Kajian Kelestarian perlu bagi elak dasar tempang
Kelestarian secara umumnya membawa maksud pengekalan sesuatu perkara atau keadaan. Ini bermakna, kelestarian ada kaitannya dengan usaha mengekalkan serta memelihara kesejahteraan, kemakmuran atau ketenangan.
Walaupun begitu, kelestarian dalam konteks pengurusan dan pentadbiran sesebuah negara perlu ditakrif dengan lebih luas sewajarnya merangkumi bukan sahaja pengekalan tetapi turut menambah baik keadaan sedia ada.
Sering kali, kita faham kelestarian ini dikaitkan dengan bidang alam sekitar iaitu melalui konsep pembangunan lestari sahaja.
Jika diperluas konsep ini bermaksud, satu bentuk pembangunan, pembaharuan, transformasi atau perubahan untuk memenuhi keperluan masa kini tanpa menjejaskan kemampuan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka.
Dari sudut pandangan hidup Islam, konsep ini merangkumi tuntutan untuk berlaku adil kepada semua lapisan masyarakat, berhemah dalam penggunaan, berhikmah dalam membuat keputusan serta mengambil kira konsep maslahah dalam melayari kehidupan sebagai hamba yang perlu memakmurkan persekitaran.
Selain alam sekitar, konsep kelestarian perlu turut merangkumi bidang-bidang lain iaitu pendidikan, ekonomi, perniagaan, pemikiran sosial, sains dan sebagainya.
Malah, dikatakan bahawa kelestarian boleh disesuaikan dengan keperluan dan tujuan pelbagai disiplin sedia ada seperti merangka belanjawan negara agar tidak melaksanakan dasar yang tempang dan pincang.
Oleh itu, makna sebenar kelestarian telah berubah kepada hanya bermakna mengekal atau “baik” atau “positif.” Hal ini telah menimbulkan salah faham terhadap konsep tersebut dan keadaan itu boleh menjejaskan pemahaman dan seterusnya mempengaruhi tindakan untuk mencapainya.
Dalam kita melaksanakan reformasi atau pengstrukturan ekonomi ini penting untuk pihak yang merangka kerangka ekonomi ini memahami dan melihat dari skop yang lebih luas tentang konsep kelestarian ini. Namun hakikatnya tidak ramai yang tahu atau mahu sedar.
- Dalam kehidupan seharian, pernahkah kita bertanya apakah kaitan konsep tersebut dalam pengstrukturan ekonomi dan belanjawan mampan?
- Apakah kaitannya dengan jenis peluang pekerjaan yang akan dibangunkan, apakah kaitannya dengan teras pengajian yang akan kita pacu di institusi pengajian tinggi?
- Apakah peranan setiap kementerian dalam usaha-usaha mencapai kelestarian seterusnya menggerakkan sebuah belanjawan yang mampan?
- Bagaimana pula kelestarian boleh boleh dicapai seterusnya membangunkan sebuah negara yang makmur?
Kegagalan untuk memastikan kelestarian sebenarnya secara langsung akan menjejaskan hidup kita dan perancangan jangka panjang negara yang mampan. Kesejahteraan, ketenangan, keselamatan, kesihatan serta kemakmuran hidup masyarakat akan terganggu jika kelestarian diabaikan melalui pembaharuan yang digarap.
Dasar dan kerangka ekonomi yang digarap melalui belanjawan adalah bertujuan untuk semua golongan yang terlibat memahami betapa untuk kita, tidak kira pemimpin,golongan teknokrat, para birokrat mahupun rakyat kebanyakan, supaya dapat berusaha sebaik mungkin lagi bersungguh-sungguh, dengan penuh amanah juga dipercayai, demi memakmur negara dan mensejahterakan rakyat.
Dalam membangunkan kemajuan dan kemewahan kita tidak dapat memisahkan kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat. Selagi mana sesebuah masyarakat didasari dengan kemakmuran dan kesejahteraan mereka akan mensyukuri nikmat yang dinikmati, dan negara tersebut akan terus berada dalam keadaan yang baik lagi makmur.
Merujuk kepada maksud dan tafsiran ayat-ayat tersebut serta cedukan daripada pelbagai hikmah, kita dapati terdapat elemen-elemen yang begitu signifikan dalam mentadbir serta membangun sesebuah negara bangsa.
Elemen-elemen kelestarian antaranya, meliputi setiap pihak perlu mengerti bahawa tertegaknya sesebuah kerajaan, negara dan jati diri sesebuah negara bangsa bukanlah secara tiba-tiba atau terjadi dengan sendirinya. Bak kata pepatah Inggeris, “indeed,… Rome was not built in a day”.
Sebenarnya, untuk mencapai kelestarian yang dibuat melalui pengstrukturan ekonomi yang merangkumi belanjawan yang dibentangkan baru-baru ini, banyak usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak.
Undang-undang, peraturan dan dasar-dasar awam semestinya perlu untuk menyokong kelestarian perubahan kerangka ekonomi. Namun, usaha untuk menjadikannya kenyataan memerlukan perubahan secara besar-besaran atau radikal dalam sikap, tingkah laku dan gaya hidup masyarakat awam.
Oleh itu, sama-samalah kita berusaha untuk menggerakkan perubahan sikap dan tingkahlaku secara besar-besaran. Paling penting beristiqamah dalam usaha membuat kajian terperinci sebelum sesuatu dasar tersebut diumumkan kepada khalayak masyarakat.
Sedarlah bahawa, sikap umum dahulu, perlaksanaan fikir kemudian ini membawa kepada penghasilan dasar dasar separuh masak dan pincang. Apa yang harus difahami kegagalan dasar tidak digalakkan dalam mana mana metodologi pengurusan sekalipun.
Apa yang perlu kita usahakan kini ialah memahami kelestarian dan memastikannya terpancar dalam setiap elemen perubahan baik dari segi pengstrukturan ekonomi mahupun pembaharuan lain, daripada membuat perancangan,pilihan, keputusan hinggalah kepada segala tindakan. - DagangNews.com
Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI