KUASA, PERANAN MAJLIS PENASIHAT SYARIAH DALAM SEKSYEN 53(1) AKTA BANK NEGARA MALAYSIA 2009
Pada 17 Disember 2024, Bank Negara Malaysia telah mengumumkan pelantikan semula ahli Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia (BNM).
Pelantikan tersebut dibuat menurut seksyen 53(1) Akta Bank Negara Malaysia 2009.
Dengan pelantikan semula ini, MPS akan dibarisi tujuh orang ahli yang berkepakaran dan berpengalaman dalam bidang Syariah, kewangan Islam dan undang-undang.
Ahli-ahli MPS ialah:
BNM juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Mohd Zawawi Salleh dan Zainal Abidin Jamal atas sumbangan yang tidak ternilai semasa tempoh perkhidmatan mereka di dalam MPS sebelum ini.
Tan Sri Mohd Zawawi akan melengkapkan tempoh perkhidmatan beliau sebagai ahli MPS pada 31 Disember 2024, sementara Zainal Abidin telah menyempurnakan tempoh perkhidmatan beliau pada 31 Oktober 2024.
Penulis ingin berkongsi pandangan berkaitan dengan seksyen 53(1) Akta Bank Negara Malaysia 2009.
Seperti yang sedia maklum, MPS merupakan badan berkuasa tertinggi bagi menentukan hukum syarak berhubung dengan perniagaan kewangan Islam di Malaysia.
MPS juga berfungsi sebagai penasihat kepada BNM mengenai sebarang isu Syariah yang berkaitan dengan perniagaan, aktiviti atau transaksi kewangan Islam.
Keputusan Syariah yang dibuat oleh MPS menjadi sumber rujukan institusi kewangan Islam bagi memastikan operasi perniagaan mereka mematuhi prinsip Syariah.
Selain itu, keputusan MPS juga boleh digunakan sebagai rujukan mahkamah dan penimbang tara.
Oleh itu, MPS memainkan peranan yang penting untuk menggalakkan kepastian amalan Syariah serta mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap industri kewangan Islam.
Oleh yang demikian, Seksyen 53(1) Akta Bank Negara Malaysia 2009 sebenarnya telah memperuntukkan kuasa dan peranan MPS di bawah BNM.
Melalui seksyen ini, MPS berfungsi sebagai badan berkuasa tertinggi dalam menentukan perkara-perkara yang berkaitan dengan undang-undang Syariah bagi urusan kewangan Islam di Malaysia.
Seksyen ini menyatakan bahawa mahkamah sivil atau mana-mana pihak berkuasa dalam negara wajib merujuk kepada MPS BNM untuk mendapatkan pandangan atau keputusan berhubung isu Syariah yang timbul dalam penyelesaian pertikaian kewangan Islam.
Dengan kata lain, Seksyen 53(1) memberikan mandat yang jelas bahawa pandangan atau fatwa yang dikeluarkan oleh MPS BNM adalah muktamad dan mengikat dalam konteks undang-undang sivil.
Hal ini bertujuan memastikan keseragaman dan kepastian dalam operasi kewangan Islam yang merangkumi produk, perkhidmatan, dan kontrak-kontrak yang mematuhi prinsip Syariah.
Melalui peruntukan ini, MPS BNM mendapat mandat dan kuasa yang sah untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dalam ruang lingkup undang-undang sivil.
Sebarang pertikaian berkaitan kewangan Islam yang dibicarakan di mahkamah sivil perlu merujuk kepada pandangan MPS BNM untuk memastikan kesahihan dan ketepatan prinsip Syariah diterapkan.
Resolusi, standards, tadbir urus Syariah dan fatwa yang diumumkan oleh MPS BNM bukan sahaja bersifat nasihat, malah berkuat kuasa di mahkamah sivil dan menjadi rujukan rasmi dalam membuat keputusan.
Ini memastikan sebarang interpretasi undang-undang Syariah tidak bercanggah dan selaras dengan prinsip yang diiktiraf di peringkat kebangsaan.
Penulis melihat keunikan sistem ini terletak pada kewangan Islam yang berada di bawah senarai Persekutuan (federal list), bukannya senarai negeri (state list).
Hal ini bermaksud, urusan kewangan Islam termasuk kontrak, produk, dan perkhidmatannya tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan Persekutuan dan bukan kepada mahkamah Syariah negeri.
Mahkamah Syariah, seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan, hanya mempunyai bidang kuasa ke atas isu-isu kekeluargaan, ibadat, dan perkara-perkara berkaitan umat Islam di peringkat negeri.
Dalam konteks ini, mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk menyelesaikan pertikaian kewangan Islam.
Yang Arif Hakim dalam kes-kes kewangan Islam mempunyai hak untuk merujuk kepada MPS BNM bagi mendapatkan penjelasan berhubung prinsip Syariah yang berkaitan sebelum membuat keputusan.
Keputusan yang dibuat berdasarkan rujukan ini menjamin ketelusan, integriti, dan pematuhan terhadap prinsip Syariah, sejajar dengan kehendak undang-undang dan keperluan industri kewangan Islam.
Peranan MPS BNM juga meliputi penyeragaman pandangan Syariah dalam industri kewangan Islam.
Fatwa atau resolusi yang diumumkan oleh MPS tidak hanya mengikat pihak mahkamah, tetapi juga institusi kewangan Islam dalam mematuhi prinsip-prinsip Syariah.
Ini memastikan bahawa operasi kewangan Islam berjalan lancar tanpa keraguan atau percanggahan dalam pematuhan Syariah.
Dengan adanya peruntukan ini, sebarang cabaran atau isu berkaitan perundangan dan kewangan Islam dapat ditangani dengan lebih sistematik dan sah di sisi undang-undang.
Seksyen 53(1) memberikan jaminan terhadap pengharmonian antara undang-undang sivil dan prinsip Syariah.
Melalui mandat ini, MPS BNM memainkan peranan penting dalam memastikan prinsip Syariah dihormati dan dilaksanakan dengan berkesan dalam sistem perundangan Malaysia.
Ini selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi hab kewangan Islam yang kukuh dan berdaya saing di peringkat global.
Penulis merasakan sebagai institusi kewangan di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM), adalah penting untuk memahami, menghayati, dan mengamalkan peruntukan Seksyen 53(1) Akta Bank Negara Malaysia 2009.
Peruntukan ini memberikan Majlis Penasihat Syariah (MPS) BNM kuasa penuh dalam menentukan prinsip dan interpretasi Syariah bagi semua urusan kewangan Islam.
Setiap fatwa dan resolusi yang dikeluarkan oleh MPS bukan sahaja mengikat, tetapi turut menjadi panduan sah dan rujukan utama dalam penyelesaian pertikaian kewangan Islam di mahkamah sivil.
Oleh itu, semua institusi kewangan Islam harus menyedari dan menyebarkan pengetahuan punca kuasa ini kepada masyarakat dan pelanggan mereka bagi mengelakkan kekeliruan atau salah faham mengenai kedudukan kewangan Islam dalam sistem kehakiman negara.
Mahkamah sivil mempunyai autoriti penuh dalam menentukan keputusan yang berpandukan fatwa MPS BNM, bagi memastikan prinsip Syariah dipatuhi dalam setiap urusan kewangan.
Kesedaran ini bukan sahaja penting untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem kewangan Islam, tetapi juga untuk memastikan operasi dan produk kewangan Islam di negara ini dapat berkembang dengan lebih berkesan, sistematik, dan dihormati di peringkat nasional serta antarabangsa. - DagangNews.com
Dr Razli Ramli adalah Ketua Strategi dan Pengurusan Risiko yang juga Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD