Meneroka Khazanah Alam Melayu menerusi interaksi dengan The Human Library | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 11 Nov 2024 07:00 AM

Meneroka Khazanah Alam Melayu menerusi interaksi dengan The Human Library

 

 

 

Pada minggu lepas, saya berpeluang mengambil bahagian dalam acara begitu santai dan mengujakan, The Human Library, satu idea kreatif Shireen Zainuddin disokong Think City sepanjang Festival Kreatif KL.

 

Di sesi Human Library ini, kita mendapat menemubual beberapa personaliti yang mempunyai keunikan masing masing dipilih khas oleh peneraju program. 

 

Antara sesi menarik adalah peluang bertemu dengan Major Karim Pie. Major Karim, seorang jurutera Tentera Udara Diraja Malaysia, adalah Orang Asal Temelai dari Negeri Sembilan. Major Karim berkongsi kisah-kisah menarik dari kehidupan puak Temelai.

 

 

hikayat
The Human Library atau Perpustakaan Manusia adalah kaedah inovatif yang direka untuk mempromosikan dialog, mengurangkan prasangka dan menggalakkan persefahaman. - Gambar hiasan

 

 

Antara petua semasa kecil, mereka dididik supaya tidak menangkap ikan atau mencari hasil tanaman apabila bulan penuh. Ini merupakan antara rahsia memelihara alam semulajadi dan petua yang mencorakkan kehidupan orang Asal yang tidak difahami ramai. 

 

Selepas berbual mesra dengan Major Karim, saya berpeluang bertemu seorang ahli fotografi, Peter The Dragon. Peter menceritakan pula tentang pengalamannya di Perlis Indera Kayangan. Beliau berpengalaman mengambil foto ikan lumba-lumba dan ikan paus di perairan negeri Perlis.

 

Saya terbayang kisah Putera Cahaya Bulan di mana adiknya Puteri Nang Mara menjadi Naga di laut Andaman. Adakah Naga itu pernah berenang bersama ikan lumba-lumba dan paus di laut utara Semenanjung itu?

 

Betapa menakjubkan dunia di Kepulauan Melayu ini yang tidak kita kenali sepenuhnya. 

 

Sesungguhnya benarlah bahawa Kepulauan Melayu, atau juga dikenali sebagai Nusantara, merupakan kawasan yang kaya dengan keajaiban alam dan kepelbagaian spesis.

 

Dari gunung berapi yang aktif, serta yang dorman, sungai yang mengalir deras dari banjaran pergunungan, hingga hutan rimba berusia jutaan tahun, keindahan landskap ini memberikan satu pengalaman yang menarik di kepulauan dan samudera Asia Tenggara.

 

Dengan sejarah geologi dari zaman pemisahan benua mega beratus juta tahun, kawasan ini menjadi khazanah alam yang unik dan menarik perhatian.

 

Salah satu contoh keajaiban alam dan warisan bersejarah yang ada di Kepulauan Melayu ialah hampir 40 pelbagai Tapak Warisan UNESCO di Asia Tenggara. 

 

 

fandom

 

 

Di dalam penerbitan terbaru Hikayat Fandom, KEPULAUAN MELAYU Ensiklopedia Berilustrasi Tamadun Dunia Silam, bab terakhir memberi tumpuan kepada Tapak Warisan UNESCO di Nusantara.

 

Kita kenali Tapak Warisan Budaya seperti Borobodur (Indonesia), Angkor Wat (Kemboja) dan My Son (Champa) namun warisan khazanah alam  memainkan peranan penting dalam mengekalkan dan menghargai sejarah manusia, keunikan bentuk muka bumi mempengaruhi kepelbagaian budaya.

 

Gua Niah di Sarawak, Malaysia contohnya adalah salah satu tapak warisan terbaru diiktiraf UNESCO tahun ini yang begitu terkenal di Malaysia.

 

Terletak kira-kira 90 kilometer dari Miri, gua ini terbentuk semasa akhir era Miosen sebagai terumbu karang sebelum pergerakan bumi mengangkatnya dan menjadikannya sebuah gua. 

 

Gua Niah telah diwartakan sebagai Monumen Sejarah Kebangsaan pada 1958 dan taman negara pada tahun 1974.

 

Para ahli arkeologi telah menjadikan Gua Niah sebagai tapak kaji purba tersohor di dunia dengan penemuan signifikan seperti tengkorak manusia moden berusia 40,000 tahun. Gua Niah memainkan peranan penting dalam mendedahkan sejarah purba manusia di Asia Tenggara.

 

Fakta menarik mengenai Gua Niah termasuk keluasannya serta  enam 'pintu bukaan', dan terkenal dengan penghasilan produk 'sarang burung' yang menyihatkan.

 

 

Gua Niah

 

 

Di Indonesia pula, Taman Nasional Komodo terletak di Kepulauan Sunda Kecil, Indonesia, dan terdiri daripada tiga pulau besar - Pulau Komodo, Pulau Rinca, dan Pulau Padar, serta 26 pulau kecil lain.  Taman negara ini melindungi biawak Komodo dan habitatnya, serta merangkumi pelbagai spesies haiwan.

 

Persekitaran perairan taman ini mempunyai terumbu karang dan banyak spesies ikan yang menarik pelancong untuk aktiviti menyelam. Pada tahun 1991, Taman Nasional Komodo telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. 

 

Lembah Lenggong di Malaysia juga merupakan satu lagi Tapak Warisan UNESCO yang menarik. Terokai Tapak Warisan Dunia UNESCO Lembah Lenggong, di mana penemuan Emeritus Professor Datin Paduka Dr. Siti Zuraina Majid mengungkap rahsia 74,000 tahun Lenggong sejak impak meteor berlaku 1.83 juta tahun lalu, di Bukit Bunuh. 

 

Kenali 'PERAK MAN' legenda, rangka terawal di Asia Tenggara yang lengkap, membuka lembaran sejarah sains perubatan. Kajian Profesor Zuraina juga mendedahkan laluan migrasi manusia purba dari Afrika ke Australia, melalui Lembah Lenggong bersejarah di Semenanjung Malaysia. 

 

Tidak ketinggalan, Taman Alam Terumbu Tubbataha di Filipina juga merupakan Tapak Warisan UNESCO yang lain dari ysng lain. Taman Alam Terumbu Tubbataha merupakan antara sepuluh terumbu karang terbesar di dunia terletak di perairan Filipina.

 

Pelbagai kehidupan laut termasuk 600 spesies ikan, 11 spesis yu, 13 spesis ikan lumba-lumba, boleh ditemui di sini. Terdapat dua pulau karang menambahkan keunikan. 

 

Keindahan terumbu Tubbataha ini paling sesuai dilihat pada bulan Mac hingga Jun terdiri dari dua atol dan laguna yang lebih dalam, kelihatan dengan jelas sedalam 30 ke 40 meter. 

 

Sememangnya, khazanah alam di gugusan kepulauan di Asia Tenggara begitu mengagumkan. Antara yang paling tersohor selain yang disenaraikan di atas adalah warisan budaya seperti Angkor Wat, Candi Borobudur, Candi Prambanan dan My Son in Vietnam.

 

 

Mulu
Keajaiban Gua Mulu, Sarawak - Gambar mulupark.com

 

 

Manakala antara Tapak Warisan Alam merangkumi Gunung Mulu Sarawak, Taman Kinabalu di Sabah,  Taman Negara Malaysia, Hutan Hujan Sumatera dan Teluk Ha Long di Vietnam. 

 

Terima kasih pada Major Karim Pie yang mengingatkan kita tentang keindahan alam.

 

Sesungguhnya jika kita tidak bergerak keluar dari kepompong dunia seharian yang nampak biasa-biasa sahaja, kita tidak dapat mengenal semua keindahan di sekeliling kita, yang begitu luar biasa! - DagangNews.com

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb