Mahu maju, kaya-raya tetapi adab kian miskin? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Infiniti - 15 Nov 2024 08:00 AM

Mahu maju, kaya-raya tetapi adab kian miskin?

 

 

Semakin hari berita mengenai masyarakat berkelakuan kurang beradab semakin kerap dilihat di media sosial dan juga sekeliling kita.

 

Sikap hormat-menghormati, kesopanan dan budi bahasa yang baik semakin terhakis apabila berbicara.

 

Hal ini sangat membimbangkan kerana mereka inilah yang bakal menjadi tonggak utama dalam perjuangan untuk mencorak dan membina masa depan negara yang lebih baik.

 

Apakah punca-punca yang menjadikan masyarakat sekarang menjadi seperti ini? Adakah pada era tanpa sempadan ini, perkembangan kemajuan teknologi semakin pesat menyebabkan perkara ini meruncing?

 

Persoalan tentang apa yang dimaksudkan dengan ‘kemajuan’ sangat penting dalam hal ini kerana ia merupakan antara istilah kunci yang banyak diterima pakai oleh pelbagai pihak tanpa diteliti andaian falsafahnya dengan lebih mendalam.

 

Trans-sains

Kemajuan teknologi yang pesat dilihat boleh mempengaruhi pelbagai aspek sosial. Semakin maju teknologi dalam sesebuah masyarakat, semakin kita berdepan dengan masalah yang jarang disebut iaitu “trans-science”. Masalah ini dikemukakan oleh Alvin Weinberg.

 

Trans-sains ialah masalah yang dibangkitkan oleh sains dan teknologi tetapi penyelesaiannya tidak boleh diselesaikan hanya dengan teknologi, kerana apa?

 

“Sebab ia melibatkan nilai (values), ia melibatkan kehidupan sosial manusia, malah mungkin ia melibatkan pandangan manusia tentang kepentingan kemakmuran masyarakat".

 

Seperti yang pernah disebut dalam majalah The Economist (1999): “Pada zaman moden ini, pegangan kepada konsep kemajuan mempunyai hubungan erat, jika tidak sepenuhnya dikaitkan dengan pertumbuhan ekonomi yang didorong pasaran (market-driven economic growth). Adakah ini satu kesilapan?”

 

Sekiranya kita menelusuri penulisan-penulisan pemikir kebudayaan Barat pada abad ke-20 seperti Mortimer Adler dan Will Durrant, kita akan dapati bahawa konsep ‘kemajuan’ seperti yang sering diguna pakai hari ini hanyalah mula digunakan secara meluas sekitar abad ke-19 atau 20.

 

Sekiranya kita tidak berhati-hati, masyarakat akan mudah terpesona dengan konsep kemajuan yang dianjurkan mereka tanpa menyedari bahawa andaian-andaian falsafah yang tersirat dalam anjuran ini bercanggah dengan hakikat kewujudan yang difahami masyarakat timur.

 

Pempengaruh

Keadaan bertambah meruncing apabila lahir kumpulan pempengaruh atau ‘influencer’ di media sosial memberi pengaruh yang hebat kepada golongan muda ini di media sosial.

 

Setiap gerak-geri pempengaruh akan diikuti termasuklah dari segi berbicara dan perwatakan di media sosial.

 

Walaupun pempengaruh hanyalah berlakon di depan kamera, tetapi anak muda senang terpengaruh dengan hal-hal ini sehingga ke dunia nyata menyebabkan mereka turut terikut berbicara dengan gaya yang sama.

 

Oleh itu kita harus insaf bahawa ada keperluan untuk menggali kembali khazanah pemikiran dan kesarjanaan tamadun timur yang menerangi sejarah demi memandu perbincangan semasa perihal falsafah ekonomi, falsafah sains dan teknologi, serta falsafah pembangunan amnya yang mana sangat perlu diungkapkan sekiranya masyarakat kita hari ini ingin membina masa depan yang lebih cerah.

 

Di samping mengejar kemajuan ekonomi mahupun teknologi, masyarakat kita seharusnya didedahkan dengan apa itu makmur?

 

Kemakmuran berarti memiliki cukup, tidak kekurangan. Kemakmuran juga boleh ditafsirkan sebagai keadaan di mana keperluan asas dipenuhi dan dengan situasi itu kita berasa puas.

 

Cukup dari segi keperluan jasmani dan rohani. Dengan kecukupan ini, mereka dapat menikmati kebahagiaan hidup. Masyarakat tidak lagi bertindak seoalah kekurangan dan mencari perhatian.

 

Oleh itu, dalam konsep kemajuan pembangunan semasa seharusnya berpaksikan kemakmuran. Kemajuan yang dikejar ini seharusnya merupakan alat untuk mengukur tahap kebajikan atau kemakmuran masyarakat di sesuatu kawasan. Semakin tinggi indeks kebahagiaan penduduk, semakin makmur kawasan tersebut.

 

10 Kebahagiaan

Terdapat 10 aspek untuk mengukur tahap kebahagiaan. Sepuluh ini termasuk tahap kepuasan terhadap kesihatan, pendidikan, pekerjaan, pendapatan isi rumah dan keharmonian keluarga. Juga ketersediaan masa lapang, hubungan sosial, keadaan rumah dan aset, keadaan persekitaran, dan keadaan keselamatan.

 

Kemajuan yang mesra insan dan mesra alam ini mensyaratkan kefahaman yang lebih mendalam tentang adab dan bukan hanya aspek kemajuan ekonomi.

 

Oleh itu bagi masyarakat majmuk Malaysia ini, kemajuan tidak semestinya melibatkan peniruan yang tidak kritis terhadap model “modenisasi” Barat, akan tetapi ia melibatkan proses penapisan aspek-aspek kemodenan yang tidak berlawanan dengan pandangan hidup kita masyarakat timur yang terkenal dengan kesantunan budayanya.

 

Untuk mencapai kemajuan yang digambarkan ini, kita perlu lebih menghormati sumbangan mereka yang berperanan untuk memberi peringatan kepada manusia tentang hakikat kewujudan ini.

 

Termasuklah para pemikir dan sarjana semasa yang ikhlas pada diri mereka, supaya hikmah dan kebijaksanaan mereka boleh menjadi sumber bimbingan dan inspirasi kepada kita dalam pelbagai bidang pada hari ini dan masa depan. - DagangNews.com

 

Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI

 

dagangnews