Malaysiaku: Memelihara warisan budaya untuk masa depan yang harmoni | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 23 Sep 2024 07:00 AM

Malaysiaku: Memelihara warisan budaya untuk masa depan yang harmoni

 

 

 

Baru-baru ini kita menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.  Tanpa mengira latar belakang, status sosial, atau umur, ini masa yang patut kita gunakan untuk menilai keadaan semasa negara tercinta.

 

Malaysia bukan sekadar sekeping tanah di peta; ia adalah tanah air bersama, di mana anak-anak dan cucu-cicit kita akan membesar dan mencari rezeki, hidup aman damai mencari satu kehidupan yang bermakna.

 

Kita tidak boleh menafikan hakikat ini: Jika kita biarkan sifat saling bermusuhan dan perpecahan terus berkembang, kita mengambil risiko mengancam masa depan generasi akan datang bagi semua rakyat Malaysia. 

 

Negara ini telah menjadi destinasi penting selama 2000 tahun yang lampau, merentasi Timur dan Barat sejak zaman peta Geographica Ptolemy pada abad ke-2. Kita destinasi terkenal di dunia, di persimpangan antara yang lama dan yang baru - di ambang dunia yang sentiasa berubah.

 

 

 Chersonesus Aurea
Peta Geographica Ptolemy menamakan Semenanjung Malaysia sebagai Chersonesus Aurea atau Semenanjung Emas

 

 

Yang pasti, di mana ada kebencian, kita tidak akan memcapai kebahagiaan yang sebenar. Tanpa keadilan yang saksama, peluang untuk semua warga negara akan tetap di luar jangkauan.

 

Jika keputusan kita semata-mata berdasarkan logik dan statistik tanpa mengambil kira perincian dan realiti hari ini, kita mengambil risiko menepikan jiwa raga dan nurani dari dasar-dasar negara.

 

Saranan dan slogan untuk  harmoni dan madani tidak mencukupi; kita memerlukan tindakan yang berani untuk merapatkan jurang yang mengancam dan memecah belah masyarakat kita. Kita perlukan langkah-langkah yang terancang dengan baik untuk membawa perpaduan dan perubahan. 

 

Dalam landskap masa kini, setiap segmen masyarakat mempromosi identitinya secara berasingan. Selepas Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971, tidak ada pembangunan identiti kebangsaan yang sebenar.

 

Oleh itu, tidak ada identiti kebangsaan yang menonjol ketika kita mewakili negara kita di pentas antarabangsa, berbeza dengan jiran-jiran Asia kita yang menarik perhatian dunia dengan keunikan jati diri yang terserlah. Kita semua melakar identiti dengan melihat cermin, bukan melihat realiti sejarah, sastera dan seni kita.

 

Kita tidak menghadapi masalah mengenali budaya etnik Cina, India, dan semua etnik dari Semenanjung dan Borneo kita.

 

Walau bagaimanapun, secara jujur, kita mengubur warisan dan budaya Melayu kita yang indah kerana takut terlalu Melayu: melupakan hakikat bahawa kita berada di tengah-tengah Kepulauan Melayu. Nusantara. Asia Tenggara.Ada semacam Melayuphobia apabila memikirkan budaya kita. Tidak hairanlah kini banyak festival di negara kita membelakangkan budaya Melayu sama sekali.

 

Kita sering melupakan hakikat bahawa warisan budaya dan kebudayaan dunia Melayu adalah kualiti unik yang menarik perhatian dunia ke bahagian ini pada suatu ketika. Legenda-legenda indah, kekayaan dari gunung dan sungai.

 

 

hikayat

 

 

Kita pernah belayar di lautan dan berdagang dengan semua bangsa di seluruh dunia: dari China ke India, Mesir ke Arab. Rempah. Kemahiran. Falsafah. Senibina yang cantik dan  Manuskrip Melayu.

 

Kita menyaksikan masyarakat semakin terpisah mengikut garis sosio-ekonomi. Memburukkan keadaan, pendidikan, dahulu menjadi mercu tanda harapan untuk perpaduan, kini terbahagi antara sistem sekolah yang berbeza, mengekalkan ketidaksamaan sosial. Dengan wujudnya sekolah-sekolah kebangsaan, antarabangsa dan vernakular, kita tidak lagi boleh bergantung kepada sistem pendidikan untuk menanamkan perpaduan.

 

Datuk saya Allahyarham Hj Jaafar Awang Pekan merupakan gurubesar pertama sekolah rendah FELDA pertama di Lurah Bilut, Pahang. Sebenarnya ada tiga sekolah kecil dalam kawasan yang sama untuk pelajar Melayu, Cina, dan India.

 

Namun semua bernaung di bawah satu sekolah yang memastikan sema kanak-kanak bermain bersama di padang yang sama semasa rehat dan selepas sekolah. Pastinya kita tidak memerlukan  tiga sekolah untuk menempatkan kaum yang berbeza selepas 61 tahun Malaysia.

 

Merenung kembali ke masa lalu, kita lihat sisa-sisa strategi penjajah kolonial yang bertujuan untuk memecah-belahkan rakyat Malaysia mengikut garis perkauman.  Semasa zaman pemerintahan penjajah, mereka bertekad untuk memisahkan kita. Mereka menanamkan naratif tentang penduduk Melayu kampung yang malas yang sepatutnya tinggal di kampung.

 

Orang Cina di bandar kerana mereka rajin. Orang India di ladang getah. Kita lihat akhir-akhir ini cadangan untuk mengalihkan perumahan awam ke pinggir bandar - ini sama seperti yang diinginkan oleh penjajah untuk memperluaskan jurang, mendorong yang kurang bernasib baik ke pinggir masyarakat.

 

Yang miskin semakin miskin. Yang kaya, semakin kaya.

Sudah tiba masanya untuk membebaskan diri daripada belenggu naratif sebegini dan membina jalan baru ke arah perpaduan yang bermakna. Janganlah kita menari mengikut rentak yang ditetapkan oleh bekas penjajah.  Kita ciptakanlah satu simfoni harmoni di mana semua rakyat Malaysia memainkan peranan penting.

 

Mobiliti sosial, di mana sepatutnya membolehkan setiap generasi meningkatkan tahap sosial melalui usaha dan keazaman yang teguh sepatutnya menjadi realiti yang boleh digapai setiap rakyat Malaysia.

 

 

hikayat

 

 

Marilah kita memupuk dan meraikan kepelbagaian budaya kita yang kaya, kerana kepelbagaian ini membentuk asas identiti kita sebagai sebuah negara. Bersama-sama, marilah kita memelihara keindahan warisan kita demi masa depan kolektif kita.

 

Kepelbagaian kita adalah kekuatan kita, dan hanya dengan berganding bahu sebagai sebuah negara, kita boleh membina hari esok yang lebih cerah untuk semua. 

 

Hentilah mengajar anak-anak kita, atau orang ramai, untuk benci membenci. Berdiri bersama dengan bangga terhadap nilai-nilai intrinsik kita dalam tradisi Kepulauan Melayu yang merangkumi persahabatan, keramahan, kerja keras, dan kemakmuran bersama, akan memanfaatkan semua. 

 

Berikut adalah beberapa fakta tentang negara kita yang seharusnya kita banggakan bersama:

1. Selat Melaka adalah salah satu laluan air semulajadi yang paling sibuk di dunia, penting untuk perdagangan dan pergerakkan manusia selama beribu tahun.


2. Sg Batu adalah bukti tamadun purba yang terpusat di Kedah Tua, dengan industri besi dan logam yang paling maju satu masa dulu. 


3. Antara seni paling indah negara kita adalah Makyong, Mek Mulung, dan Pantun yang diiktiraf oleh UNESCO.


4. Wau adalah salah satu layang-layang tercantik di dunia, sering memenangi pertandingan antarabangsa.


5. Kerajaan Raja Perlembagaan kita adalah unik di seluruh dunia.


6. Kita mempunyai warisan lebih daripada 10,000 Manuskrip Melayu di lebih daripada 160 institusi di lebih daripada 60 negara yang mengandungi kekayaan pengetahuan dan amalan.


7. Khazanah Arkeologi tidak ternilai menunjukkan tanahsir kita antara terawal di Asia Tenggara dengan penemuan Lenggong, Lembah Bujang dan Santubong. 

 

 

Dengan penerbitan buku terbaru KEPULAUAN MELAYU - Ensiklopedia Berilustrasi Tamadun Kerajaan Silam, kita boleh selami sejarah, seni dan sastera yang menjadi kebanggaan kita semua. 

 

Inilah harapan saya. - DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb