Mulut manis tabur janji: Rakyat tertekan, siapa peduli? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 06 Nov 2024 08:00 AM

Mulut manis tabur janji: Rakyat tertekan, siapa peduli?

 

 

Pengumuman kerajaan Madani mengenai penarikan subsidi bagi golongan T15 telah mencetuskan pelbagai reaksi, terutamanya daripada mereka yang bakal menerima kesan langsung.

 

Langkah ini dilihat berisiko, dengan kekurangan pelan pelaksanaan yang jelas dan perincian tentang cara pengurangan ini akan dilaksanakan.

 

Keputusan ini menimbulkan kebimbangan dan kekeliruan, menggambarkan keperluan mendesak untuk pendekatan yang lebih tersusun dan telus.

 

Pengelasan Pendapatan: Cabaran Tidak Sama

Pembahagian pendapatan di Malaysia yang mengelompokkan rakyat kepada tiga kategori – B40, M40, dan T20 – sering digunakan sebagai asas perancangan dasar kerajaan.

 

Walaupun pengelasan ini memudahkan analisis, ia mungkin terlalu menyederhanakan cabaran unik yang dihadapi oleh kumpulan tertentu dalam setiap kategori.

 

Berikut adalah penjelasan kategori pendapatan tersebut:

 

  • B40 (Bottom 40%) terdiri daripada mereka yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM4,850. Golongan ini sering berhadapan dengan kesukaran untuk memenuhi keperluan asas, seperti makanan dan perumahan. Dalam Belanjawan 2025, kerajaan mengumumkan bantuan tambahan untuk meringankan beban kos hidup mereka.

 

  • M40 (Middle 40%) berpendapatan antara RM4,851 hingga RM10,970. Kumpulan ini mungkin tampak selesa, tetapi tekanan kos hidup yang meningkat, terutamanya di bandar besar, menambah beban kewangan mereka. Bantuan dalam Belanjawan 2025, seperti subsidi terhad dan peningkatan akses kepada latihan, bertujuan untuk memperbaiki keadaan ini.

 

  • T20 (Top 20%) terdiri daripada mereka yang berpendapatan melebihi RM10,970. Walaupun dianggap berkemampuan, peningkatan kos sara hidup tetap mempengaruhi kuasa beli mereka, terutama golongan T15, yang berada di bahagian bawah T20.

 

eksponen

 

 

Realiti Ekonomi Golongan T15: Lebih Daripada Sekadar “Berpendapatan Tinggi”

Meskipun golongan T15 sering dianggap sebagai “mampu,” kenaikan kos sara hidup yang mendadak dalam beberapa tahun kebelakangan ini turut memberi tekanan kewangan kepada mereka.

 

Berdasarkan data terkini, purata pendapatan bulanan bagi T15 adalah sekitar RM13,000, namun keperluan sebenar untuk hidup selesa berbeza mengikut kawasan. Contohnya, di Putrajaya, T15 memerlukan sekurang-kurangnya RM21,726, berbanding hanya RM7,759 di Kelantan.

 

Perbezaan kos hidup ini menunjukkan bahawa purata pendapatan semata-mata tidak cukup untuk mencerminkan realiti cabaran ekonomi yang dihadapi oleh golongan T15.

 

Kesan Ekonomi: Lebih Meluas Daripada Sekadar Satu Golongan

Golongan T15 memainkan peranan penting dalam ekonomi domestik, menyumbang lebih 60% daripada perbelanjaan domestik.

 

Penarikan subsidi bukan sahaja mengurangkan kuasa beli mereka, tetapi juga berpotensi melemahkan permintaan domestik secara keseluruhan, yang merupakan asas penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.

 

Institute of Strategic and International Studies (ISIS) Malaysia turut memberi amaran bahawa dasar yang tidak inklusif ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan ekonomi yang lebih mendalam dan berpanjangan.

 

Data dari Bank Negara Malaysia juga menunjukkan bahawa kadar inflasi di bandar-bandar utama memberi tekanan yang ketara kepada golongan T15.

 

Dalam lima tahun terakhir, kos sara hidup, termasuk kos makanan, perumahan, pendidikan, dan pengangkutan, meningkat antara 30% hingga 100%.

 

Statistik ini menekankan cabaran sebenar yang dihadapi oleh T15, yang semakin sukar menyesuaikan diri dengan kenaikan kos tanpa sokongan subsidi.


 

eksponen


 

Suara Rakyat: Pendapat dari Pelbagai Lapisan

Keputusan ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat, dengan kebimbangan yang disuarakan oleh pelbagai lapisan yang turut terkesan.

 

Di Cyberjaya, pekerja sektor swasta yang berada dalam kategori T15 meluahkan kebimbangan. “Tekanan kewangan kami tidak boleh diabaikan,” kata seorang pekerja sektor IT. Keluhan ini menggambarkan realiti T15 yang sering disalah anggap sebagai “golongan selesa.”

 

Pelajar dari UiTM Cawangan Johor turut menyuarakan kebimbangan generasi muda. Mereka menekankan pentingnya kerajaan mengkaji mekanisme yang jelas dan bersasar.

 

“Kami berharap ada pelaksanaan yang membantu semua golongan,” kata Muhammad Thaqif Irfan Rosidan, Pelajar Tahun Akhir, Diploma Analisis Pelaburan, UiTM Cawangan Johor, sambil menekankan keperluan ketelusan dalam dasar.


 

Muhammad Thaqif Irfan Rosidan
Muhammad Thaqif Irfan Rosidan

 

 

Media sosial menjadi saluran penting untuk meluahkan kebimbangan. Di Facebook, pengguna berpendapat langkah ini akan membebankan mereka yang tinggal di bandar

 

Seorang pengguna menegaskan, “T15 ini bukan semuanya kaya; bila subsidi ditarik, semua yang berpendapatan lebih sedikit akan terasa kesannya.” Di X, ramai merasakan kerajaan tidak memahami cabaran T15 dan mencadangkan subsidi bersasar berdasarkan lokasi dan tanggungan keluarga.

 

Sementara itu, TikTok menjadi platform bagi generasi muda untuk berkongsi realiti kos hidup mereka. Seorang pengguna menyatakan, “Kami bukan T20 yang kaya, tapi kami juga bukan B40. Kami perlukan bantuan yang lebih sesuai dengan kehidupan kami.”

 

Keperluan Mekanisme Pelaksanaan yang Jelas

Berdasakan pandangan, pendapat, keluhan, serta reaksi ramai. Keputusan ini menunjukkan perlunya mekanisme pelaksanaan yang telus dan terperinci. Tanpa perancangan rapi, pengumuman sebegini hanya menambah kekeliruan dan ketidakpuasan masyarakat.

 

Penyelesaian lebih baik mungkin adalah pemberian subsidi berdasarkan kos hidup di kawasan tertentu atau pengurangan secara berperingkat yang memberi ruang bagi golongan T15 menyesuaikan diri.

 

Reformasi Ekonomi yang Realistik dan Berkesan

Kerajaan harus berhati-hati agar tidak sekadar membuat pengumuman tanpa asas pelaksanaan yang kukuh. Langkah-langkah yang lebih strategik dan bersasar, seperti subsidi berasaskan kawasan dan sokongan peningkatan pendapatan, akan lebih bermakna bagi kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi negara.

 

Keputusan yang bersandar pada retorik sahaja akan mengakibatkan kekecewaan di kalangan rakyat, yang mengharapkan tindakan konkrit untuk mengatasi tekanan hidup. - DagangNews.com

 

 

dagangnews

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN