta pertanian, manakala dari India kita diperkenalkan kepandaian dalam matematik dan kini, bidang teknologi maklumat. Begitu juga dengan Bangsa Jerman yang unggul dalam bidang kejuruteraan.

 

Kearifan tempatan yang dijulung seantero dunia di Kepulauan Melayu merangkumi kebijaksanaan dan akal budi yang diterima oleh masyarakat dan terus diwarisi sejak berzaman. Masyarakat di rantau ini telah menghalusi ilmu yang tinggi dalam bidang yang memerlukan kreativiti berfikir dan seni rekacipta berinovasi.  Pemahaman canggih tentang alam dan lautan turut menjadi kekuatan.

 

Kita mewarisi kearifan dan ilmu tempatan yang dinamik dan bernilai, dan sebenarnya kekal relevan hingga hari ini. Antara kearifan, kepandaian dan keilmuan tempatan masyarakat kita termasuk:

 

- Bidang perundangan dan kebijaksanaan diplomatik (contohnya, tertera dalam Hukum Kanun dari Melaka, Pasai, dan Kedah pada Abad ke-14 hingga ke-16).

- Ilmu pelayaran, penerokaan, pembinaan kapal, serta pengetahuan membaca laut, bintang, dan alam (seperti yang diamalkan oleh Champa, Sriwijaya, Tamadun Sungai Batu Kedah Lama, Melaka, Terengganu dan di Pulau Jawa)

- Ilmu pembuatan besi, logam dan meriam rentaka, keris dan perisai (misalnya, di Sungai Batu, Kedah Tua pada Abad ke-2, Langkasuka, dan Patani pada Abad ke-16)

- Akal budi terzahir dari Kesusasteraan tinggi seperti pantun, syair serta ribuan khazanah Manuskrip seperti Salatus Salatin, Tajul Salatin, Negarakertagama, Praraton, dan lain-lain menunjukkan keberadaan ketamadunan tinggi di Kepulauan Melayu. 

- Ilmu seni bina dan pembinaan dalam membina jambatan, pengairan, kubu, pelabuhan, masjid dan istana (seperti yang terdapat di Aceh, Melaka, Riau, Kedah, Kelantan, dan Terengganu)

- Ilmu tentang alam hutan belantara termasuk ilmu tib dan ubat-ubatan (diamalkan di seluruh Kepulauan Melayu)

- Kesenian tinggi seperti wau, labu sayung dan barangan perkakas kehidupan yang mempunyai nilai estetika yang tinggi (tersebar di seluruh Dunia Melayu)

- Kearifan tentang Kelestarian alam dan kebijaksanaan dalam memanfaatkan sumber alam secara lestari (contohnya, Taman Sri Ksektra dibina untuk kebahagiaan semua yang bergerak dan tak bergerak oleh Dapunta Hyang Sri Jayanasa Raja Sriwijaya pertama, Talang Tuwo, Sriwijaya pada Abad ke-7)

- Kepandaian Seni Ukir Melayu: Kemahiran dalam seni ukir kayu telah menjadi identiti yang unik untuk masyarakat Melayu. Keindahan dan kehalusan dalam setiap ukiran memperlihatkan kecekapan dan kehalusan tangan para seniman tempatan.

- Kraf Tangan: Industri kraf tangan tempatan seperti anyaman mengkuang, songket, dan batik turut menunjukkan kehalusan dan keindahan dalam setiap rekaan. Keunikan motif dan warna menjadi ciri khas dalam penghasilan kraf tangan Melayu.

 

 

Tidak lupa juga kearifan dalam bidang perdagangan antarabangsa di mana pelabuhan-pelabuhan di Nusantara menjadi pusat dan entrepot dagangan untuk saudagar-saudagar tempatan serta saudagar-saudagar dari seluruh pelusuk dunia.

 

Seringkali kearifan dan ilmu tempatan berasal dari Kepulauan Melayu dilupakan atau dibelakangkan hari ini terutama sekali oleh golongan yang masih dibelenggu pemikiran penjajah. Bangsa Melayu sebenarnya memiliki pelbagai kemahiran tertinggi yang terbina daripada naluri dan akal budi warisan.

 

Kearifan tempatan yang diwarisi pelbagai unsur tradisi yang berkaitan dengan sumber manusia, budaya, ekonomi, keselamatan dan undang-undang serta ilmu yang merangkumi tradisi, budaya, nilai, kepercayaan dan pandangan semesta masyarakat setempat.

 

Jika kita kaji hikmah dan akal budi zaman silam ini, kita boleh rumuskan bidang hari ini yang bersesuaian untuk Bangsa Melayu Kepulauan Melayu hari ini:

 

1. Seni bina:

Penguasaan dalam bidang Arkitektur, di mana bidang ini semakin penting dalam pembangunan negara dan industri. Kita lihat senibina lama dalam pembuatan rumah tradisi yang begitu harmoni dengan persekitaran. Contoh kejayaan dalam bidang ini ialah Arkitek Hijjas Kasturi. 

 

2. Teknologi Kejuruteraan:  

Pada satu masa dahulu, antara khidmat kemahiran kejuruteraan kapal-terbang terbaik dunia dikuasai dan diketuai Tuan Haji Roslan Ismail, Pakar MRO. Malah Strands Engineering yang membina bahagian kapalterbang diketuai pakar kejuruteraan Naguib Mohd Nor CEO Strands. 

 

3. Super Komputer:

Ini merupakan satu bidang memerlukan pemikiran luar kotak dan penyelesaian masalah rumit pelbagai dimensi dan Twistcode merupakan syarikat Top-100 dunia dalam bidang ini ditubuhkan oleh Nurazam Malim Sidik Malim, CEO Twistcode.

 

4. Budaya, Bahasa dan kesusasteraan:

Kekuatan untuk berkomunikasi secara efektif dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, dan banyak bahasa dunia serta kemahiran untuk menulis dengan jelas dan berkesan memberikan orang Melayu kelebihan dalam jurusan Perfileman, Kesusaseraan dan Penulisan dan dahulunya antara Qari dan Qariah terbaik dari Kepulauan Tanah Melayu. Contoh: Pendita Za’aba, HAMKA, Raja Ali Haji, Chairil Anwar dan Amir Hamzah

 

5. Kewartawanan: Kekuatan bahasa dan patriotisma sejak lebih 600 tahun memberikan kita penulis  seperti Pak Sako, Tan Sri A Samad Ismail dan dari Filipina, Jose Rizal


  
6. Keusahawanan dan kemahiran ekonomi:

Keupayaan untuk mencipta peluang perniagaan, membangunkan ekonomi, serta memiliki kepimpinan yang kukuh dalam menjalankan perniagaan. Contoh: Dato Sagor, Ramly Mokni, Pendita Za’aba

 

7. Kreativiti dan seni:

Kemahiran dalam seni bina, rekaan grafik, fotografi, seni ukir, dan seni kraf lain adalah penting dalam mengekalkan warisan budaya serta berkongsi karya seni dengan dunia. Contoh: Tan Sri P Ramlee, Ismail Marzuki, dan Khadijah Awang

 

8. Matlamat Pembangunan Mampan:

Pemahaman alam sekitar dan kepentingan menjaga keseimbangan dalam kehidupan seharian dengan amalan berhemah, kitar semula, dan memelihara keindahan alam. Contoh: Datuk Seri TPr Maimunah Sharif Mantan SEC-Gen UN Habitat dan Datuk Bandar Kuala Lumpur

 

Kesemua kearifan dan keilmuan tempatan  ini mencerminkan warisan akal budi, hikmah dan kebijaksanaan masyarakat Kepulauan Melayu, yang seharusnya diteruskan, dihargai, dan dikembangkan untuk manfaat generasi akan datang. 

 

Dengan menghargai dan meneroka lebih mendalam kekuatan seiring warisan dan kearifan tempatan, masyarakat Kepulauan Melayu dapat memperkukuhkan identiti budaya dan warisan yang kaya serta turut memastikan kelestarian warisan bangsa demi kebangkitan generasi akan datang.

 

Dalam menyelaraskan kearifan tempatan dan teknologi serta ilmu, masyarakat Kepulauan Melayu dapat mencapai kejayaan dalam jurusan bidang berakar umbi keunikan tradisi terus relevan dalam dunia yang sentiasa berubah penuh pancaroba.  - DagangNews.com

 

*Rujukan sampingan:  Muhammad Yusri Yusof & Mohd Anuar Ramli: Jurnal Melayu Bil. 19(2)2020

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb