Apa seronok sangat Malaysia jadi pengerusi Asean 2025?
Malaysia dengan rasminya menerima tugas sebagai Pengerusi Asean 2025 daripada Laos, baru-baru ini.
Secara simbolik penyerahan tugas Pengerusi Asean di Vientiane, Laos, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kesempatan mengistiharkan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ mencerminkan komitmen hala tuju atau kaedah yang akan Malaysia garapkan dalam mencapai kemakmuran yang bakal dikongsi bersama tanpa ada yang tertinggal.
Langkah ini mempamerkan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai kemampuan membuat perancangan jitu dan harapan kita adalah bahawa dengan langkah yang diambil baru-baru ini, banyak kerangka strategi akan bertahan lama dalam jangka masa panjang dapat di cetuskan.
Penstrukturan semua ekonomi kearah ekonomi hijau dan mesra alam menandakan satu detik perubahan yang penting bagi ke semua struktur ekonomi negara-negara Asean.
Dari sudut penstrukturan ekonomi ke arah struktur ekonomi hijau yang lebih mampan untuk kebaikan bersama dalam kalangan negara-negara Asean telah menuntut betapa pentingnya pembaharuan yang menyeluruh untuk mengatasi asas-asas kelemahan dan kekangan struktur sesebuah ekonomi di negara-negara ini.
Pembaharuan struktur ini meliputi pelaksanaan pelbagai dasar untuk menyokong sistem perbankan, menangani limpahan ke dalam ekonomi benar dan memperkukuh dinamisme serta daya tahan ekonomi-ekonomi negara yang terjejas oleh krisis ekonomi pasca COVID.
Walaupun daya tahan makroekonomi dalam ekonomi serantau mampan selama hampir dua dekad, namun persekitaran ekonomi dan kewangan global semasa, khususnya selepas krisis COVID-19 menimbulkan banyak cabaran besar dan risiko pertumbuhan yang lebih perlahan dalam ekonomi Asean pada tahun kebelakangan ini.
Tambahan pula, kebangkitan industri berasaskan kecerdasan buatan, pembandaran yang pesat serta kesan daripada perubahan keadaan cuaca, menyebabkan perlunya pelaksanaan pembaharuan struktur yang proaktif dan lebih mampan, keterangkuman semua negara ahli agar dapat bertindak balas terhadap isu dan trend global.
Menyedari bahawa tindakan segera perlu diambil untuk melaksanakan pembaharuan menyeluruh dalam persekitaran yang mencabar ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kesempatan mengistiharkan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ mencerminkan komitmen hala tuju atau kaedah yang akan Malaysia garapkan dalam mencapai kemakmuran yang bakal dikongsi bersama tanpa ada yang tertinggal.
Para pembuat dasar di serantau perlu terus mengambil langkah-langkah yang proaktif. Ini bukan sahaja bertujuan untuk menangani risiko yang mungkin timbul daripada perubahan persekitaran luar dalam jangka pendek, bahkan untuk memperkukuh prospek pertumbuhan dan daya saing rantau ini dalam jangka sederhana.
Walaupun gabungan beberapa pembaharuan tertentu perlu dilihat sebagai pembaharuan untuk menangani cabaran yang timbul mungkin berbeza antara satu negara dengan negara yang lain mengikut persekitaran tempatan, keutamaan pembaharuan struktur ekonomi negara-negara ASEAN pada amnya perlu merangkumi setiap negara.
Kemampanan di sini pula bermaksud memberi tumpuan kepada memenuhi keperluan semasa tanpa menghalang generasi akan datang turut menikmati persekitan yang sama atau lebih baik. Ia mengimbangi pertumbuhan ekonomi, penjagaan alam sekitar dan kesejahteraan sosial untuk mencipta nilai jangka panjang dengan mempertimbangkan kesan organisasi terhadap persekitaran ekologi, sosial dan ekonomi serantau.
Kemampanan menekankan kepentingan perancangan jangka panjang dan mencapai matlamat yang akan memastikan kesejahteraan dan keterjaminan generasi akan datang negara serantau turut menikmati persekitan berkualiti. Ini termasuk amalan pembangunan mampan yang mengimbangi pertumbuhan ekonomi, perlindungan alam sekitar dan kesaksamaan sosial di setiap negara ahli.
Aspek utama kemampanan pula merangkumi penggunaan sumber yang cekap untuk meminimumkan sisa dan mengurangkan kesan alam sekitar. Ini melibatkan penggunaan kitar semula, penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan amalan penyumberan mampan yang boleh di kerjasamakan bersama-sama negara serantau.
Kemampanan juga mempertimbangkan kesan yang lebih luas daripada aktiviti perniagaan terhadap masyarakat di rantau Asean. Ini termasuk menggalakkan kesaksamaan sosial, meningkatkan kesejahteraan masyarakat, dan memastikan pengurusan tenaga kerja yang cekap.
Amalan mampan memberi manfaat kepada semua negara ahli dengan mewujudkan persekitaran yang lebih sihat, komuniti yang lebih kukuh dan ekonomi yang lebih berdaya tahan dan ini pula meliputi keterangkuman yang dijadikan tema bersama.
Di tengah-tengah pembangunan dan pembandaran yang pesat, perlindungan daripada peningkatan kos sosial yang negatif perlu disegerakan. Sehubungan dengan itu, ekonomi serantau seharusnya menekankan perlaksanaan pembaharuan untuk menggalakkan pertumbuhan inklusif atau keterangkuman dengan meningkatkan akses peluang kepada semua lapisan masyarakat serantau.
Dengan menggalakkan pertumbuhan keterangkuman dan kemampanan menjadikan ekonomi lebih dinamik. Usaha meningkatkan kerjasama dalam kalangan ekonomi rantau ASEAN juga membolehkan negara di rantau ini menggunakan kekuatan negara masing-masing bagi mendapatkan manfaat yang lebih besar melalui langkah-langkah pembaharuan ekonomi dan sosial. - DagangNews.com
Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI