Randau cambah fikiran penulis pada Sidang Kemuncak Pena 2024
Sidang Kemuncak Pena 2024 adalah sebuah forum penting yang menekankan peranan penulis dalam membentuk dunia seni kreatif, mengasah pemikiran, dan memperluaskan wawasan generasi masa kini.
Sesi terakhir Sidang Kemuncak Pena 2024 tahun ini telah membawa bersama Datuk Dr. Sohaimi Abdul Aziz, Nisah Haron, dan Ninot Aziz yang membincangkan peranan penulis serta cabarannya bersama moderator Dr. Shamsuddin Othman.
Dr. Shamsuddin membuka sesi terakhir perbincangan pada 20 November 2024 dengan memperkenalkan ahli panel, iaitu Pn. Ninot Aziz, Hajah Nisah Haron, dan Dr. Sohaimi.
Dr. Sohaimi memulakan sesi dengan menyatakan bahawa menurut penulis tersohor George Orwell, ada empat sebab utama mengapa penulis menulis, iaitu kerana ego, keinginan akan status penulis, ingin berkongsi ilmu, dan akhirnya, kerana ingin mengubah dunia.
Contoh yang diambil ialah penulis Korea Selatan, Han Kang, yang telah memenangi Hadiah Sastera terunggul Nobel tahun ini. Jawatankuasa Hadiah Nobel menyatakan bahawa keputusan mereka didorong oleh komitmen penulis tersebut untuk menyampaikan "set-set peraturan yang tidak kelihatan" dan "kerapuhan sesebuah kehidupan” melalui "kesedaran uniknya tentang hubungan antara duniawi dan jiwa."
Puan Nisah Haron pula diajak berkongsi pengalaman dan intipati kenapa beliau ke Festival Penulis Iowa pada tahun 2015. Beliau menghadiri Festival Penulis Iowa pada tahun 2015. Ia menjadi titik permulaan aspirasinya sebagai penulis berwawasan. Beliau juga menekankan bahawa dalam dunia penulisan, kualiti tulisan adalah lebih penting daripada perbezaan umur sebagai ukuran kebolehan.
Ninot Aziz pula mengingatkan hadirin tentang kehilangan tiga tokoh seni Malaysia bulan ini, iaitu Yassin Salleh tokoh penulis dan filem, Datuk Paduka Tharuwat Ismail Bakti tokoh tari, dan Adiguru Norhaiza Noordin, tokoh Seni kraf terulung. Ini menjadi penguat kepada beliau untuk terus menulis demi memperkasa seni, sastera, dan sejarah bangsa sebagai kayu ukur tamadun.
Ini adalah penting baginya kerana nawaitu penulisannya adalah untuk memperkasa seni, sastera dan sejarah bangsa.
Penulis kata Ninot, memainkan peranan penting dalam menzahirkan serta mengasah pemikiran, menghimpunkan, dan mencipta cerita, naratif, serta idea yang diperoleh daripada tokoh-tokoh sebegini.
Cabaran masa depan yang dihadapi oleh penulis termasuklah keprihatinan mengenai kehilangan segala ilmu dan tokoh-tokoh guru. Dengan teknologi yang berubah dengan cepat, persaingan yang sengit dalam dunia seni kreatif dan penulisan, dan keperluan untuk terus inovatif agar relevan dalam kalangan pembaca yang semakin kritikal.
Ada kalanya kita mesti berazam untuk mencipta pasaran dan pembaca kita sendiri. Ditanya Dr Shamsuddin bagaimana Ninot memastikan karya diterima di peringkat antarabangsa, Ninot mengatakan, “Adalah penting untuk menguatkan jaringan rangkaian di tahap antarabangsa.
“Seiring dengan perkembangan zaman, penulis juga perlu menguruskan platform digital dan media sosial untuk memperluas jangkauan dan meningkatkan keterlibatan dengan peminat serta penerbit.”
“Menghadiri pelbagai pesta buku di luar negara seperti Frankfurt, Beijing dan Jakarta juga baik untuk memantapkan penampilan dan pengalaman dengan penerbit luar negara.”
Satu cara bekerjasama dengan penerbit luar adalah dengan berkolobrasi dan setakat ini Ninot telah berkolobrasi dengan penulis dan para akademik antarabangsa dalam menerbitkan Dragonlore dan Ensiklopedia Kepulauan Melayu.
Penulis hari ini menghadapi cabaran terhadap penyalahgunaan maklumat dan faham peraturan berkaitan dengan etika penulisan dalam era digital yang semakin kompleks. Dengan kesungguhan, kesabaran, dan kecekalan, penulis boleh mengatasi cabaran dan terus berkembang dalam dunia penulisan yang dinamik.
Satu daripada contoh cabaran masa depan yang dihadapi oleh penulis adalah perubahan dalam teknologi dan medium penulisan. Dengan perkembangan pesat teknologi digital, penulis perlu berusaha untuk menyesuaikan cara mereka menulis dan menyampaikan karya agar tetap relevan dan dapat menjangkau pembaca yang lebih luas melalui media digital dan sosial
Selain itu, globalisasi juga membawa cabaran baru kepada penulis dalam memahami pembaca dengan kepelbagaian latar belakang budaya. Oleh itu, penulis perlu memastikan bahawa karyanya dapat menyentuh hati semua lapisan masyarakat tanpa mengabaikan nilai-nilai yang penting.
Salah satu cabaran untuk penulis yang menulis tentang hikayat dan seni budaya adalah mencari sumber dan rujukan yang tepat. Memastikan kewujudan sumber yang sahih dan relevan dalam menghasilkan karya yang berkualiti dan autentik adalah penting.
Selain itu, penulis juga perlu memahami dengan mendalam nilai-nilai, tradisi, dan konteks budaya di sebalik hikayat atau seni yang mereka cuba gambarkan. Membangunkan keterampilan dalam menggabungkan elemen-elemen tradisi dengan gaya penulisan kontemporari juga merupakan cabaran lain yang perlu dihadapi oleh penulis hikayat dan seni budaya.
Di akhir sesi, Dr Shamsul menyarankan penulis Malaysia lebih berani dalam karya. Hajah Nisah Haron turut menyarankan penulis diberi pengiktirafan dan ganjaran seadanya. Ninot Aziz pula mengajak semua penulis supaya berbangga dengan kebijaksanaan dan akal budi pemikir Kepulauan Melayu dan seni, sejarah dan sastera bagi memperkasa nusa dan bangsa.
Yang penting, perlu ada kesedaran sesuatu karya memerlukan masa dan inspirasi. Penulis-penulis mesti diberi peluang untuk mengangkat qualiti penulisan Malaysia ke arah pengantarabangsaan dan membentuk naratif dunia!
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : [email protected]
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA