Sapo antaro duo kerajae ini, nok rebut kerajae ambo? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 21 Oct 2024 07:00 AM

"Sapo antaro duo kerajae ini, nok rebut kerajae ambo?"

 

 

Tanah Hamba

Persembahan budaya yang menaikkan semangat jati diri dan mengajak penonton memahami serta memperkasa bangsa merupakan persembahan seni yang amat bernilai dalam menegakkan warisan budaya dan memperkasa identiti negara. 

 

Sajian budaya mengasyikkan dari Zamzuriah Zahari mengalunkan lagu dan tari gabungan persembahan Mak Yong, Mek Mulung diserikan dengan tarian zapin.

 

 

parafrasa

 

 

Jelas para hadirin di majlis pembukaan pameran Limar & Songket oleh John Ang, dan Samyana dapat membayangkan dunia yang dibina Cik Siti Wan Kembang lebih empat ratus tahun dahulu mempertahankan Tanah Serendah Sekebun Bunga dari kubunya di Gunung Chinta Wangsa. Zamzuriah Zahari dan Baizam Generation menghidangkan satu monodrama berjudul Tanah Hamba yang mantap. 

 

Melalui persembahan ini, penonton dibawa ke dalam dunia yang penuh dengan keindahan seni budaya Melayu yang kaya dengan keagungan dan keperkasaan.

 

Dengan koreografi yang bersemangat dan berseni, Zamzuriah Zahari mampu menterjemahkan keperkasaan, kesaktian, serta semangat cintakan ibu pertiwi dunia Melayu dalam bentuk dramatari yang memukau.

 

 

 

 

Persembahan dibuka dengan gesekan rebab mengikut adat tertib Mak Yong yang menceritakan kedamaian di kerajaan lama, tetapi diiringi pula dengan sengketa yang muncul, mencerminkan realiti kehidupan dan cabaran yang dihadapi.

 

Melalui seni budaya, tarian, dan musik, Zamzuriah mampu membangkitkan semangat penonton dengan suaranya yang mendayu, tiba-tiba lantang berani mencabar sesiapa yang kecoh membuat kacau bilau di negara tercinta.

 

hormat budaya kito
Ini tanoh kito

 

Patriotisme yang mendalam terpancar melalui persembahan tersebut, memberikan kesan yang mendalam kepada penonton sehingga menimbulkan keinginan untuk berinteraksi dengan seniman yang terlibat.

 

Ketangkasan penari diselang-selikan dengan pergerakan asli amat mempesona dan halusnya pesanan dalam lirik lagu amat menggamit perasaan. 

 

Keunikan dari persembahan ini terletak pada keterlibatan seluruh keluarga dan pelajar Zamzuriah, termasuk anak-anak yang bermain alat muzik tradisional sejak usia muda. Hal ini mencerminkan pentingnya warisan budaya dan pendidikan seni sejak dini dalam pembinaan jati diri anak bangsa. 

 

Anak-anak bermain gong, gendang dan rebana serta perkakas ‘percussion’ seperti maracas dan tambourine memberikan satu gambungan muzik ensemble hebat: 

Ketua kumpulan, pereka tari dan penyanyi utama: Zamzuriah Zahari

Pemain rebab dan serunai: Kamarul Baisah Bin Hussin

Kamarul Bairon (7) bermain gendang dan gong sementara abangnya Kamarul Baiquni (9) bermain rebana dan gendang anak. Kamarul Baituttah (11) cekap bermain rebana Dikir Barat dan Gendang Penganak Mek Mulung serta Kamarul Baihaqi (13) begitu pakar Rebana Dan Gendang Ibu

 

 

iktisad

 

 

Persembahan Zamzuriah Zahari dan Baizam Generation menjelma sebagai satu contoh cemerlang bagaimana seni dan budaya mampu memperkukuhkan semangat kebangsaan, meningkatkan pemahaman terhadap warisan budaya serta memperkasa bangsa melalui ekspresi seni yang memukau. Persembahan ini mengajak kita semua untuk menghormati dan mencintai warisan budaya serta tanah air kita.

 

Pameran Limar & Songket

Pameran Limar & Songket yang dikelolakan oleh John Ang daripada Samyama dengan kerjasama Think City, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan Semua House, di bawah sokongan Kementerian Kewangan, merupakan suatu jejak kembara sejarah tekstil yang menarik di Kepulauan Melayu.

 

John Ang berkongsi pengalaman beliau dalam mencari warisan khazanah ini di Riau Lingga dan kawasan lain di Kepulauan Melayu dalam beberapa tahun terkini, atas cinta mendalam beliau terhadap tekstil dari Dunia Melayu.

 

Pameran ini memperingati warisan tekstil yang kaya yang menghubungkan budaya dan naratif dalam Dunia Melayu. Ahli pakar tekstil seperti Prof Norwani Nawawi, pereka Salikin Sidek, dan Khairul turut serta dalam pameran ini.

 

Di kesemua pameran John Ang, sememangnya beliau mementingkan persembahan kebudayaan Melayu. 

 

 

iktisad

 

 

Kita semua sebenarnya amat memerlukan budaya dalam kehidupan kita untuk menggapai ketenangan kerana budaya memainkan peranan penting dalam membentuk nurani dan  masyarakat sosial serta  kesan psikologi bagi setiap individu. Budaya membawa warisan nilai, norma, tradisi, dan kepercayaan yang turun temurun dari generasi ke generasi. 

 

Pemupukan jatidiri dan kestabilan sosial berteraskan budaya membantu kita untuk mengenal pasti diri sebagai sebahagian daripada masyarakat atau bangsa. Dengan menyokong dan mempraktikkan budaya, kita dapat membina  semangat cintakan ibu pertiwi yang menjadi tonggak kepada kestabilan sosial.

 

Seni dan Budaya memberi makna dan tujuan hidup, menyediakan panduan dan prinsip hidup yang membantu kita semua memahami peranan masing-masing dalam masyarakat. Mereka dapat merasakan betapa pentingnya warisan budaya mereka untuk membentuk identiti dan memberi makna kepada kehidupan ini.

 

Dalam dunia hari ini yang begitu mencabar, seni dan budaya dapat mengurangkan tekanan psikologi yang semakin meruncing di kalangan generasi muda. Memahami dan mengamalkan budaya membantu anak muda merasa selesa, selamat, dan diterima di dalam masyarakat yang ditimbulkan oleh ketegangan dan konflik. 

 

Lebih lagi, seni dan budaya dapat merangsang rasa bangga dan menguatkan kepercayaan pada sendiri. Dengan memahami dan menghargai warisan budaya mereka, tentulah ini memperkukuhkan jati diri.

 

Tambahan pula, melalui seni dan budaya, baik di kampung atau di bandar,  ikatan sosial yang rapat boleh tersemai dengan baik, membina masyarakat yang menyokong, saling membantu, dan bersatu padu dalam menghadapi cabaran yang dihadapi oleh negara.

 

Seni dan budaya adalah khazanah peradaban bangsa, dan dengan memelihara serta mengagungkannya, kita turut memperkukuhkan identiti serta semangat kebangsaan dalam diri kita.

 

Sastera, seni dan sejarah terus menghidupkan tamadun dunia Melayu sepanjang zaman. - DagangNews.com

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb