Ekosistem Guna Tenaga Kerja Terganggu Kerana Gen Z ?
Apa sudah jadi ?
Satu generasi itu selalunya menggambarkan keadaan atau situasi di mana setiap individu mempunyai pengalaman hidup yang tersendiri.
Ia juga menggambarkan siapa diri individu tersebut dan bagaimana mentakrif melihat dunia dari kacamata sendiri.
Inisiatif ini dilihat akan berupaya memberikan kesan positif terhadap cara komunikasi yang berkesan, dapat memupuk motivasi dalam diri, meningkatkan produktiviti dan kerjasama berkumpulan, serta meningkatkan kesetiaan pekerja terhadap pekerjaan.
Don Tapscott dalam bukunya Grown Up Digital membahagikan demografi penduduk kepada beberapa kelompok berikut:
1. Pre Baby Boom (lahir pada 1945 dan sebelumnya)
2. The Baby Boom (lahir antara 1946 – 1964)
3. The Baby Bust (lahir antara 1965 – 1976) – Generasi X
4. The Echo of the Baby Boom (lahir antara 1977 – 1997) – Generasi Y
5. Generation Net (lahir antara 1998 hingga 2009) – Generasi Z
6. Generation Alpha (lahir pada 2010) – Generasi A
Siapakah yang tergolong dalam generasi Z?
Menurut Tapscott , generasi Z adalah golongan yang dilahirkan tahun 1998 hingga 2009. Generasi Z adalah generasi teknologi.
Mereka telah mula melayari internet dan web seiring dengan usia mereka sejak mereka masih belum bercakap. Generasi Z telah dibimbing dan digalakkan oleh ibu bapa menggunakan dunia laman sosial sejak kecil lagi.
Dengan kata lain, generasi Z membesar di dalam dunia yang semuanya berhubung menerusi teknologi sejak dari awal lagi. Maka sudah tentulah kemahiran kemanusiaan dalam kalangan mereka semakin tipis.
Mereka juga sukar memahami kemahiran perorangan kerana sering berhubung melalui perantara seperti aplikasi yang tersedia. Ini menyebabkan generasi ini kurang peka terhadap emosi manusiawi.
Walaupun terdapat kebimbangan dalam kalangan ibu bapa apabila mendapati anak-anak mereka menghabiskan terlalu banyak masa berinteraksi secara dalam talian berbanding di alam nyata.
Hakikatnya teknologi bukanlah alat yang dianggap memberi kesan buruk bahkan memudahkan pergerakan dan penghantaran maklumat yang cepat di dalam persekitaran organisasi tetapi tidak seharusnya mengganggu kemahiran kemanusiaan.
Justeru, generasi Z melihat faedah teknologi sebagai alat komunikasi yang bersifat ‘nyata dan realistik’.
Mereka masih dapat bersama ahli keluarga dan rakan-rakan di seluruh negara, atau bahkan seluruh dunia, tanpa perlu berada di ruang fizikal yang sama.
Malah, cara mereka berkomunikasi melalui sistem pesanan ringkas (SMS), WhatsApp, Skype dan sebagainya menambah kepada aliran dialog merangkumi interaksi visual sebenar yang berterusan.
Laporan terbaharu daripada CNBC Indonesia yang memetik kajian dari Intelligent, sebuah platform perundingan pendidikan dan kerjaya, mendedahkan data yang mengejutkan di mana ekosistem tenaga kerja agak terkesan dengan kualiti kerja Gen Z.
Beberapa sebab yang disebut di sebalik keputusan ini termasuk kekurangan motivasi daripada pekerja, kekurangan profesionalisme dan kemahiran komunikasi yang lemah.
Majalah digital, Fortune pula menyebut sebahagian besar Gen Z dan pekerja milenium muda di Britain kehilangan kerja yang setara dengan sehari setiap minggu kerana masalah kesihatan mental, kajian baru menunjukkan perkembangan kurang sihat.
Punca utama, mengikut penemuan Vitality sebuah firma kesihatan , adalah jelas, berpunca daripada pekerja yang lebih muda dan kurang berkemampuan sedang bergelut dengan cabaran kesihatan mental tanpa sokongan majikan yang mencukupi.
Ia menyebabkan tumpuan pekerja yang lebih lama terganggu kerana perlu menampung beban kerja pekerja yang lebih muda yang ternyata kurang berdaya saing.
Pertama sekali sesebuah organisasi itu perlu faham setiap generasi mempunyai personaliti tersendiri.
Setiap generasi mempunyai kepercayaan, nilai, budaya, perspektif, kegemaran, kemahiran dan personaliti yang berbeza terhadap kehidupan dan pekerjaan.
Walaupun terdapat perbezaan atau jurang antara ciri-ciri bagi setiap generasi, namun ia bukanlah penghalang untuk mencapai kesepaduan antara generasi untuk mencapai kejayaan bersama.
Organisasi yang berjaya pula merupakan sebuah organisasi yang dapat menggabungjalinkan idea dan pandangan antara generasi dalam kalangan pekerja dan majikan.
Justeru pengurusan jurang generasi perlu dilaksanakan dalam organisasi untuk memahami perbezaan dan persamaan di antara generasi untuk medapatkan ekosistem kerja yang harmoni.
Kita perlu menerima bahawa Generasi Z adalah generasi kini yang akan memimpin dan menerajui industri satu masa nanti.
Maka isu perbezaan nilai, pandangan dan perspektif antara generasi perlu diatasi dengan komunikasi daripada dua generasi dapat diuruskan dengan baik.
Jurang generasi ini sebenarnya boleh dirapatkan sekiranya setiap daripada kita mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk belajar dan reflektif terhadap ilmu, nilai dan pengalaman orang lain serta mampu menghubung dan mengintegerasi dengan keperluan zaman kini. - DagangNews.com
Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI