Jadi pempengaruh lebih cepat kaya? Jurutera belajar bertahun-tahun, gaji masih murah! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 30 Oct 2024 08:00 AM

Jadi Influencer Lebih Cepat Kaya? Jurutera Belajar Bertahun-tahun, Gaji Masih Murah!

 

 

Malaysia, meskipun bercita-cita menjadi negara berpendapatan tinggi, masih dibelenggu dengan isu gaji rendah yang memberi tekanan kepada daya saing ekonomi, terutamanya dalam sektor kejuruteraan dan teknologi.

 

Di manakah punca permasalahan ini?

 

Pertumbuhan Gaji dan Produktiviti yang Tidak Seiring

Dalam tempoh dua dekad terakhir, purata gaji bulanan di Malaysia hanya mencatat pertumbuhan antara 2.0 hingga 2.6 peratus setahun.

 

Pada tahun 2003, gaji purata bulanan berada pada RM1,600 dan pada tahun 2024 hanya meningkat kepada RM3,212.

 

Ini adalah kenaikan yang amat kecil, apalagi apabila dibandingkan dengan peningkatan kos hidup dan produktiviti.

 

Tahun

Purata Gaji Bulanan (RM)

Kadar Pertumbuhan Tahunan (%)

2003

1,600

2.0

2013

2,500

2.5

2023

3.000

2.6

2024

3,212

-

 

 

Negara jiran seperti Vietnam dan Indonesia pula telah menyaksikan pertumbuhan gaji yang jauh lebih pesat, hasil dasar ekonomi proaktif dan gaji yang diselaraskan dengan produktiviti.

 

Keadaan ini menonjolkan kelemahan struktur ekonomi Malaysia yang tidak mampu memberi ganjaran setimpal dengan produktiviti, terutamanya dalam sektor kritikal seperti kejuruteraan.

 

Produktiviti Marginal dan Ketidakpadanan Gaji

 

Jawatan

Gaji Purata Tahunan (RM)

Jurutera Mekanikal

60,000

Jurutera Elektrikal

65,000

Jurutera Awam

63,000

Jurutera Perisian

70,000

Pengurus Projek Kejuruteraan

100,000

 

Mengikut teori ekonomi, gaji seharusnya mencerminkan produktiviti marginal pekerja. Namun, gaji dalam sektor kejuruteraan di Malaysia tidak mencerminkan nilai ekonomi yang dihasilkan, menimbulkan persoalan mengenai kecekapan pasaran buruh.

 

Laporan Panduan Gaji Malaysia 2024 oleh Michael Page menyatakan bahawa purata gaji jurutera di Malaysia masih jauh lebih rendah daripada negara maju.

 

Ketidakseimbangan ini memperlihatkan bahawa pasaran buruh Malaysia tidak mampu memberi ganjaran yang setimpal dengan produktiviti, menyebabkan ramai tenaga mahir memilih untuk berhijrah ke negara yang menawarkan ganjaran lebih baik.

 

Dominasi Kuasa Monopsoni dalam Pasaran Buruh

Kekakuan gaji atau wage stickiness dalam pasaran buruh Malaysia turut dipengaruhi oleh monopsoni, di mana beberapa majikan besar menentukan gaji tanpa persaingan yang memadai.

 

Ini menyebabkan gaji kekal rendah walaupun produktiviti meningkat, menyulitkan jurutera menerima ganjaran setimpal dengan nilai ekonomi mereka.

 

Kuasa monopsoni membolehkan majikan menetapkan gaji tanpa memberi ruang kepada peningkatan melalui daya saing, lalu mengekalkan ketidaksetaraan produktiviti-gaji yang merugikan pekerja berkemahiran tinggi.

 

Gaji Berdasarkan Pengalaman dan Kekurangan Mobiliti Buruh

 

Tahap Pengalaman

Gaji Purata Tahunan (RM)

Baru Tamat Pengajian

3,000

3-5 Tahun Pengalaman

4,500

5-10 Tahun Pengalaman

6,000

10 Tahun ke atas

8,000 – 12,000

 

Kenaikan gaji untuk jurutera masih terhad meskipun pengalaman dan kemahiran mereka meningkat.

 

Kekurangan mobiliti buruh turut membataskan mereka daripada mencari peluang lebih baik, menyebabkan mereka terperangkap dalam pekerjaan bergaji rendah.

 

Tanpa program latihan vokasional komprehensif, mereka kekal tanpa peluang untuk memperbaiki kedudukan ekonomi.

 

Jurang Gaji Serantau bagi Jurutera

Malaysia terus ketinggalan dalam menawarkan gaji yang berdaya saing, khususnya bagi jurutera, jika dibandingkan dengan negara serantau seperti Singapura.

 

Negara

Gaji Purata Tahunan untuk Jurutera (AS$)

Malaysia

13,000

Singapura

50,000

Vietnam

15,000

Indonesia

18,000

 

Di Singapura, jurutera boleh memperoleh gaji tahunan purata sekitar AS$50,000, hampir empat kali ganda berbanding Malaysia.

 

Produktiviti jurutera di Singapura diiktiraf dan dihargai, manakala Malaysia masih ketinggalan dalam memberi ganjaran setimpal dengan produktiviti mereka.

 

Dengan perbezaan gaji yang ketara, Malaysia menghadapi risiko aliran keluar bakat tempatan ke negara-negara yang menawarkan prospek ekonomi yang lebih baik.

 

T15: Golongan Berpendapatan Tinggi dengan Daya Beli Terjejas

Belanjawan 2025 memperkenalkan klasifikasi T15 sebagai subset dalam T20, merujuk kepada 15% tertinggi dari segi pendapatan rakyat Malaysia.

 

Purata pendapatan bulanan golongan ini melebihi RM13,295, namun peningkatan kos hidup dan pengurangan subsidi untuk mereka, khususnya di kawasan bandar, membuktikan bahawa pengkelasan sebagai golongan “berpendapatan tinggi” tidak bermaksud mereka bebas dari tekanan ekonomi.

 

Kategori

Purata Pendapatan Bulanan (RM)

Pengurangan Subsidi

T15

13,295+

Petrol, Pendidikan

 

Penarikan subsidi kepada T15 ini dijangka memberi impak pada kuasa beli mereka, yang seterusnya akan melemahkan permintaan domestik dan memberi kesan negatif kepada sektor ekonomi.

 

Dengan tekanan inflasi yang berterusan, kuasa beli golongan T15 ini semakin merosot, sekaligus memperlihatkan jurang antara persepsi dan realiti pendapatan tinggi.

 

Dasar Gaji Minimum: Sejarah, Implikasi Ekonomi dan Risiko Cost-Push Inflation

Belanjawan 2025 yang menetapkan gaji minimum sebanyak RM1,700 adalah satu langkah proaktif, namun sejauh mana ia dapat menangani masalah struktur?

 

Kajian oleh Bank Dunia menunjukkan bahawa kenaikan gaji minimum sering kali meningkatkan kos operasi bagi perniagaan kecil, yang mungkin memilih untuk mengurangkan tenaga kerja atau beralih ke teknologi automasi, menjejaskan pasaran buruh.

 

Tahun

Kadar Gaji Minimum (RM)

2013

900

2016

1,000

2020

1,200

2025

1,700

 

Peningkatan gaji minimum ini bukan sahaja memerlukan ketelusan dalam penggubalan dasar tetapi juga inisiatif pemantauan bagi mengelakkan pengurangan tenaga kerja yang drastik.

 

Sekiranya gaji minimum ditetapkan terlalu tinggi tanpa sokongan produktiviti, perniagaan mungkin mengambil langkah penjimatan kos seperti mengurangkan bilangan pekerja atau memilih tenaga kerja kontrak.

 

Di Sebalik Panggung Ekonomi: Sandiwara atau Realiti?

Tatkala kita bercita-cita menjadi negara berpendapatan tinggi, adakah kita benar-benar membangun atau sekadar melakoni sandiwara ekonomi?

 

Setiap janji ekonomi yang dijual umpama bunga plastik – indah di mata, namun kosong maknanya. Dalam usaha mengejar angka KDNK, kita mungkin telah melupakan ramai tenaga mahir yang masih bergelut dengan gaji rendah.

 

Jika kita tidak mula mengutamakan reformasi struktur yang komprehensif, kita hanya akan terus terperangkap dalam lakonan yang sama, meninggalkan rakyat dengan realiti ekonomi yang pahit. - DagangNews.com

 

 

dagangnews

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN